Setiap wanita memang kena rajin menjaga kebersihan diri termasuk kulit wajah. Dan salah satu cara untuk mengekalkan kecantikan kulit wajah, perkara asas paling diutamakan adalah membersihkan muka.
Namun ada cara tertentu atau perkara perlu dielakkan ketika membersihkan wajah ini. Jika salah melakukannnya bimbang sisa kotoran atau bekas mekap masih ada lagi di muka dan seterusnya boleh menyebabkan pertumbuhan jerawat.
Perkongsian wanita ini Wan Azlina di laman sosial Facebook memberitahu 10 kesalahan sering dilakukan ketika membersihkan wajah.
Jadikan amalan membersihkan wajah ini suatu aktiviti menyeronokkan. Malah anda akan dapat lihat hasilnya apabila kulit jadi lebih halus, bersih dan kurang bermasalah.
10 Kesalahan Ketika Bersihkan Wajah
1. Salah pilih produk
Pembersih muka yang sesuai dengan anda harus mampu menanggalkan kotoran dan kesan mekap, tetapi tidak mengurangkan kelembapan semula jadi muka anda. Memilih produk yang salah akan membuatkan kulit muka menjadi merah atau iritasi pada wajah.
2. Jangan ‘terlebih’
Membersihkan muka sekali atau dua kali setiap hari adalah bagus. Terlebih melakukannya mengganggu penghasilan minyak semula jadi yang baik untuk kulit. Apabila anda tidak mengenakan solekan, berpeluh terlalu banyak mahupun terdedah kepada sinar matahari, elakkan penggunaan pembersih wajah secara keterlaluan pada waktu malam.
3. Salah suhu air
Kata orang, air panas akan membuka liang dan yang sejuk menutupnya semula. Kenyataannya, liang roma tidak mempunyai otot untuk terbuka atau tertutup. Walaupun air panas memberi keselesaan pada wajah anda, ia sebenarnya membuatkan ia menjadi kering. Air suam adalah yang terbaik untuk membersihkan muka anda.
4. Skrub wajah
Anda boleh menggunakan skrub tetapi jangan kerap. Produk pengelupasan sebenarnya bertindak untuk menanggalkan sel kulit mati, tetapi tidak digalakkan untuk penggunaan secara kerap. Dua atau tiga kali seminggu sudah memadai.
5. Tidak bersihkan betul-betul
Tidak membersihkan muka dengan betul akan menyebabkan pori tersumbat. Walaupun sedang mengejar waktu, usah ambil mudah soal ini. Bahagian bawah rahang, garis rambut, dan hidung selalu dibiarkan. Tunjukkan sedikit kasih sayang padanya, bersihkan juga kawasan-kawasan ini.
6. Guna produk dengan bahan kimia
Elakkan penggunaan produk yang mempunyai bau, pewarna atau bahan kimia. Campuran bahan-bahan ini di dalam produk kecantikan yang anda gunakan boleh menyebabkan iritasi pada kulit muka terutamanya jika ia jenis sensitif. Baca label kandungan bahan dalam produk sebelum membelinya.
7. Gosok dengan tuala
Pedapkan, bukan gosok muka dengan tuala. Menggosok muka dengan tuala membuatkan anda rasa selesa, tetapi ia sebenarnya membuatkan tahap elastik kulit anda menurun. Paling mudah untuk menerangkannya, ia menggalakkan kulit menjadi kendur.
8. Tangguh guna pelembap
Bagi memaksiumumkan penyerapan pelembap wajah, lakukan ia sebaik sahaja anda selesai membersihkan muka. Begitu juga jika anda menggunakan sebarang serum atau produk perawatan wajah. Membiarkan muka kering terlebih dahulu sebelum mengoles pelembap ke wajah hanya akan menyukarkan proses penyerapan bahan aktif ke dalam kulit anda.
9. Beli produk ‘itu-ini’
Sekiranya anda mahu membeli sebarang produk kecantikan untuk kegunaan masa depan, elakkan jenama yang tidak dikenali. Belilah produk yang mempunyai kandungan bahan natural dan memberi kebaikan kepada kulit anda dalam jangka masa panjang seperti serum.
10. ‘Takut’ minyak
Ramai yang takutkan produk berasaskan minyak. Khuatir ia menutup pori. Sebenarnya produk ini antara yang terbaik. Minyak berkesan untuk menanggalkan kotoran secara berkesan. Carilah produk berasaskan minyak yang ada campuran tumbuh-tumbuhan seperti aprikot, bunga matahari, dan biji anggur. Ratakan minyak pada wajah dan lap bersih dengan kain yang direndam dalam air suam. Kemudian bolehlah dibersihkan dengan air.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI