Sudah pasti ramai yang inginkan badan yang ideal, cantik dan menawan. Bila tengok badan artis atau selebriti di media sosial, pastinya ia memberikan kamu inspirasi untuk menjadi seperti mereka.
Ada kalanya kamu sudah berusaha untuk diet tapi tidak berhasil. Ha! Pasti ada perkara yang kamu silap dalam menu diet kamu. Apa yang penting, sumber protein kamu jangan tinggalkan tau!
Protein dalam diet adalah penting untuk tubuh badan kita dalam melakukan pelbagai fungsi penting. Salah satu fungsi utamanya adalah untuk membina, memperbaiki, dan mengekalkan tisu tubuh. Bagi memastikan pengambilan protein memenuhi semua keperluan, penting untuk kamu mengambil protein daripada sumber haiwan dan tumbuhan,” jelasnya.
Makanan berasaskan haiwan adalah sumber protein yang berkualiti tinggi serta tinggi dengan zat besi, zinc dan vitamin B12. Namun begitu, sebahagian sumber protein haiwan seperti potongan daging lembu berlemak, khinzir, kambing, itik, daging terproses, dan organ adalah tinggi dengan lemak tepu dan kolesterol.
Oleh itu, orang ramai harus mengambil daging dan ayam dalam jumlah yang sederhana dan memilih bahagian yang kurang lemak serta lebihkan ikan dalam diet. Ikan mempunyai kurang kandungan lemak tepu, dan ikan berminyak seperti salmon, trout dan hering adalah kaya dengan asid lemak omega-3, sejenis lemak yang baik untuk kesihatan.
Ramai yang mengambil lebih makanan berasaskan protein haiwan. Mungkin ini salah satu sebab utama mengapa orang ramai mengalami masalah lebih berat badan dan obesiti atau mempunyai kolesterol yang tinggi.
Sementara itu, makanan seperti kekacang, kacang dan bijian adalah contoh sumber protein tumbuhan yang mempunyai banyak kebaikan seperti, kandungan kalori yang lebih rendah dan tidak mengandungi kolesterol.
Selain itu, ia juga kaya dengan fitonutrien, yang berfungsi sebagai antioksidan, serta boleh mengurangkan risiko beberapa penyakit kronik berkaitan diet seperti penyakit kardiovaskular dan kanser termasuk kaya dengan serat yang penting untuk penghadaman, dan menggalakkan kesihatan usus yang baik. Tambahan lagi, makanan kekacang ini juga mempunyai sumber vitamin dan mineral.
Sesetengah protein tumbuhan mungkin mempunyai kurang asid amino yang spesifik, iaitu blok asas untuk membina protein. Ini boleh diatasi dengan mudah dengan mencampur beberapa jenis makanan berasaskan tumbuhan dalam diet, sekaligus dapat meningkatkan kualiti protein. Untuk pilihan yang lebih sihat, makan pelbagai makanan berprotein dan pilih makanan berasaskan protein tumbuhan dengan lebih kerap.
Tip masakan yang boleh kamu cuba untuk menu diet kamu:
1. Panggang atau goreng bijian dan kekacang tanpa menggunakan minyak dan simpan di dalam bekas kedap udara sebagai snek sihat! Letakkan juga kekacang di dalam masakan atau sebagai hiasan pada makanan dan pencuci mulut seperti yogurt dan minuman.
Nota: Kacang dan bijian juga tinggi dengan kalori; pastikan anda tidak terlebih mengambilnya.
2. Gantikan daging dengan lentil dalam resepi bebola daging kamu!
3. Untuk membuat tofu nuget, potong sebuku tofu yang keras kepada potongan kecil, salutkan dengan serbuk roti dan bakar tofu tersebut.
4. Potong tempeh dan goreng di atas kuali leper tanpa minyak untuk membuat filet-o- tempeh!
5. Pilih bahagian ayam yang tidak berkulit atau buang kulit sebelum masak.
6. Kamu boleh kukus, rebus, panggang atau bakar ikan untuk pilihan yang lebih sihat.
Selamat mencuba!