Mereliasasikan impian menjadi kenyataan, hijabi ini menyarungkan kostum duyung versi muslimah tampil kelainan.
Selain berhijab, Pegawai Keselamatan dan Kesihatan di sebuah hospital swasta itu mengenakan pakaian renang berketebalan sesuai, tidak jarang dan ketat serta menutup keseluruhan badan, ketika melakukan aktiviti berenang dan menyelam.
“Saya mahu mengubah persepsi dan penerimaan masyarakat bahawa sesiapa sahaja boleh merealisasikan impian menjadi duyung dan menikmati keindahan dasar lautan,” katanya kepada Bernama.
ARTIKEL BERKAITAN: Dari Gerai Tepi Jalan Dan Van ‘Usang’, Kini Kafe ‘Hipster’ Hasil Renovasi Dua Hijabi Cetus Inspirasi!
Lincah beraksi, tidak ubah seperti watak puteri duyung Ariel dalam filem animasi ‘The Little Mermaid’. Nur Fathiyah Mahfuz melakukan pelbagai aksi di laut seperti melibaskan ekor sambil berenang di dalam laut. Namun, mengekalkan imej Muslimah penampilan ikan duyung berusia 37 tahun itu sedikit berbeza dengan Ariel.
Mula berenang dan menyelam dengan kostum ikan duyung sejak lebih dua tahun lepas, pemegang ijazah Sarjana Muda dalam bidang Bioteknologi Persekitaran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu berkongsi pengalamannya, beliau menjalani latihan dan kursus dikendalikan Pengajar Jurulatih Duyung PADI yang berpusat di Shah Alam, Selangor.
Nur Fathiyah difahamkan merupakan Jurulatih Duyung Melayu Muslimah dan berhijab pertama di rantau Asia Pasifik. Selain melakukan aktiviti menyelam pada kedalaman sekitar 10 meter di laut tanpa menggunakan alat bantuan pernafasan dan gogal, beliau juga pernah menyertai persembahan di Shore Oceanarium Melaka bertemakan ‘Save The Ocean’ November tahun lepas, bagi mewujudkan kesedaran kepada orang ramai mengenai pemeliharaan dan pemuliharaan laut.
Anak kelahiran Pulau Pinang itu berkata beliau juga perlu menjalani kursus antaranya Tindak Balas Pertama Kecemasan (EFR) Penjagaan Utama dan Sekunder serta latihan kemahiran air seperti berenang sejauh 400 meter dan mengapungkan diri selama 10 minit, selain kemahiran di dalam air seperti cara pernafasan yang betul, ‘duck dive
‘ dan ‘dolphin kick‘. Semuanya perlukan pengiktirafan.“Kami juga perlu mendapat kelayakan dan pengiktirafan sebagai Duyung Lanjutan PADI dengan menjalani latihan menyelam memakai sut renang ikan duyung sekurang-kurangnya 15 sesi selaman termasuk tiga atau lebih selaman di dalam laut pada kedalaman 10 meter,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Graduan Kejuruteraan Terjun Ke Dalam Bidang Content Creator, Hijabi Ini Bina Kerjaya Jual Sambal Acar Tapi..
Mempunyai kemahiran berenang dengan pelbagai latihan hijabi ini kongsi menjadi duyung muslimah bukannya mudah. Menurutnya lagi melakukan aktiviti air dengan gaya ikan duyung amat mencabar, memandangkan berenang dengan kostum ikan duyung memerlukan kedua-dua kaki bercantum menjadi satu dalam monofin dan kostum ekor. Berkemungkinan mungkin berisiko mengalami kekejangan,.
“Aktiviti selaman di dalam laut mendedahkan ‘ikan duyung’ dengan cabaran seperti ketumpatan air, tekanan, suhu, jarak penglihatan dan arus bawah air. Risiko lemas juga ada,” katanya.
Walaubagaimanapun, Nur Fathiyah yang sering berkongsi pelbagai aktiviti air dengan memakai kostum ikan duyung di media sosial yakin dengan latihan kemahiran mencukupi, aktiviti menyelam dan berenang gaya ikan duyung akan menjadi satu aktiviti menyeronokkan.
Nur Fathiyah berhasrat membuka perniagaan berkonsepkan ‘Muslimah Mermaid’, bagi membolehkan lebih ramai Muslimah menyertai aktiviti itu, dengan menawarkan perkhidmatan antaranya solekan asas, fotografi di dasar laut serta jualan produk seperti pakaian renang.
Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.
SUMBER: BERNAMA & Facebook NurFathiyah