Susulan perletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ke 7, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bakal menjadi perdana menteri wanita pertama Malaysia buat sementara waktu.
Memetik laporan Malay Mail, Wan Azizah yang kini memegang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dikhabarkan bakal menjadi Perdana Menteri wanita pertama selepas ini. Dr Mahathir didakwa telah melantik Dr Wan Azizah sebagai Perdana Menteri sementara selepas beliau mengumumkan untuk keluar dari Pakatan Harapan.
”Wan Azizah adalah Perdana Menteri sementara,” kata sumber terdekat kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditanya adakah beliau akan menggantikan Perdana Menteri.
Semalam, parti-parti politik Bersatu, Umno, PAS, Gabungan Parti Sarawak, Parti Warisan Sabah dan beberapa puak dari PKR telah berkumpul di Hotel Sheraton, Petaling Jaya.
Tujuan pertemuan itu diadakan tidak dapat dipastikan selepas mereka masih memilih jalan berdiam diri dan tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan bagi menjawab spekulasi yang terbentang sejak semalam.
Menyentuh sisi peribadi Dr Wan Azizah, beliau dilihat sering memakai sarung tangan bagi memudahkan beliau menyambut huluran salam tangan bukan muhrim sebagai tanda hormat.
Cara wanita berkulit putih merah ini mendapat reaksi positif daripada netizen yang memuji keperibadian Dr Wan Azizah dalam menjaga auratnya. Melihat pada penampilannya dari dahulu hingga sekarang tidak jauh berbeza.
Beliau selesa sekali menggayakan baju kurung yang dipadankan tudung empat segi polos dengan kelepet melekap di dahi. Hanya solekan nipis pada wajahnya namun tetap menyerlahkan aura beliau kala berada di khalayak.
Seperkara yang menarik lagi, ada kalanya wanita yang hampir 20 tahun terpisah dengan suaminya ini turut membawa ‘kipas hikmatnya’ ke mana-mana sahaja.
Dr Wan Azizah yang lahir pada 3 Disember 1952 di Singapura ini mendapat pendidikan awal di Sekolah Convent St. Nichlas, Alor Setar sebelum meneruskan pengajiannya di Kolej Tunku Kurshiah.
Seterusnya beliau melanjutkan pelajarannya di Dublin Ireland dan mendapat ijazah dalam bidang Obstetric dan Gynecology. Merupakan pelajar terbaik (Gold Medal) di Royal College of Surgeon pada tahun 1977.
Dr Wan Azizah berkahwin dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu berusia 23 tahun. Setelah hampir 40 tahun mendirikan rumah tangga, mereka dikurniakan enam cahayamata, lima anak perempuan dan seorang lelaki. Anak sulungnya Nurul Izzah juga turut aktif dalam dunia politik.
Sumber kredit: Malaymail dan Instagram Dr Wan Azizah