Suaranya yang memukau sentiasa menjadi igauan telinga yang mendengar. Auranya saat beraksi di atas pentas pastinya memikat mata yang melihat. Namanya bukan asing lagi dalam industri muzik tempatan mahupun di Indonesia, Singapura serta Brunei. Punya legasi sendiri, nama Anuar Zain masih kukuh dan sentiasa menjadi dambaan ramai terutamanya kaum wanita.
Semalam, pada 25 Januari 2022, bertempat di Hotel Pullman Kuala Lumpur, penyanyi lelaki popular Anuar Zain ataupun nama sebenarnya Shahrul Anuar Zain menghadiri sidang akhbar Makan Malam Amal Anuar Zain – “Karena Aku Cinta”. Kehadirannya pada acara itu membuat ramai yang teruja dan team Hijabista sempat bertanyakan soal jodoh yang yang menjadi persoalan ramai tentang perkembangan hal peribadi penyanyi lelaki tersohor ini.
Berbicara soal jodoh, pelantun lagu Lelaki Ini tidak janggal meluah kata malah selesa berkongsi rasa tentang dirinya yang masih sendiri. Menurutnya, soal jodoh bukanlah isu yang bisa ditentukan olehnya. Malah, dia yakin dengan perancangan serta ketentuan Allah SWT. Pastinya, jodoh datang awal bersebab, malah datang awal juga ada hikmahnya.
Soal jodoh itu kita tidak boleh rancang. Mungkin kalau jodoh saya belum tiba di sini, Allah dan tentukan jodoh saya di alam selepas ini. Setiap manusia pasti ada pasangannya sendiri. Itu janji Allah SWT kepada kita dan itulah rahsia-Nya.
Ulasnya lagi, dia juga turut mendoakan agar Allah SWT memberikan jodoh yang terbaik untuk dirinya dan juga keluarga. Sentiasa bersabar dan percaya dengan perancangan dari-Nya, Anuar tidak gusar menanti jodoh untuk dirinya. Malah lebih bersabar dalam menanti cinta hati miliknya.
Andaikata Allah sudah memilih jodoh untuk menjadi pasangan saya suatu hari nanti, jadi saya terima dengan hati yang terbuka. Saya juga seringkali berdoa untuk diberikan pasangan yang baik dari segala aspek. Apa yang penting, jodoh saya itu harus menerima saya juga keluarga saya, begitu juga sebaliknya.
Tambahnya lagi, antara tiga kunci utama yang diamalkan untuk memastikan segala urusan dipermudahkan adalah menjaga hubungan dengan Allah SWT, menjaga hubungan sesama manusia dan sentiasa bersyukur dan redha dengan apa yang diberikan oleh Allah SWT.
Bakal mengadakan persembahan di Ipoh International Convention Centre (IICC) pada 5 Mac 2022, penyanyi Anuar Zain bersama Bond Holdings Sdn.Bhd, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Sycal Ventures Berhad akan meraikan makan malam amal bersempena untuk menghargai dan menyalurkan bantuan kepada anggota barisan hadapan ‘Frontliners’ yang terkorban ketika menjalankan tugas sepanjang Pandemik Covid-19 dan juga menghargai penggiat seni tempatan yang terkesan akibat pandemik ini. Harga tiket bermula dari RM 230, RM 280 dan RM 380. Untuk info lanjut, hubungi 011-36088001.
Team Hijabista mendoakan agar Anuar Zain mendapat jodoh yang terbaik untuk dirinya dan keluarga serta dipermudahkan segalan urusan. InsyaAllah. Amin Ya Rabb..
Sumber gambar: Instagram Anuar Zain
Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.
Bulan ini, Hijabista menghasilkan Majalah Hijabista Edisi Jawi menampilkan Nur Fazura sebagai penghias wajah hadapan. Menariknya, dengan setiap pembelian para pembeli akan menerima dua helai tudung istimewa.
Majalah ini boleh dibeli di laman Shopee Karangkraf Mall Official Store dengan harga RM29.90 sahaja. Berbaloi-baloi, beli majalah dapat pula dua tudung istimewa. Boleh dibeli di sini: Shoppe