Menjadi seorang public figure bukanlah perkara yang mudah, setiap apa yang dilakukan pasti diperhati orang dan ada sahaja kritikan yang menjengah. Sebelum berhijab, penampilan Nana yang gemar bereksperimen dengan gaya fesyen dan stail rambut jadi perhatian ramai.
Apabila memilih untuk berhijab pada pertengahan Ogos tahun lalu, Nana mengejutkan ramai pihak. Semestinya sokongan yang diterima cukup hebat bukan sahaja daripada orang terdekat bahkan daripada para peminat juga.
Hijabista yang sudah beberapa kali bertemu dengan personaliti serba boleh ini cukup terpesona mendengar kisahnya dan tidak kurang terinspirasi dengan setiap perkongsian yang dibuat. Kini menambahkan lagi kegembiraannya, sejak beberapa bulan lalu anak sulungnya juga telah tampil berhijab.
Althea Raqeem Brian,12, kelihatan manis menyarungkan hijab seperti ibunya. Menjengah ke halaman Facebook Nana Mahazan, dia menyatakan rasa syukur kerana anaknya menemui perjalanan baru ini lebih awal darinya.
“Alhamdulillah, kita mak mak ni kalau boleh nak sokong semampu mungkin anak-anak kita dan ini bagaimana besarnya rasa sayang saya kepadanya dan saya mahukan perjalanan barunya ini menjadi sangat indah. Alhamdulillah, Althea temui awal daripada mummy. Mummy doakan Althea istiqamah dan sama sama kita fokus dalam memperbaiki diri kita ke arah yang lebih baik,” tulis bekas penyampai radio Era ini.
ARTIKEL BERKAITAN: “Bukan Cantik Yang Dicari, Hanya…”- Nana Mahazan Bersyukur Niat Untuk Berhijab Terlaksana
Penampilan Althea yang baru menuai pujian ramai. Tambahan pula gaya yang dipilih cukup santun dan cantik dipandang. Menjadikan momen ini lebih indah, Nana Mahazan mengeluarkan sisterhood instant shawl yang diinspirasikan oleh Althea sendiri.
Dalam satu hantaran di Instagram pada Julai lalu, Nana memuat naik gambarnya bersama Althea berpakaian sedondon. Memetik kata-kata tulisannya di ruangan kapsyen, “Saya berharap apabila Althea besar nanti boleh menjadi seorang manusia yang bertanggung jawab, tidak mementingkan diri sendiri, berjuang untuk mereka yang kurang berkemampuan, bantu seramai boleh orang lain dan menjadi hamba Allah SWT yang baik.”
Semoga perkongsian ini serba sedikit memberikan Inspirasi kepada para hijabi di luar sana.Kami di Hijabista doakan semua yang terbaik buat Nana sekeluarga, dan Althea sayang you look so radiant.
Jom kita saksikan perkongsian Nana Mahazan dalam video No Turning Back Hijabista di bawah.
Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Berat Dugaan Mualaf Ini Bila Imamnya Dijemput Illahi. Namun Tekad Kekal Berhijab & Mati Dalam Islam!
Isi Kandungan
ToggleSesungguhnya hidayah Allah itu datang dalam situsi yang tidak kita duga. Sebagainya hamba-Nya kita patut bersyukur dengan hidayah yang dikurniakan pada kita. Seperti perkongsian wanita mualaf ini yang dipilih untuk menerima hidayah dari Allah SWT. Tetapi dalam masa sama diduga dengan satu peristiwa yang memberi tamparan besar dalam hidupnya. Bekas pramugari Nur Amiraa Ann Lee Abdullah sangat bersyukur dipilih oleh Allah untuk mengenali Islam walaupun Tuhan menduganya apabila mengambil nyawa insan tercinta, suaminya di awal penghijrahan.
Perkongsiannya bergelar mualaf dalam laman sosial youtube ini begitu menyentuh hati. Menurut Amira, dia mengenali arwah suaminya pada tahun 2009 dan hubungan mereka jadi rapat hinggalah beberapa bulan menyuarakan hasrat untuk berkahwin.
Tak Boleh Tidur Malam
“Ketika itu saya bagi tahu dia, kalau U bukan Islam, memang saya akan terus kata yesss. Namun saya beritahu perlukan masa dan belajar untuk mendalami Islam supaya boleh ikut untuk jadi seorang Muslim yang bagus atau tidak.
“Jadi kemudian saya mula belajar kursus untuk mualaf. Setelah lima hari hati saya benar-benar terbuka setelah mendengar ceramah yang disampai oleh seorang ustazah. Malam itu saya tak boleh tidur sebab takut bila saya tertidur tadi tak bangun dan tidak sempat ucap syahadah.
“Saya memang sangat takut ketika itu walaupun tak pasti ketika itu arwah suami betul-betul ajak kahwin atau tidak,” ungkap Amira yang kemudiannya selepas tiga hari terus mengambil keputusan mengucap khalimah syahadah.
Keluarga Ambil Masa Untuk Terima
“Pada tahun 2009 jugalah saya bergelar seorang mualaf. Dan sejak dari itu saya terus belajar dan pergi kursus untuk mendalami agama Islam. Namun tidak dinafikan saya juga turut berdepan dengan cabaran dan dugaan ketika awal-awal bergelar mualaf.
“Ketika itu saya masih tinggal dengan keluarga dan kita lihat penerimaan keluarga jadi lain sedikit. Maklumlah ketika itu kita tidak boleh makan sama dengan mereka. Malah kakak saya juga rasa sedih bila lihat perubahan diri saya.
“Katanya kenapa kena pakai hijab sedangkan orang lain tak pakai pun hijab. Namun saya terangkan padanya walaupun saya berhijab, hubungan kita sekeluarga tetap tidak akan berubah,” ceritanya lagi yang turut melihat ibunya juga seperti tidak gembira dengan penghijrahannya itu.
“Mak memang nampak tak happy pada mulanya. Setiap kali dia masak dan ajak makan saya akan cakap kenyang. Tetapi sebenarnya kerana saya memang tak boleh makan menggunakan kuali yang keluarga saya gunakan.
“Tapi saya tidak sampai hati nak beritahu pada mak. Emak cakap kenapa tak makan sebab ayam bukan haram. Lepas tiga bulan barulah saya beritahu emak sebab kenapa sering elak makan bersama.
“Saya bagi tahu saya tidak boleh makan menggunakan kuali yang sama dan ayam perlu dibeli yang disembelih terlebih dahulu. Emak kemudiannya membeli kuali baru untuk saya dan keadaan ini membuatkan saya terharu,” tambah Amira yang berkata keluarganya mengambil masa untuk menerima penghijrahan yang dilakukan.
Kumpulkan Solat
Menurutnya dia juga turut berdepan pengalaman dalam menjalankan tanggungjawab sebagai seorang Muslim dan juga pekerja ketika bekerja dengan MAS.
“Saya akui pada mulanya memang tak pandai nak jaga solat. Saya tahu solat lima waktu dan saya kumpulkan semua solat itu dan melakukannya apabila balik rumah. Bayangkan saya solat sampai tertidur dalam rakaat. Masa itu saya masih lagi dalam proses belajar mengenal Islam.
“Kemudian baru saya sedar cara itu adalah salah dan kita perlu solat ketika masuk waktunya. Tahun kedua masuk Islam barulah saya tahu kita boleh solat jamak. Saya masih ingat lagi satu peristiwa di mana ketika itu flight delay dan saya nak solat jamak untuk Zuhur dan Asar.
“Saya pergi ke tandas untuk buang mekap dan segera ambil wuduk untuk sempurnakannya. Tetapi bila saya nak angkat takbir dengar suara azan Maghrib. Waktu itu saya rasa cukup bersalah pada Tuhan. Saya menangis tersedu-sedan.
“Saya fikir Allah beri saya segalanya tapi kenapa saya tak boleh nak sempurnakan arahannya yang satu itu, iaitu solat. Memang saya tak boleh tahan diri untuk menangis hinggakan orang dalam surau pun berpandangan melihat kelakuan saya itu. Waktu itu saya berdoa agar Allah bukakan jalan untuk saya,” ceritanya yang kemudian bertemu jodoh dengan arwah suaminya.
A post shared by Amira Lee 李恩慧 (@amiraannlee) on
Setahun Kahwin Suami Disahkan Leukimia
“Sebelum itu saya asyik bertanya pada diri saya. Kalau tak jadi kahwin pun saya still lagi jadi Muslim. Saya tanya diri masuk Islam sebab nak kahwin tapi tahu ke nanti berapa panjang jodoh kita. Saya tanya banyak kali persoalan itu kalau jodoh tak panjang, betul ke saya masih Islam, masih lagi berpegang pada Islam, betul ke tetap nak jadi Islam dan jawapannya memang Ya. Walaupun pelbagai cabaran saya tetap mahu jadi seorang Islam.
“Saya masih lagi bekerja walaupun ketika itu sudah berkahwin. Dan ditakdirkan pula mengandung dan saya melahirkan anak pertama kami pada hujung Disember 2012. Tapi siapa sangka tahun depannya itu arwah suami saya, Mohamad Norasyrul Nordin telah disahkan menghidap leukimia pada hari jadi saya.
“Setelah tahu dia sakit dan perlu jalani rawatan, saya ambil keputusan berhenti kerja sebagai pramugari. Saya jaga dia di hospital dan kami sama-sama melawan penyakit yang dideritainya. Saya sentiasa yakin Allah berikan seseorang itu penyakit kerana Allah sayang padanya.
“Walaupun saya sedih tetapi ada kalanya turut rasa down. Bukan senang untuk berhadapan dengan ujian maha hebat ini. Malah kalau diberi peluang biarlah saya yang tanggung segala kesakitannya tapi ia mustahil.
“Dan akhirnya memangf Allah lebih menyayanginya. Suami saya meninggal dua minggu sebelum ulang tahun kelahiran pertama anak perempuan kami,” ujarnya yang mengakui tidak mudah berhadapan dengan situasi berkenaan.
“Bagi saya itulah cabaran paling besar sepanjang bergelar mualaf. Saya tahu Allah tak akan uji jika kita tak mampu. Memang saya sangat down ketika itu. Malah hubungan dengan anak juga tidak begitu rapat kerana saya terpaksa meletakkan dia dalam jagaan keluarga mentua sepanjang saya menjaga suami yang sakit di hospital.
Tetapi kemudianya saya tahu saya perlu bangkit dari kesedihan ini. Saya bertemu saudara baru yang lain dan ketika itu barulah saya tahu ada lagi mualaf lain yang lagi susah situasinya berbanding saya. Misalnya tidak diterima keluarga atau perkara lain.
“Saya reda setiap yang berlaku ada hikmahnya. Saya tahu Allah bukakan pintu hati saya untuk memeluk agamanya yan suci. Saya sedar Allah telah pilih saya dan saya juga memilih Islam sebagai pegangan hidup. Inilah yang memberikan saya semangat,” tambah Amira yang turut dipuji ibunya kerana telah menjadi insan lebih baik dari sebelumnya.
A post shared by Amira Lee 李恩慧 (@amiraannlee) on
Akan Berhijab Sampai Bila-Bila
“Hubungan saya dengan keluarga cukup baik. Saya akan bersama-sama mereka meraikan semua perayaan ataupun jika ada majlis babitkan sanak saudara lain. Saya tiada masalah ke arah itu dan mereka juga faham situasi saya sebagai seorang Muslim.
“”Saya tidak boleh pilih untuk dilahirkan sebagai bukan Islam tapi saya memilih untuk mati dalam Islam. Bila ada orang tanya kenapa kena pakai tudung panjang-panjang (labuh)? Saya akan jawab Kalau saya mau pakai tudung saya akan pakai tudung betul-betul.
“Arwah suami pesan, kalau awak nak pakai tudung kerana saya, bila saya sudah tiada awak akan pakai tudung, buka tudung..pakai tudung buka tudung! Tapi kalau awak pakai tudung kerana Allah SWT, awak akan pakai tudung sampai bila-bila,” tambahnya yang tidak pernah lupa akan pesanan arwah suaminya itu sampai bila-bila.
Menurut Amira juga salah satu anugerah terbesar dalam hidunya adalah menjadi seorang Muslim dan dapat merasai kemanian iman itu. Justeru dia berharap sekiranya dia meninggal nanti berharap agar ada orang yang akan uruskan jenazahnya kerana seluruh ahli keluarganya bukanlah beragama Islam.
Hijabista ucapkan semoga dia terus istiqomah dan kekal dengan cara hidup sebagai seorang Muslim.
VIDEO PENUH:
KREDIT FOTO: INSTAGRAM AMIRA LEE
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Elak Jadi Muflis Hujung Bulan, Kerat Kad Kredit & Berbelanja Secara Tunai. Semak 4 Lagi Tip Lain!
Isi Kandungan
ToggleKewangan bukan semata-mata ilmu matematik. Sebenarnya ia jauh tentang hal mengurus emosi. Berjaya atau tidak dalam mempertahan kubu yang dibina, semuanya bergantung pada dalaman diri.
Selalu terjadi, kita gagal untuk menyimpan bukan kerana tidak cukup wang, tetapi tabiat diri dan desakan emosi yang menggagalkan kita untuk membuat simpanan.
Menurut Robert Kiyosaki dalam buku Rich Dad Poor Dad, orang kaya mengumpul harta dan mempertahankan harta sama ibarat sang tentera melindungi kubu dalam peperangan. Apa jua yang berlaku, kubu mestilah didahulukan.
Maka untuk menjadi kaya, perlulah kita mengawal emosi dan membiasakan diri dengan tabiat-tabiat yang boleh elakkan kekayaan atau kewangan kita daripada bocor.
Berikut merupakan antara 6 strategi penting yang boleh membantu:
Strategi #1 – Bayar Diri Sendiri Dulu
Apabila mendapat wang, bayar diri sendiri dahulu dengan menambahkan wang simpanan. Selebihnya barulah berbelanja. Bukan berbelanja dahulu, kemudian ada duit lebih baru ingin memendam azam untuk menyimpan. Percayalah, jika ditunggu duit lebih, memang selamanya, kita tidak akan menyimpan wang kocek untuk hari esok.
Strategi #2 –Alih Duit Kepada Harta
Jika mempunyai duit simpanan jangka panjang, tukar duit tersebut ke dalam bentuk harta sebenar seperti jongkong emas, tanah lot atau rumah-rumah sewa. Usah biarkan duit itu terbiar dalam bentuk tunai kecuali duit simpanan kecemasan sahaja.
Strategi #3 –Kerat Semua Kad Kredit
Kerat semua kad kredit kecuali satu. Kad kredit adalah lubang hutang paling mudah. Sememangnya tampak hebat jika memiliki kad kredit Platinum, tetapi ketahuilah bahawa kad kredit boleh menjadi ‘kanser’ kewangan sebab kita tidak menyedari duit sebenarnya sedang tiris. Apabila tersedar, hutang bertimbun menggunung. Dengan kadar faedah paling tinggi berbanding pinjaman yang lain, malah kadar faedahnya adalah pengkompaunan.
Strategi #4 – Berbelanja Secara Tunai Sahaja!
Jika ingin membeli barang, pastikan membeli secara tunai supaya kita betul-betul terasa setiap sen duit yang keluar. Jauhkan segala bentuk ansuran, beli dulu bayar kemudian, skim bayaran mudah, hatta ‘zero interest payment’ sekalipun. Walaupun mungkin ‘zero interest payment’ tu secara matematiknya seperti terlihat untung, akan tetapi ia secara tidak langsung memupuk tabiat suka berhutang. Dalam jangka panjang, ia musuh dalam selimut yang paling bahaya.
Strategi #5 – Langsaikan Hutang Sekecil Zarah
Apabila berniat untuk melangsaikan hutang, sasarkan untuk membayar hutang yang jumlahnya paling kecil dahulu kerana apabila satu hutang sudah selesai, ia menjadi motivasi untuk melangsaikan hutang-hutang lain. Pabila terang-terangan bebas hutang, kita pasti akan terasa cukup berat untuk berhutang lagi kecuali “hutang baik” yang membuatkan kita lebih kaya.
p/s: Andaikan ada dua hutang yang jumlahnya lebih kurang sama, apa kata selesaikan hutang yang berkadar faedah yang paling tinggi terlebih dahulu.
Strategi #6 – Buat “Hutang Baik”, Tambah Harta
Jika kenaikan gaji sudah bertambah baik atau pendapatan sudah meningkat, manfaatkan kenaikan tersebut untuk membuat hutang-hutang baik seperti menambah rumah sewa, beli tanah dan sebagainya. Bukannya silih ganti kereta baru! Memang bukan senang untuk memaksa diri untuk menyimpan wang, namun jika berhutang, kita terpaksa langsaikannya! Walau apa pun, hutang piutang tersebut mesti diurus dengan baik, agar kita hidup tanpa himpitan hutang.
hb
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Sudah 3 Tahun Bertudung, Ayu OIAM Tak Upah Penata Hijab Sebaliknya Lebih Selesa Pilih Suami Jadi ‘Stylist’
Melihat gaya hijab digayakan pelakon serta pengacara popular, Neelofa begitu terletak kemas dan cantik. Idea yang disumbangkan penata hijabnya menjadikan selebriti ini tampil menarik dengan pelbagai gaya menarik. Lain orang lain cita rasanya. Bagi penyanyi yang pernah bergelar juara dalam pertandingan One In The Million (OIAM), Ayu Damit yang mula berhijab tiga tahun lalu selesa menggayakan hijab hasil kreativiti suaminya sendiri sebagai stylist atau perunding imejnya.
Menurut penyanyi kecil molek ini, dia sebenarnya mula berhijab sejak 2015 lalu dan semua bermula dengan suruhan suaminya sendiri.
“Sebenarnya saya baru tiga empat tahun memakai hijab. Memang sudah lama pasang niat berhijab tetapi masih belum ada seru. Hinggalah satu hari kebetulah suami suruh jadi saya cakap boleh pakai tudung tapi daddy kena beri pada saya.
“Saya kata lebih bermakna rasanya kalau daddy yang belikan hijab dan beri saya pakai. Waktu itu pula saya baru sahaja habis pantang anak ketiga,” ujar Ayu menceritakan pengalamannya berhijab.
Walau bagamanapun, sebelum berhijab memang ada sedikit keraguan dan berfikiran negatif bagaimana penerimaan orang padanya nanti.
“Awalnya memang saya ragu-ragu dan berfikiran negatif takut bila pakai tudung nanti ada lagi ke tawaran. Atau orang kenal saya ke nanti dan macam-macam soalan lain bermain di fikiran.
“Tetapi suami cakap jangan takut sebab kalau ada rezeki adalah. Jadi suami kemudian mula beli hijab dan daripada situ saya mula memakainya hinggalah sekarang. Alhamdulillah sejak itu saya kekal memakainya hinggalah sekarang,” tambahnya yang cukup beruntung apabila suaminya sendiri yang menjadi penata gaya hijabnya.
“Apa yang lebih bermakna adalah suami saya sendiri yang pakaikan atau style kan untuk saya. Dia rajin lihat cara pemakaian artis lain yang bertudung. Kadang-kadang dia lihat di youtube dan cuba idea kreatif yang difikirkan cantik untuk saya.
“Suami juga selalu ikut saya ke mana sahaja show memandangkan kami tak ada pembantu rumah. Jadi sama-sama uruskan kerjaya seni ini.
“Dia suka lihat gaya hijab seperti Neelofa dan beberapa artis lain dan cuba padankan apa yang bersesuaian dengan imej saya,” jelas Ayu lagi yang mengakui walaupun jarang muncul di kaca tv, namun tawaran menyanyi tidak terhenti malah dia tetap aktif di luar sana.
“Kalau dulu selalu rasa tak keluar tv, show merudum kerana orang tak panggil. Sebenarnya itu semua atas diri sendiri. Kalau kita tak aktif dan keluar depan khalayak orang takkan tahu saya masih ada di dalam industri ini. Populariti atau keluar atau tidak di kaca tv itu bergantung pada diri kalau di tv tetapi tak ada show tak berbaloi juga kan.
Mengakui suaranya sedikit hilang ‘original’ usai melahirkan anak, Ayu Damit yang juga dipanggil Ayu One In Milion tidak menyesal dengan keputusan mendirikan rumah tangga.
“Sya menyanyi kerana minat dan tak penat walaupun terpaksa struggle. Saya pernah ‘stop’ jadi suara asal tu dah ‘hilang’ jadi saya kena selalu berlatih untuk dapat kembali suara asal. Sebab itu saya terima semua tawaran tak kisah berapa yang diberi asalkan saya boleh berlatih menyanyi,” ceritanya yang kini turut sibuk menguruskan keluarga kecilnya.
Menurut Ayu dia juga turut mengakui suaranya hilang disebabkan faktor melahirkan anak sebelum ini.
“Kalau sebut bab kahwin dan dapat anak antara sebab saya hilang suara original, memang kadang rasa rugi tapi bila difikirkan kelebihan lain yang diperoleh saya rasa keputusan saya ambil tepat. Saya boleh pelbagaikan range, mungkin sekarang kekuatan saya di bawah low note. Saya kena berlatih lagi jika mahu dapat kembali original note.
“Soal takut tu tak timbul cuma mungkin tanggapan orang bahawa saya boleh menyanyi note tinggi. Tapi sekarang mereka kena tahu saya juga boleh nyanyi low note.
“Kalau lepas ini diberikan lagi rezeki mengandung anak keempat saya tetap terima cuma buat masa sekarang fokus lebih kepada kerjaya,” ujar Ayu Damit atau nama sebenarnya Norayu Damit yang ditemui dalam majlis pelancaran program Pencarian Model Realiti Online Miss Pinkylady anjuran Pink Lady dan diterbitkan oleh ICube Studio.
KREDIT FOTO: INSTAGRAM AYU DAMIT
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI