Mula Berpurdah Sejak PKP, Yatt Hamzah Pohon Doa Agar Istiqomah

Share

Pelakon dan pengacara, Yatt Hamzah kini dalam proses untuk berhijrah dari segi penampilan dengan memakai purdah.

Sudah mengenakan purdah sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu, Yatt Hamzah menjelaskan dia kini sedang dalam proses untuk berhijrah dari segi penampilannya.

“Saya dah mula pakai purdah sejak PKP lagi dan ketika PKPP, saya pakai hampir setiap hari ketika menghantar dan mengambil anak dari sekolah. Sebelum ini, saya pakai pelitup mulut dan hidung.

“Tapi, apabila fikirkan semula, baik saya berpurdah saja sebab lebih selesa. Jadi, saya mula perlahan-lahan,” jelasnya kepada Harian Metro.

Niat baik pelakon dan pengacara itu juga turut mendapat sokongan padu daripada suaminya, Zulfadhli Khiruddin.

“Saya ada luahkan hasrat untuk berpurdah kepada suami dan dia pun sokong. Bukan sebab saya terlalu cantik atau wajib, tapi sebab memakai purdah, banyak perkara seperti fitnah boleh dielakkan.

“Dengan memakai purdah juga, saya dapat mengawal diri saya sebab ramai tahu, saya jenis periang dan suka ketawa. Apabila pakai purdah, dapatlah kawal diri kita,” katanya.

Selain itu, Yatt juga berharap agar orang ramai dapat mendoakannya agar terus istiqomah.

“Saya pun masih belajar dan perlu banyak beristiqomah. Saya tak tahu sama ada saya kuat atau tidak untuk terus memakai purdah.

“Saya kongsikan gambar di Instagram sebelum ini bukan untuk menunjuk, sebaliknya mengharapkan doa daripada keluarga, rakan-rakan dan pengikut Instagram saya,” ujarnya.

kredit: Harian Metro

Published by
Team Hijabista