Selepas seminggu, Dato’ Sri Siti Nurhaliza dan Dato’ Sri Khalid Mohamad Jiwa akhirnya berkongsi wajah dan nama puteri sulung mereka kepada umum. Rata-rata netizen cukup berpuas hati dan gembira kerana pasangan suami isteri ini menunaikan janji mereka untuk berkongsi wajah dan nama puteri mereka ini.
Seperti yang diketahui umum, semalam telah berlangsungnya satu majlis Maulid Nabi, Aqiqah dan Tahnik bertempat di kediaman mereka yang terletak di Bukit Antarabangsa. Satu sambutan yang cukup meriah diiringi dengan selawat serta lagu puji-pujian kepada Allah dan Rasulullah SAW. Majlis ini juga turut dihadiri oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri.
Menerusi posting yang dimuat naik satu jam yang lalu, Datuk Dr. Zulkifi turut memuji majlis yang dianjurkan oleh pasangan suami isteri ini. Pada pandangan mata Mufti Wilayah ini, ia merupakan satu majlis yang cukup sempurna kerana diisi dengan perkara-perkara yang bermanfaat seperti selawat, lagu-lagu pujian kepada Allah dan Rasulullah SAW oleh Ustaz Iqbal Zain, Ustaz Kyrel Al-Gayauwi dan kumpulan qasidahnya.
Malah, beliau juga berpeluang untuk menyampaikan tazkirah tentang anak sebagai anugerah daripada Allah SWT dan pesanan serta panduan kepada ibu bapa untuk mendidik anak-anak dengan acuan agama. Menurutnya, inilah pengisian yang wajar dijadikan contoh dan ikutan dalam kalangan umat Islam bagi meraikan kelahiran anak.
Selain itu, Mufti Wilayah juga turut mengulas tentang nama Aafiyah, nama yang diberi kepada puteri kesayangan Siti dan suaminya itu. Katanya, nama ‘afiah cukup luas definisinya dalam Islam. Secara umumnya, ‘afiah adalah perlindungan Allah SWT bagi hamba-Nya daripada pelbagai penyakit dan bencana yang telah berlaku, mahupun akan datang, di dunia dan akhirat.
Ini perkongsian Mufti Wilayah Persekutuan menerusi Facebook miliknya…
Alhamdulillah, selesai sudah Majlis Maulid Nabi, Aqiqah dan Tahnik bagi Siti Aafiyah binti Khalid, puteri Dato’ Sri Khalid Mohamad Jiwa dan Dato Sri’ Siti Nurhaliza. Penghargaan juga kepada Dato’ Sri Khalid Mohamad Jiwa atas kesudian bertandang ke pejabat saya tempohari untuk menjemput saya ke majlis beliau serta membincangkan sedikit perihal kesesuaian nama Siti Aafiyah.
Majlis yang diadakan semalam, sungguh sempurna pada pandangan saya. Ianya diisi dengan selawat, lagu-lagu pujian kepada Allah dan Rasulullah SAW oleh Ustaz Iqbal Zain, Ustaz Kyrel Al-Gayauwi dan kumpulan qasidahnya. Tazkirah yang saya sampaikan semalam adalah tentang anak sebagai anugerah daripada Allah SWT dan pesanan serta panduan kepada ibu bapa untuk mendidik anak-anak dengan acuan agama. Boleh tonton di Instagram story saya (http://www.instagram.com/drzulkifli.albakri) ataupun di Facebook saya (http://facebook.com/drzulmuftiwp). Pengisian sebeginilah yang sewajarnya dijadikan contoh dan ikutan dalam kalangan umat Islam bagi meraikan kelahiran anak. Tahniah sekali lagi kepada Dato’ Sri Khalid Mohamad Jiwa dan Dato Sri’ Siti Nurhaliza.
Perihal Nama Aafiyah (عافية)
Pengertian ‘afiah dalam Islam luas cakupannya luas baik di dunia, mahupun di akhirat. Secara umumnya, ‘afiah adalah perlindungan Allah SWT bagi hamba-Nya daripada pelbagai penyakit dan bencana yang telah berlalu, mahupun akan datang, di dunia dan akhirat. Maka, orang yang mendapatkan kurnia ‘afiah, maka dia telah mendapat kebaikan yang sempurna.
Terdapat satu doa yang disarankan oleh Nabi SAW sebagaimana yang dinukilkan oleh al-Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Azkar.
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ ، فِي دِينِي ، وَدُنْيَايَ ، وَأَهْلِي ، وَمَالِي ، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِي ، وَآمِنْ رَوْعَاتِي ، اللَّهُمَّ احْفَظْنِي مِنْ بَيْنَ يَدَيَّ ، وَمِنْ خَلْفِي ، وَعَنْ يَمِينِي ، وَعَنْ شِمَالِي ، وَمِنْ فَوْقِي ، وَأَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ أُغْتَالَ مِنْ تَحْتِي
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiah) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya aku memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiah) dalam agamaku, dunia, keluarga dan hartaku. Ya Allah, tutupilah aibku dan berilah ketenteraman di hatiku. Ya Allah, jagalah aku; dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atasku, serta aku memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawahku.”
(Riwayat Abu Daud, no. 5074)
Ibn Umar menyatakan: “Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkan doa-doa ini ketika pagi dan petang.”
Justeru, bacalah doa ini pada waktu pagi dan petang, sebagaimana amalan Rasulullah SAW.
Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW menegaskan:
سَلُوْا الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فَإِنَّ أَحَدًا لَمْ يُعْطَ بَعْدَ الْيَقِيْنِ خَيْرًا مِنَ الْعَافِيَةِ
Maksudnya: “Mintalah keampunan dan keselamatan (‘afiah) kepada Allah SWT. Sesungguhnya seseorang tidak diberikan pemberian setelah keyakinan yang lebih baik dari keselamatan (‘afiah)”
(Riwayat al-Tirmizi, no. 3558)
Moga-moga Siti Aafiyah membesar menjadi Muslimah yang solehah. Berbakti kepada ibu bapanya, keluarga, masyarakat, negara dan agama. Wallahua’lam.
Sumber: Facebook Mufti Wilayah Persekutuan
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI