Dalam Islam, keredhaan Allah S.W.T ialah fokus utama kita dalam menjalani kehidupan seharian. Tidak kira dalam apa jua situasi sekalipun, kita dinasihatkan untuk sentiasa memohon keampunan dari Allah S.W.T supaya kita berada dalam lindungan-Nya dari perkara-perkara yang keji.
Apabila kita sentiasa dipelihara oleh Allah S.W.T, maka dengan itu, kita akan terhindar dari amalan-amalan yang menyesatkan yang boleh membawa kita ke lembah maksiat yang sememangnya dibenci oleh Allah S.W.T. jadi, apakah doa yang harus dibaca untuk kita sentiasa dipelihara oleh-Nya?
اللَّهُمَّ جَنِّبْنِي مُنْكَرَاتِ الْأَخْلَاقِ، وَالْأَهْوَاءِ، وَالْأَسْوَاءِ، وَالْأَدْوَاءِ
Maksudnya: “Ya Allah! Jauhkanlah aku daripada kemungkaran akhlak, mengikut hawa nafsu, keadaan yang buruk dan penyakit yang berbahaya.”
Seperti mana yang tertulis dalam Al-Quran, mencari keredhaan Allah S.W.T adalah misi utama kita sebagai hamba-Nya yang hidup di atas muka bumi ini. Biarpun dihujani dengan pelbagai kemewahan, kesenangan, malah diberikan pelbagai bentuk cabaran dan dugaan, janganlah kita lupa tentang matlamat utama kita bernafas hari ini.
Seperti mana Allah berfirman dalam Surah al-‘Ankabuut, ayat 69 yang bermaksud:
“Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar berserta orang-orang yang berbuat baik.”
Oleh yang demikian, kita haruslah memperbanyakkan doa kepada Allah SWT supaya sentiasa dipelihara daripada akhlak buruk. Oleh sebab itu Nabi SAW selalu berdoa kepada Allah dengan doa berikut yang bermaksud:
” Ya Allah, sesungguhnya aku mohon berlindung dengan-Mu daripada segala kemungkaran akhlak, amalan dan nafsu.” (Riwayat al-Tirmidhi)
Usaha untuk menjadi baik dan berakhlak. Akidah dan doa saja tidak cukup untuk mengubah seseorang menjadi baik selagi ia tidak disusuli dengan usaha yang kuat. Tuntasnya, berusaha untuk melawan hawa nafsu sangat perlu kerana titik mulanya adalah di situ.