Mitos Tentang Penjagaan Luka, Betul Ke Jangan Makan Kicap, Nanti Parut Jadi Hitam

Share

Malang tidak berbau. Ketika sedang mengupas buah mangga tiba-tiba jari terluka. Biasalah ada kalanya kemalangan kecil berlaku tanpa disangka. Selalunya ketika keadaan ini berlaku, ramailah yang mencuba pelbagai jenis petua untuk merawat luka.

Tidak kurang juga yang berkongsi pantang larang yang perlu dielakkan ketika luka masih belum sembuh. Macam-macam yang tidak boleh dimakan kononnya bagi mengelakkan luka jadi bernanah, gatal dan menyebabkan parut hitam.

Doktor Kamarul Ariffin Nor Sadan berkongsi tentang fakta penjagaan luka. Moga ia bermanfaat.

KETAHUI FAKTA-FAKTA PENJAGAAN LUKA:

1. Lebih dalam luka, lebih sakit
Mitos. Lebih banyak penderia kesakitan terletak pada lapisan paling kulit paling luar (epidermis). Oleh itu luka dangkal seperti luka tersagat, adalah lebih sakit daripada luka tikaman atau luka terbelah.

2. Luka perlu dicuci dengan alkohol untuk basmi kuman
Mitos. Alkohol digunakan untuk membasmi kuman pada kulit yang tiada luka. Pencucian luka dengan alkohol amat memedihkan dan boleh menyebabkan sel di dalam luka akan mati. Ada cucian antiseptik yang lebih mesra luka. Jika luka tiada tanda-tanda jangkitan kuman, hanya perlu cuci luka dengan air saline.

3. Mandi laut akan percepat luka sembuh
Di hospital, luka yang tiada jangkitan dicuci dengan air garam(NaCl 0.9%). Namun begitu,ia tidak bermakna air laut baik untuk pemulihan luka. Air laut kadangkala dicemari dengan kuman, maka ada risiko untuk luka dijangkiti kuman. Selain itu kepekatan larutan garam dalam air laut yang sangat tinggi akan menyebabkan sakit pada luka.

4. Luka kalau dibiar terbuka lebih cepat kering(sembuh)
Mitos. Luka perlu dikekalkan lembap untuk proses pemulihan yang lebih pantas dan elok. Ini kerana sel-sel yang bertanggungjawab untuk proses pemulihan luka memerlukan medium lembab untuk bekerja dengan optimum. Luka perlu ditutup dengan dressing yang sesuai.

Photo by karolina-grabowska from Pexels.

5. Pembentukan keruping adalah tanda luka sedang pulih dengan baik
Mitos. Pembentukan keruping terlalu awal tandanya luka dibiarkan terlalu kering. Keruping halang proses pertumbuhan sel baru dan menghalang luka sembuh dengan sekata. Untuk elakkan keruping awal, luka perlu dikekalkan lembap dengan menutupnya dengan dressing yang sesuai.

6. Jangan tutup luka dengan plaster. Plaster tempat pembiakan kuman
Plaster akan menghalang kuman di persekitaran daripada masuk ke dalam luka. Plaster telah dinyahkuman sebelum dibungkus. Setelah pek dibuka, jangan sentuh permukaan plaster yang akan ditampal pada luka. Plaster perlu ditukar setelah 2 hari.

Photo by gustavo-fring from Pexels.

7. Jangan makan telur jika ada luka. Nanti luka bernanah
Mitos. Tiada masalah jika anda makan telur. Lagipun untuk proses pemulihan luka memerlukan protin. Apa yang tidak boleh adalah menyapu telur mentah pada luka.

8. Jangan makan kicap jika ada luka. Nanti parut hitam
Mitos. Parut menjadi hitam kerana keradangan pada luka merangsang sel melanocyte menghasilkan melanin (pigmen pada kulit dan rambut). Jangkitan pada luka juga boleh sebabkan parut gelap. Bukan kerana kicap.

Sumber kredit: Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan Top image: Photo by mart-production from Pexels.

Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.

Published by
Norhasliza