Mira Filzah Naik Pelamin, Imam Muda Hassan Bagi Nasihat: “Hargailah Pasangan, Bersyukurlah Ada Suami, Ada Isteri”

Share

Perkahwinan merupakan Sunnah Rasulullah SAW yang dianjurkan berdasarkan nas al-quran dan hadis, inilah fitrah yang dilalui oleh manusia dalam membina kehidupan dengan sempuna dan bahagia.

Baginda bersabda lagi:

إِذَا تَزَوَّجَ الْعَبْدُ فَقَدِ اسْتَكْمَلَ نِصْفَ دِينِهِ؛ فَلْيَتَّقِ اللهَ فِي النِّصْفِ الْبَاقِي

Maksudnya: Apabila seorang hamba itu berkahwin, maka sesungguhnya dia telah berusaha menyempurnakan sebahagian agamanya, oleh itu hendaklah dia bertaqwa kepada Allah pada sebahagian lagi yang berbaki. Riwayat al-Baihaqi (5486), al-Tabarani dalam Mu’jam al-Awsat (7647)

Perkahwinan hakikatnya adalah suatu ibadah dalam Islam. Ia dianjurkan bagi memelihara sekurang-kurangnya satu daripada maqasid syariah iaitu memelihara nasab dan keturunan.

Perkahwinan juga disyariatkan bagi mengurus keperluan semula jadi manusia selaras dengan tuntutan agama. Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud “Dan tiap-tiap jenis Kami ciptakan berpasangan, supaya kamu mengingati (kekuasaan Kami dan mentauhidkan Kami).”

(Surah al-Dzariyat ayat 49).


Perkahwinan adalah dituntut apabila seseorang itu berkemampuan dari segi fizikal dan mental serta bimbang jika dirinya akan terjerumus dalam perbuatan dosa dan maksiat.

Ia bertepatan dengan hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud “Wahai anak muda. Sesiapa daripada kamu yang mampu untuk berkahwin, hendaklah dia berkahwin. Sesungguhnya ia akan menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan. Sesiapa yang tidak mampu hendaklah dia berpuasa. Sesungguhnya puasa itu adalah perisai.” (Sahih Muslim, Kitab an-Nikah).

Malam tadi, dengan sekali lafaz, pelakon Mira Filzah, 27, sah bergelar isteri kepada Wan Emir Astar Wan Mohamad Khair-il Anuar, 30, anak kepada Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datin Mastura Mohd Yazid di Sime Darby Convention Centre, Kuala Lumpur. Pasangan itu dinikahkan bapa kandung Mira, Badioezaman Ab Khalik.


Melalui satu perkongsian di Instagramnya, Imam Muda Hassan Adli berkongsi tentang erti sebuah perkahwinan.

Mira Filzah Menikah, Ramai Pula Lelaki Yang Kecewa

Teman ada terbaca beberapa komen di media sosial, macam-macam komen bila viral Mira Filzah menikah malam tadi.

Ada yang kata, “benda yang lalu jangan dikenang lagi”, “aduhai frust nya aku”, “kenapalah tak kahwin dengan aku”, hinggakan yang negatif side pun ada, tak sanggup nak tulis kat sini.

Mungkin ada yang komen tu dalam nada bergurau, dan mungkin juga ada yang dalam bentuk seriously frustration! Ye la, manusia sukar untuk difahami, hati manusia tak sama. Fikiran setiap orangpun berbeza.

Cuma bagi yang belum berkahwin tu, ingatlah, jodoh tu urusan Tuhan, kita berusaha mencarinya dan berusahalah perbaiki diri menjadi yang terbaik untuk bakal pasangan kita kelak. Suami yang baik untuk isteri yang baik. Isteri yang baik untuk suami yang baik.

Yang bakal berkahwin, make sure jaga batasan hubungan, kalau dah bertunang tu bukan bermaksud semuanya dah jadi halal. Menjaga batasan hubungan sebelum perkahwinan sangat penting, ia mengundang berkat dalam perkahwinan kita nanti, in shaa Allah.

 

Yang dah berkahwin tu, hargailah pasangan hidup kita. Bersyukurlah ada suami, ada isteri. Ramai yang belum dapat nikmat seperti kita, ada peneman hidup yang menghiasi warna kehidupan kita. Alhamdulillah!

KESIMPULANNYA:

Perkahwinan adalah suatu tanggungjawab yang besar, yang diamanahkan oleh Allah SWT. Hendaklah kita memenuhi sepertimana yang disebutkan di atas bagi menggapai erti sebenar keluarga yang bahagia di dunia dan akhirat.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman untuk kita dalam mengamalkan syariat Islam. Amin.

Sumber: Instagram Imam Muda Hassan Adli dan Instagram Mira Filzah

Published by
Norhasliza