Minum Jamu DIY Campuran Halia, Serai, Kulit Kayu Manis, Daun Pudina & Gula Kabung, Berdebus-debus ‘Angin’ Keluar

Share

Perut yang kembung dan ‘berangin’ tentunya membuatkan kita jadi kurang selesa. Mana tidaknya, selepas makan macam-macam makanan, tentulah perut jadi tidak selesa. Apa sahaja yang dilakukan dirasakan serba tidak kena.

Ketidakselesaan itu jika dibiarkan pasti akan menganggu mood. Oleh itu anda perlu lakukan ‘sesuatu’ agar angin dalam perut dapat segera di keluarkan.

Berikut perkongsian Sarifa Redzuan II

Perut rasa padat sangat. Makan macam-macam. Pergi dapur tengok dalam peti sejuk ada sikit bahan.

Ketuk 1 halia besar tapak tangan dan 2 batang serai, masuk dalam periuk, rebus bersama 2 batang kulit kayu manis, 9 helai daun pudina.

Hendak lebih sedap, rebus sekali 1 gulung gula kabung. Apabila sudah mendidih, tutup api. Biarkan suam. Kebetulan ada lemon di rumah. Perah lemon dalam air jamu, kemudian minum.

Baru minum setengah gelas, angin sudah mula keluar (kentut). Tak sampai setengah, mula rasa hendak ‘membuang’. Perut terasa ringan. Memang menjadi jamu DIY buang angin ini.

KHASIAT HALIA UNTUK KECANTIKAN:

Mengurangkan berat badan
Halia mampu menghapuskan lemak tepu kerana ia boleh menjadi ajen pembakar lemak. Selain itu, halia juga mampu melancarkan penghadaman dan meningkatkan metabolisma badan. Kajian menunjukkan jika seseorang individu itu minum air halia suam setiap kali selepas makan, anda akan berasa kenyang untuk tempoh yang lebih lama.

Mengurangkan kesakitan haid
Ketika dalam tempoh haid pastinya rasa tidak selesa dan sakit terutama di bahagian perut. Jadi amat digalakkan wanita yang dalam tempoh awal haid untuk mengamalkan halia ini kerana ia boleh mengurangkan rasa sakit. Campurkan halia dalam segelas air panas, kemudian minum ketika suam. Pasti perut akan terasa lega.

Mengurangkan pening kepala
Jika anda kerap mengalami pening kepala, cuba kunyah sedikit halia mentah atau rebus di dalam air kemudian hidu wap yang terhasil. Memang ia sangat menenangkan.

KHASIAT SERAI

Memutihkan gigi
Caranya mudah sahaja. Tumbuk halus 2 batang serai yang dipotong kecil dan campur sedikit kapur dan gosok pada gigi. Lakukan 3 kali seminggu dan lihat perubahannya.

Mencantikkan kulit
Banyak digunakan untuk kosmetik. Serai juga boleh dijadikan sebagai penyegar wajah.

KHASIAT KULIT KAYU MANIS:

Menghilangkan bau mulut
Kunyah kulit kayu manis dan kemudian bilas dengan air suam. Hasilnya mulut berbau harum.

Merangsang pertumbuhan rambut
Kulit kayu manis boleh dijadikan masker untuk mengurangkan risiko rambut gugur. Gunakan serbuk kayu manis sebagai campuran masker rambut.

Pelembap bibir
Bagi anda yang memiliki bibir kering dan pecah-pecah, ramuan ini sangat bagus. Penggunaannya mudah. Anda hanya perlu mencampurkan serbuk kayu manis dengan minyak kelapa. Kemudian, sapukan campuran tersebut pada bibir.

KHASIAT DAUN PUDINA:

Mengeringkan jerawat
Daun pudina bersifat antibakteria yang dapat membunuh kuman pada jerawat. Caranya mudah sahaja, haluskan daun pudina kemudian aplikasikan pada bahagian wajah yang berjerawat. Biarkan seketika, kemudian bilas hingga bersih.

Mencerahkan kulit wajah


Kandungan antioksidan pada daun pudina dapat membantu mengangkat sel kulit mati. Ia menjadikan kulit wajah lebih sihat, lembap, dan cerah bercahaya. Caranya haluskan daun pudina dengan tambahan kunyit dan air mawar. Sapukan pada wajah hingga ke bahagian leher, kemudian biarkan hingga 15 minit. Bilas wajah hingga bersih lalu keringkan. Wajah akan terlihat lebih cerah.

Menghilangkan noda hitam
Daun pudina membantu menghilangkan noda hitam pada kulit wajah. Ambil beberapa helai daun pudina, kemudian haluskan dengan menambahkan air dan kunyit hidup.
Sapukan pada wajah, kemudian gosok dengan lembut menggunakan jari. Bilas wajah hingga bersih. Lakukan perawatan kecantikan ini dua kali dalam seminggu untuk hasil maksimum.

Sumber kredit: Sarifa Redzuan II

Published by
Norhasliza