Minta Cerai, Tak Sanggup Bermadu? Ini Penjelasan Ustaz Tentang ‘Hukumnya’ Menurut Islam!

Share
Baru-baru ini kecoh dilaman sosial berhubung kemelut rumahtangga pasangan selebriti terkemuka tanah air yang semakin goyah dilanda badai, sehingga berlakunya tuntutan cerai dilaman sosial dengan alasan tidak dapat berbincang kerana di sekat sang suami serta tidak sanggup bermadu ‘kasih’ bersama wanita lain.
Namun, tahukah anda apakah hukum sekiranya wanita nekad menuntut penceraian dengan alasan ‘tak sanggup dimadukan’ ini? Hijabista terpanggil untuk menjelaskan hukumnya agar hijabi lebih cakna, sekiranya situasi sama menimpa diri anda!

Haram! Isteri Minta Cerai Kerana Tak Sanggup Bermadu

Hijabista berkongsi penjelasan dan sudut pandang dari agamawan, Ustaz Emran Ahmad berhubung isu ini.
Ustaz Emran berkata, adalah haram bagi seorang wanita menuntut penceraian sekiranya menolak untuk dimadukan dan tidak mempunyai alasan yang munasabah dan kukuh yang dapat diterima syarak.
“Hukumnya ialah haram dan termasuk dalam golongan berdosa, kerana tidak menerima poligami dan enggan tunduk dan patuh kepada perintah Allah swt yang memberi kebenaran kepada kaum Adam untuk berkahwin lebih dari satu (berpoligami),” katanya.
Tambah Ustaz Emran lagi, perkara ini demikian kerana, sebuah hadis sahih ada menyatakan:

“Sekiranya mana-mana wanita minta ditalakkan (cerai) daripada suaminya tanpa sebab yang kukuh, maka terhalanglah dia daripada mencium haruman syurga.” (Hadis riwayat Abu Daud)

“Perbuatan mana-mana wanita tidak kira samada dia merupakan isteri kepada orang kenamaan, artis mahupun agamawan (Ustaz) yang meminta cerai dengan alasan tidak rela dimadukan suaminya, adalah salah dan tidak boleh dicontohi atau diberikan galakan oleh khalayak umum,” ujarnya.

Wanita-Wanita Yang Minta Talak Tanpa Sebab, Terkutuk, Tercela Dan Tak Cium Bau Syurga!

Malah, apa yang lebih menakutkan menurut hukum Islam, para isteri yang meminta-minta cerai dari suaminya adalah terkutuk dan dicela. Serta wanita-wanita ini tidak akan dapat mencium bau syurga di akhirat kelak.

Ustaz Emran turut berkongsi beberapa hadis lagi yang menyebut: “Mana-mana wanita yang meminta cerai daripada suaminya tanpa mempunyai sebab yang diterima Islam, maka diharamkan baginya untuk mencium bau syurga.” 

(Riwayat al-Hakim, 2/200, hadis sahih).

Justeru, katanya, para wanita hendaklah sentiasa bermuhasabah diri dengan menjadikan Al-quran dan As-sunnah sebagai panduan hidup mereka, dan tidak membuat keputusan mengikut hawa nafsu dan perasaan semata-mata, kerana hawa nafsu inilah yang akan menjerumuskan manusia kelembah paling hina.

5 Sebab Yang Membolehkan Wanita Minta Cerai, Menurut Ustaz Azhar Idrus

Mengulas isu sama, dalam perkongsian ceramah dilaman Youtube miliknya. Pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus mendedahkan beberapa sebab yang memboleh wanita meminta cerai atau memfailkan fasakh kepada suami dan diterimapakai dalam Kanun-Kanun Syariah di Malaysia.

  1. Suami larang melakukan perkara atau kerja yang wajib. Contohnya seperti suami melarang isterinya untuk menunaikan solat atau sembahyang, suami melarang isteri untuk menutup aurat.
  2. Suami meminta atau menyuruh isteri melakukan perkara yang haram. Contohnya, suami menyuruh isteri minum ketum, minum arak dan perkara-perkara yang berlanggar dengan syariat Islam sehingga mendatangkan kemudharatan kepada si isteri.
  3. Suami melakukan penderaan fizikal dan mental terhadap isteri. Contohnya, suami pukul dan dera isteri sampai berdarah-darah, melakukan keganasan rumah tangga seperti sepak terajang sehingga mencederakan anggota badan isterinya.
  4. Suami gagal memberi nafkah Zahir dan Batin kepada Isteri.
    Contohnya, suami culas memberikan isteri nafkah yang selayaknya seperti makanan yang mencukupi, pakaian dan tempat tinggal yang selesa. Termasuklah, nafkah batin yang selayaknya kepada isteri.
  5. Suami di penjara. Jika suami melakukan jenayah atau disabitkan kesalahan atas apa juga sebab hingga dipenjarakan, isteri boleh meminta fasakh atau cerai jika tempoh penjara sang suami melebihi tiga tahun dan keatas.

Sumber: Ustaz Emran Ahmad & Ustaz Azhar Idrus

Artikel berkaitan: Jangan Biarkan Diri Tidak Berilmu, Para Wanita Harus Fahami Tentang Konsep Poligami!

Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.

Published by
Haifa Nasir