Merujuk kamus dewan, merisik adalah ‘menyelidik secara diam-diam’ secara menyeluruh. Ianya memperlihatkan seorang lelaki mengunjungi pihak perempuan untuk bertanyakan lebih lanjut mengenai wanita yang bakal disunting menjadi suri hatinya.
Dalam keadaan tertentu, ada juga rombongan pihak lelaki datang secara mengejut sambil bertanyakan mengenai gerangan wanita yang bakal dinikahi. Ianya bertujuan berkenal-kenalan secara sopan dengan wanita dan keluarganya untuk mengetahui secara lebih dekat.
Secara ringkasnya, meminang adalah menyatakan keinginan untuk berkahwin kepada seorang perempuan. Ini adalah berdasarkan perbuatan Nabi saw yang meminang Aisyah dan Baginda juga pernah meminang Hafsah.
Namun begitu perlu juga diingat. Ada beberapa jenis perempuan yang tidak boleh dikhitbah iaitu :
*Perempuan yang masih di dalam iddah raj’iyyah walaupun secara sindiran (ta’rid)
*Perempuan yang sudah menjadi tunangan orang lain. Ini adalah berdasarkan hadis Nabi saw oleh Ibnu Umar. Kata beliau :
نَهَى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يَبِيعَ بَعْضُكُمْ عَلَى بَيْعِ بَعْضٍ وَلَا يَخْطُبَ الرَّجُلُ عَلَى خِطْبَةِ أَخِيهِ حَتَّى يَتْرُكَ الْخَاطِبُ قَبْلَهُ أَوْ يَأْذَنَ لَهُ الْخَاطِب
Maksudnya: “Nabi SAW melarang berjual beli di atas jualan sebahagian dari kamu dan (Nabi juga melarang) seorang lelaki meminang tunangan saudaranya sehinggalah dia meninggalkan tunangannya ataupun diizinkan oleh saudaranya (untuk meminang perempuan tersebut).” Riwayat al-Bukhari (5142)
Al-Khatib al-Syaribini menyatakan larangan tersebut dikeluarkan adalah kerana ianya sesuatu yang boleh menyakitkan orang lain. Rujuk Mughni al-Muhtaj (4/159)
ADAT BERTUKAR CINCIN DAN BAWA DULANG
Adapun adat-adat kebiasaan seperti bertukar cincin, membawa dulang ke rumah si perempuan dan lain-lain adalah merupakan adat yang harus dan tidak bercanggah dengan Islam. Ia hanya sebagai simbolik dan tanda keseriusan untuk menjadikan perempuan tersebut sebagai isteri.
Selagi mana adat tersebut tidak berlanggar dengan syarak maka ianya adalah perkara yang harus. Perkara tersebut juga perlulah dipersetujui bersama dan ia perlulah diikuti serta beriltizam dengannya.
Sabda Nabi SAW:
الْمُسْلِمُونَ عِنْدَ شُرُوطِهِمْ إِلاَّ شَرْطًا حَرَّمَ حَلاَلاً أَوْ شَرْطًا أَحَلَّ حَرَامًا
Maksudnya :” Orang Muslim berpegang dengan syarat mereka (yang telah dipersetujui) kecuali syarat yang mengharamkan perkara yang halal dan syarat yang menghalalkan perkara yang haram.” Riwayat al-Baihaqi ( 11762) di dalam Sunannya.
Namun, perkara yang perlu difahami dan diteliti, pertunangan bukanlah lesen untuk bergaul secara bebas. Perlakuan seperti keluar berdua ke kompleks membeli belah, makan bersama-sama dan lain adalah sama sekali dilarang. Ini kerana lelaki dan perempuan yang bertunang masih lagi dianggap sebagai orang asing. Apatah lagi duduk berdua-duaan di dalam tempat yang sunyi.
Ini berdasarkan sabdaan Nabi SAW:
وَلاَ يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ, فَإِنَّ ثَالِثَهُمَا الشَّيْطَانُ
Maksudnya: “Janganlah seorang lelaki berkhalwat (duduk berduaan) dengan seorang perempuan kerana pihak yang ketiga adalah syaitan.” Riwayat Imam Ahmad (179) di dalam Musnadnya.
Sumber kredit: Laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Instagram lofa.page