Perintah Kawalan Pergerakan memasuki hari ketiga hari ini dan diharap orang ramai lebih akur dengan arahan itu bagi mencegah penularan wabak COVID-19 di negara ini. Kesedaran tentang pentingnya Perintah Kawalan Pergerakan masih perlu ditingkatkan.
Masih ramai yang tidak mempedulikannya berkemungkinan kerana sikap degil dan keras kepala. Perbuatan itu boleh menyebabkan ‘episod’ jangkitan wabak COVID-19 berpanjangan dan semakin serius.
Kerajaan akan menggerakkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bermula Ahad ini dalam usaha mengurangkan pergerakan rakyat, namun ia bukanlah satu perintah darurat.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan yakin dengan bantuan tentera, tahap pematuhan rakyat terhadap perintah kawalan pergerakan akan lebih tinggi.
“Kita berharap rakyat terus patuh arahan tentera. Dari laporan pihak polis, jelas nampak ada peningkatan dari segi pematuhan rakyat. Kita ucap terima kasih kepada rakyat.
“Bagaimanapun, masih terdapat insiden ramai tidak mempedulikan arahan pihak kerajaan dan arahan polis. Pada peringkat awal ini, kita hanya nasihat dan tindakan berhemah dilakukan.
Kalau akhirnya sampai tahap tidak boleh kompromi, maka tindakan undang-undang akan digunakan,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Ismail Sabri juga menafikan penyebaran berita kononnya beliau akan memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong supaya perintah darurat dilaksanakan.
“Semalam pelbagai berita palsu diedarkan. Ini lebih menambah banyak panik dalam kalangan rakyat. Ada sampai audio, ‘posting’ dalam Facebook yang mengatakan Menteri Pertahanan akan umumkan perintah darurat selepas dapat perkenan Agong.
“Saya tidak tahu Menteri Pertahanan mana. Tiada dalam perancangan untuk perintah darurat. Malah kononnya aset tentera sudah digerakkan untuk perintah darurat pun tidak betul. Jadi, saya nasihatkan rakyat jangan mudah percaya,” katanya.
Sumber kredit: Berita Harian Dan Bernama