Mentaliti Serangan Jantung Hanya Terjadi Pada Golongan Orang Berumur Sudah Lapuk. Yang Muda Jangan Lalai!

Share

Serangan jantung kian meningkat dalam kalangan golongan muda. Hakikatnya, ia bukan lagi satu penyakit yang hanya dikaitkan dengan warga emas. Lebih membimbangkan lagi, fakta menunjukkan bahawa individu yang mengalami serangan jantung pada usia 20-an atau awal 30-an telah meningkat, dengan 1 daripada 5 pesakit serangan jantung berumur bawah 40 tahun.

Malah, kajian tentang penyakit arteri koronari dalam kalangan belia Malaysia mendapati, hampir 70% peserta berumur 15 hingga 24 tahun mempunyai sekurang-kurangnya satu faktor risiko kardiovaskular.

Buang jauh mentaliti lapuk

Mentaliti yang mengkaitkan serangan jantung dengan golongan orang berumur sudah lapuk. Oleh itu, golongan muda haruslah mengambil tindakan segera untuk menangani isu ini. Dr. Nabil bin Haji Idris, Pakar Perunding Kardiologi Residen di Hospital Aurelius Nilai, berkata “Penyakit jantung tiada diskriminasi umur. Ia boleh menyerang sesiapa sahaja, baik golongan muda mahupun yang tua. Tekanan darah tinggi, kencing manis dan kolesterol tinggi merupakan faktor penyumbang utama kepada penyakit jantung, dan kami menyaksikan semakin ramai golongan muda yang mempunyai risiko-risiko ini.

Sungguhpun dalam usia 20-an, sangat-sangat penting untuk menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala dan mengamalkan gaya hidup sihat untuk mengurangkan faktor-faktor risiko ini.”

Tanggapan golongan yang salah

Pakar mengesyorkan supaya rakyat Malaysia buang segala tanggapan salah supaya kita tidak lalai kemudian hari. Berikut adalah beberapa salah tanggapan yang lazim kedengaran tentang faktor risiko penyakit jantung dalam kalangan golongan muda:

SITUASI PERTAMA:

“Saya masih muda! Saya boleh makan apa-apa sahaja tidak mengira masa”

Siapa yang tidak menggemari sesi gerai mamak pada lewat malam? Namun, anda perlulah berfikir baik-baik sebelum memesan maggi goreng kesukaan anda! Ini kerana diet yang tidak sihat dan tinggi lemak akan menyebabkan pengumpulan plak di arteri anda dan meningkatkan risiko serangan jantung. Selain itu, apa kata tukarkan teh tarik anda dengan teh c kosong?

SITUASI KEDUA:

“Tak perlulah kawal rokok dan alkohol. Saya masih muda lagi!”

Amalan merokok adalah faktor risiko utama kegagalan jantung kongestif kerana ia mampu menyebabkan aterosklerosis serta meningkatkan tekanan darah. Alkohol yang diambil secara berlebihan selama beberapa tahun dapat menghasilkan kardiomiopati alkohol, iaitu satu keadaan di mana alkohol bertindak sebagai toksin untuk melemahkan otot jantung secara langsung. Inilah masanya untuk berhenti merokok!

SITUASI KETIGA:

“Orang-orang muda boleh menangani tekanan dengan baik, jadi itu bukanlah masalah besar.”

Tidak kiralah fizikal atau emosi, tekanan yang berterusan akan meningkatkan risiko mendapat penyakit jantung dan peredaran darah. Kajian mendapati, apabila anda berasa tertekan, amigdala anda (bahagian otak yang menangani tekanan) akan memberi isyarat kepada sumsum tulang untuk menghasilkan sel darah putih berlebihan. Ini dapat menyebabkan arteri meradang, yang berupaya mencetuskan serangan jantung, angina dan strok . Sesungguhnya, kehidupan kita memang tidak lari daripada tekanan, namun anda mesti memperuntukkan masa untuk berehat, memulihkan tenaga tubuh, dan menyegarkan tubuh untuk memerangi kesan tekanan.

SITUASI KEEMPAT:

 

“Tekanan darah tinggi, kencing manis dan kolesterol tinggi hanya melanda orang-orang yang berusia.”

Semua ini adalah faktor risiko klasik untuk penyakit jantung. Namun, golongan muda mungkin tidak sedar jika mereka mempunyai penyakit ini melainkan mereka menjalani pemeriksaan kesihatan secara keseluruhan. Tiada salahnya untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dari semasa ke semasa bagi mengenal pasti sebarang tanda masalah awal.

Meskipun sesetengah faktor risiko penyakit jantung tidak dapat dikawal, misalnya umur atau sejarah keluarga anda, anda boleh mengambil tindakan untuk mengurangkan risiko anda dengan mengubah faktor yang boleh dikawal.

Tambah Dr. Nabil lagi, “Perubahan kecil dalam gaya hidup anda, seperti bersenam dan membuat pilihan pemakanan yang sihat, boleh mendatangkan perubahan besar kepada kesihatan jantung anda. Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati, jadi sebaiknya anda menjalani pemeriksaan jantung dan mengenal pasti faktor risiko anda lebih awal, serta mengambil tindakan proaktif bagi melindungi dan menguatkan jantung anda.”

Jika anda ingin mengetahui lebih lanjut tentang profil risiko kardiovaskular anda atau menjadualkan lawatan pemeriksaan jantung, anda boleh membuat temu janji dengan Dr. Nabil bin Haji Idris di Hospital Aurelius Nilai atau janjitemu dengan pakar yang berhampiran dengan anda.

Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.

SUMBER: Hospital Aurelius Nilai

Published by
SH