Mati itu pasti dan setiap orang pasti akan mengalaminya. Tentunya anda mahu meninggal dunia dalam keadaan yang baik dan husnul khatimah. Namun, hanya insan terpilih sahaja akan meninggalkan dunia dalam husnul khatimah, bergantung kepada amalan semasa hayatnya.
Baru-baru ini, viral di media sosial tentang pemergian seorang gadis bernama Andi Aisyah Bahar, 22 tahun. Walaupun dia bukan dari kalangan selebriti ternama, tetapi ia cukup memberi kesan yang mendalam kepada netizen.
Apa yang menarik perhatian adalah Aisyah telah meninggal dunia ketika sedang membaca ayat suci Al-Quran. Menurut laporan sebuah portal media Indonesia, Liputan 6, bapa Aisyah, Andi Bahar telah memaklumkan bahawa ketika itu anaknya sedang membaca surah Al-Mutaffifin selepas selesai menunaikan solat Subuh.
“Malam sebelum meninggal, Aisyah telah bangun menunaikan solat sunat. Dia juga sempat bersahur untuk berpuasa kerana sudah menjadi kebiasaan untuk dia berpuasa pada setiap hari Isnin dan Khamis,” kata Andi sambil memberitahu anak kelimanya itu tidak pernah menunjukkan tanda-tanda tidak sihat.
Malah menurut Andi, Aisyah ada juga meminta ayahnya itu menemaninya membaca Al-Quran untuk memperbetulkan bacaan tetapi sebelum ini dia tidak pernah berbuat demikian. Belum sempat dia menghabiskan bacaan surahnya itu, dia telah menghampiri dan memeluk ayahnya, meminta untuk membimbingnya mengucap dua kalimah syahadah. Kemudian, dia terus meninggal dunia.
Tambah bapanya lagi, dia pernah mengadu sakit kepala beberapa kali tetapi disahkan sihat oleh doktor. Sebelum ini, dua abang Aisyah iaitu Andi Ibrahim dan Andi Asri telah meninggal dunia ketika sedang beriktikaf di masjid pada tahun 2009 dan 2011. Allahuakbar, beruntungnya mereka…
“Kami redha. Mereka dipanggil balik dalam keadaan yang sangat baik,” kata Andi Ratna.
Aisyah merupakan graduan lulusan pertanian dari Universiti Hasanuddin telah selamat dikebumikan pada petang Khamis di tanah perkuburan Lembaga Dakwah Islam Indonesia yang terletak tidak jauh dari rumahnya.
Hijabista ucapkan takziah buat keluarga arwah Aisyah. Semoga rohnya dicucuri Allah dan tergolong dalam golongan yang beriman, insyaAllah.
Sumber: Astro Awani