Siapakah Wajib Mengantikan Puasa Ramadan Dan Ini Panduan Lengkap.

Share

Kurang dari 10 hari umat islam seluruh dunia akan menyambut bulan ramadan, bulan yang penuh keberkatan. Kewajiban puasa pada bulan Ramadhan merupakan rukun Islam ketiga. Oleh itu, kita wajib menggantikan puasa jika tertinggal. Ini termasuk bagi kaum wanita yang tidak berpuasa ketika datang haid.

Hukum qada puasa atau menggantikan puasa Ramadhan ini perlu dibuat mengikut bilangan hari yang telah ditinggalkan. Masih berkesempatan bagi mereka yang belum mengqadakan puasa, namun sekiranya kesihatan tidak mengizinkan tidak perlu memaksa diri sehingga memudaratkan. Anda disarankan membayar fidyah.

BACA JUGA ARTIKEL INI: Ini Cara Pengiraan & Bayaran Fidyah Melalui Online! Wajib Bayar Bagi Hijabi Yang Tak Sempat Ganti Puasa.

Lafaz Niat Puasa Ganti

Lafaz bagi niat puasa ganti adalah seperti berikut:

Nawaitu shouma ghodin an qadaa’in fardho romadoona lillahi ta’alaa.

Maksudnya:

Sahaja aku niat puasa esok hari kerana mengganti fardu ramadan kerana Allah Taala.

Bolehkan Puasa Ganti Dilakukan Bersama-sama Puasa Enam Syawal Secara Serentak?

Diantara persoalan yang sering timbul berkaitan puasa ganti Ramadan ialah:

Adakah boleh menggabungkan di antara dua puasa iaitu puasa ganti dan puasa enam hari di bulan Syawal?

Sebenarnya berlaku khilaf di kalangan ulama mengenai perkara ini.

Terdapat dua pandangan mengenai hal ini:

  • Pandangan pertama, jumhur ulama mengatakan kita kena puasa ganti ramadan terlebih dahulu, kemudian selepas itu barulah dibuat Puasa Sunat Enam. (pendapat ini lebih afdal)
  • Pandangan kedua, ada sebahagian kecil fuqaha berpandangan bahawa kita boleh melakukan puasa ganti sekaligus dengan Puasa Sunat Enam Syawal. Kita akan dapat dua-dua pahala (qada dan sunat)

Dalam perkara khilaf sebegini, ia terpulang kepada kita nak gunakan pendapat yang mana satu.

Jika pilih pandangan pertama pun boleh, pandangan kedua pun boleh

Siapakah Yang Wajib Melakukan Puasa Ganti?

Golongan yang diwajibkan untuk menggantikan puasa (qada) adalah seperti berikut:

  1. Orang sakit yang ada harapan sembuh.
  2. Orang yang bermusafir (bukan kerana maksiat) melebihi dua marhalah.
  3. Orang yang kedatangan haid dan nifas.
  4. Orang yang meninggalkan niat puasa.
  5. Orang yang sengaja melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa.
  6. Orang yang pitam/mabuk sewaktu bulan Ramadhan.
  7. Orang yang sangat lapar dan dahaga yang tidak membolehkannya berpuasa pada bulan Ramadan.

Waktu Untuk Melakukan Puasa Ganti

Waktu untuk melakukan puasa ganti adalah bermula selepas bulan Ramadan, sehinggalah sebelum tibanya bulan Ramadan akan datang. Secara mudahnya, anda mempunyai lebih kurang  satu tahun  untuk melakukan puasa ganti. Sebaik-baiknya, elakkan dari bertangguh. Lakukan puasa ganti secepat mungkin. Ini kerana puasa ganti perlu ditunaikan sebelum tibanya bulan Ramadan. Jika tidak, anda perlu puasa ganti dan membayar fidyah.

Hari Yang Diharamkan Berpuasa

Sepanjang setahun itu, dibolehkan untuk berpuasa ganti bila-bila masa sahaja, kecuali pada hari yang diharamkan berpuasa.

Antara hari yang diharamkan berpuasa adalah:

  1. Hari Raya Aidilfitri iaitu 1 Syawal
  2. Hari Raya Aidiladha iaitu 10 Zulhijjah
  3. Hari Tasyriq iaitu pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah

Bagaimana Jika Bersetubuh Di Bulan Ramadan?

Orang yang bersetubuh pada siang hari bulan Ramadhan, maka kedua-dua suami isteri tersebut perlu melakukan puasa ganti (mengqada puasa berkenaan)

Dan suami juga wajib membayar kaffarah (denda) seperti berikut:

  1. Memerdekakan seorang hamba mukmin lelaki atau perempuan, sekiranya tidak mampu;
  2. Berpuasa selama dua bulan berturut-turut tanpa terputus kalau tidak terdaya;
  3. Memberi makan kepada 60 orang fakir miskin.

Bagaimana pun jika persetubuhan itu dilakukan kerana terlupa, jahil tentang haramnya atau dipaksa ke atasnya, tidaklah wajib kifarat.

SUMBER: AKUISLAM

Published by
SH