Penyanyi, pelakon dan pengacara kelahiran Indonesia Terry Putri yang kini menetap di Amerika Syarikat baru-baru ini berkongsi cabaran dalam kerjaya terbaharunya di sana sebagai penghantar makanan.
Menerusi media sosial, Terry Putri menceritakan bagaimana dia melalui hari-hari sebagai penghantar makanan dengan pelbagai cabaran.
“Teruskan hidup dengan melakukan apa yang boleh dilakukan,”
ungkap Terry Putri menerusi sebuah videonya yang tular.Terry Putri menjadi penghantar makanan sejak awal perkahwinannya. Jelasnya, kerjaya itu sangat fleksibel.
Untuk info, selepas bernikah dengan Derly Darmawan di Masjid Al Hikmah, New York, Amerika Syarikat pada 29 Mei 2022, Terry Putri membuat keputusan untuk menetap di negara itu.
Selebriti cantik berusia 45 tahun ini mengakui bukan mudah untuknya menetap di Amerika Syarikat sebagai seorang wanita berhijab apatah lagi mencari makanan halal.
“Bukan senang saya nak bertudung di sana termasuklah mencari makanan-makanan halal. Saya tiada sesiapa kecuali suami. Maka, saya terpaksa bertahan dan teruskan.”
Ketika tiga bulan pertama menetap di Amerika Syarikat, Terry Putri mengakui dia merasa tidak selesa. Malah, dia sering menangis di dalam bilik air.
“Tiga bulan pertama saya kerap menangis. Kalau menangis depan suami, saya akan rasa kasihan dengannya. Jadi, saya menangis di dalam bilik tidur atau bilik air saja,” katanya.
Namun begitu, Terry Putri bertuah kerana memiliki suami yang cukup memahami.
Suaminya sentiasa memberi kata-kata semangat agar terus kuat dalam menempuh fasa penghijrahan bersama-sama di bumi asing.