Memanglah Saffron Banyak Manfaatnya Untuk Kesihatan & Kecantikan Tapi Awas Jangan Ambil Berlebihan, Bahaya!

Share

Khasiat dan kebaikan saffron dan kepelbagaian penggunaannya telah lama diakui. Selain manfaat kesihatan yang luar biasa, harga saffron yang tinggi adalah disebabkan oleh kesukaran untuk menuainya. Petani perlu menuai benang halus dari setiap bunga dengan tangan mereka.

Bunga ini mengandungi beberapa khasiat dan sebatian yang baik untuk kesihatan tubuh dan kulit wajah. Saffron mengandungi beberapa bahan seperti protein, lemak, serat, tenaga, kalsium, zat besi, fosforus, kalium, dan vitamin C.

Tahukah anda rempah saffron merupakan bahan masak yang termahal di dunia? Ya. Ini kerana Saffron diperolehi daripada tangkai putik (stigma) bunga tumbuhan dari species Crocus sativus (famili Iridaceae). Dan setiap bunga hanya mempunyai 3 stigma (rujuk gambar di bawah).

Untuk menghasilkan 450 g saffron, sekitar 75,000 bunga crocus diperlukan. Walaupun mahal, ia digunakan secara meluas sebagai bahan tambah pewarna, rasa dan bau dalam makanan. Saffron mengandungi lebih daripada 150 bahan kimia meruap dari kumpulan terpene berserta alkohol dan ester terbitannya.

Warna merah saffron disebabkan oleh hadirnya bahan kimia terbitan carotenoid, iaitu crocin. Rasa pahit saffron disumbangkan oleh bahan kimia picrocrocin dan bau manis jerami (seakan rumput kering) saffron adalah disebabkan oleh bahan kimia safranal.

Selain dari dijadikan bahan tambah masakan, ia juga digunakan sebagai bahan perawat. Kajian menunjukan Saffron boleh mengubah mood (merawat depresi dan PMS), membantu dalam merawat penyakit Alzheimer dan kanser, mengurangkan kekejangan otot dan pembengkakan luka juga bertindak sebagai antioksida.

Photo by marlik from Unsplash.

Walau bagaimana pun, pengambilan saffron dalam kuantiti yang banyak adalah tidak selamat. 5g boleh menyebabkan keracunan, 12-20 g boleh menyebabkan kematian. Antara kesan sampingan pengambilan saffron adalah pening, loya dan muntah, ketidakselesaan perut dan alergi.

Disebabkan saffron boleh memberikan kesan kepada sistem saraf pusat, maka elakkan pengambilan saffron sekurang-kurangnya 2 minggu sebelum pembedahan. Mengambil saffron dalam kuantiti yang banyak oleh wanita mengandung juga mungkin boleh menyebabkan keguguran.

Kesan racun saffron ini disumbangkan oleh bahan kimia safranal dan crocin. Namun kesan racun ini mustahil dicapai hanya dalam penggunaan makanan biasa. Samalah juga seperti pengambilan MSG.

Photo by necip-duman from Pexels.

Jumlah yang biasa dicampurkan dalam masakan hanyalah sedikit sekitar ~0.033 g untuk 5 orang makan. Tambahan pula, penggunaan saffron yang banyak memberikan rasa pahit dan mengganggu keseimbangan rasa makanan.

Begitulah pentingnya tahu perkaitan kuantiti dan kesan racun sesuatu bahan. Maka, bersederhana lah dalam apa juga. Ambil tahu tahap kesihatan, dan peka dengan tindak balas badan terhadap apa juga makanan.

Sumber kredit: Dr Fatimah Salim Top image: Photo by victoria-bowers from Pexels.

Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.

Published by
Norhasliza