Maulidur Rasul merupakan tarikh penting buat umat Islam kerana ianya adalah tarikh hari kelahiran atau keputeraan baginda Nabi Muhammad SAW iaitu nabi terakhir yang diutus oleh Allah dalam Islam. Sambutan Maulidur Rasul ini diraikan setiap tahun oleh umat Islam di seluruh dunia. Pada hari istimewa ini, umat islam digalakkan untuk memanjatkan doa buat Rasulullah S.A.W.
“Sesungguhnya orang yang paling dekat denganku pada hari kiamat adalah orang yang paling banyak berselawat kepadaku”
Tambahan itu, berselawat juga sangat digalakkan dan dituntut bagi setiap umat Islam kerana banyak fadilat yang bakal kita peroleh daripadanya. “Sesungguhnya Allah dan para Malaikat-Nya berselawat atas Nabi. Wahai Orang-orang yang beriman, berselawatlah atasnya (Nabi) dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya dengan sungguh-sungguh”.
Pendakwah bebas iaitu Habib Nael Ben Taher, berkata tujuan utama menyambut Maulidur Rasul adalah untuk menyemai dan menyuburkan rasa bersyukur kepada Allah SWT terhadap nikmat pengutusan Nabi Muhammad SAW kepada kita. Kenyataan ini telah dinukilkan oleh Latifah Arifin melalui sebuah akhbar 2018.
“Jika ada pihak yang mengatakan sambutan Maulidur Rasul sekadar budaya, maka sesungguhnya ia sebaik-baik adat dan budaya. Sehingga saat ini, begitu banyak negara yang menyambut Maulidur Rasul sejak turun-temurun di seluruh dunia seperti Indonesia, India dan Mesir.
“Tujuannya adalah untuk menggerakkan semangat dan menyemai cinta serta rindu yang sejati kepada Rasulullah SAW. Ini kerana jika kita sentiasa ingat kepada Rasulullah SAW, kemuliaan itu akan kembali kepada kita sendiri kerana Baginda sebenarnya sudah dimuliakan, dicintai dan dirindui Allah SWT” ujarnya lagi.
Tambahan itu, menerusi perkongsian melalui mstar, terdapat figura lain yang juga telah menghuraikan mengenai tujuan sambutan Maulidur Rasul ini. Ia adalah daripada Doktor Najmuddin Khalfallah iaitu seorang pensyarah di Universiti Lorraine, Perancis. Di dalam majalah Jawhar Islam edisi 2016, dia telah menghuraikan beberapa tujuan sambutan Maulid Nabi Muhammad SAW dilaksanakan, dan ia dapat dirumuskan seperti berikut:
1. Mengambil iktibar dan memperingati sirah perjuangan Nabi Muhammad SAW yang penuh dengan pengajaran dan pengorbanan bermati-matian demi menegakkan agama Islam di bumi Allah SWT.
2. Mengenali dan mengetahui peribadi Nabi Muhammad SAW sehingga dapat mengaplikasikannya ke dalam kehidupan seharian seorang muslim. Hal ini seperti mana firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab:
“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)” (Surah al-Ahzab ayat 21).
3. Dapat memperingati tarikh kelahiran Baginda SAW. Hal ini sudah menjadi fitrah manusia bahawa memperingati tarikh kelahiran seseorang adalah tanda kita mengasihi kehidupannya.
4. Mencapai pembersihan hati dan jiwa melalui penghayatan sirah Nabi Muhammad SAW yang penuh dengan nasihat, pengajaran, akhlak dan pengorbanan Baginda SAW dalam menegakkan agama Allah SWT.
5. Memupuk perasaan cinta dan kasih kepada junjungan besar Rasulullah SAW yang sentiasa menyayangi dan merindui umatnya. Jikalau terdapat perbezaan dalam beberapa perkara berkenaan sambutan Maulid ini, umat Islam semuanya sepakat bahawa wajib mencintai Baginda SAW lebih daripada semua makhluk termasuk diri sendiri, seperti yang termaktub dalam pelbagai sabda Nabi SAW.
6. Mengumpulkan umat Islam secara berjamaah dalam melakukan amal soleh. Kebiasaannya pengisian-pengisian utama yang disajikan di dalam majlis-majlis Maulid Nabi SAW adalah seperti tilawah al-Quran, majlis ilmu, zikir, tasbih, dan lain-lain lagi. Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah:
“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya)” (Surah al-Maidah ayat 2).
7. Memperbanyakkan selawat dan pujian ke atas Rasulullah SAW. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (melimpahkan rahmat dan keampunan) ke atas Nabi. Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kalian berselawat (mendoakan rahmat)baginya dan mengucapkan salam penghormatan kepadanya.” (Surah al-Ahzaab ayat 56).
8. Menyampaikan pesanan dan peringatan mengenai risalah Islam di tengah-tengah masyarakat. Majlis maulid dianggap sebagai sebuah medan untuk menarik masyarakat untuk bersama-sama berkumpul, mendengar tazkirah, bermuhasabah, berzikir, memberi nasihat serta berselawat ke atas Nabi SAW.
Artikel berkaitan: Sambut Hari Maulidur Rasul, Ini Penjelasan Yang Perlu Kita Ambil Tahu
Artikel berkaitan: Rabi’ulawal Bulan Kelahiran Rasulullah SAW Dan Juga Sejarah Islam, Ketahui Dengan Lebih Lanjut
Sumber info dan gambar: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Mstar dan Google
Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.