Mas Kahwin RM 20,000 ‘Tanda Cinta’, Materai Ikatan Pernikahan Shila Ubai!

Share

Hari ini termaterainya ikatan dua jiwa antara penyanyi, Shila Amzah atau nama penuhnya, Nurshahila binti Amir Hamzah beraama pilihan hatinya pempengaruh media sosial, Ubai Mz.

Hijabista difahamkan, majlis pernikahan pasangan merpati dua sejoli ini telah berlangsung pada jam 10.27 pagi tadi di Boathouse Ampang.

Lebih menarik lagi, pasangan ini diijabkabulkan dengan sekali lafaz sahaja. Malah, pasangan ini dinikahkan sendiri oleh bapa pengantin perempuan yang juga penyanyi era 1980-an, Datuk ND Lala dengan disaksikan jurunikah, Ustaz Hai Mohamad Khairi Hussein.

RM 20,000 Tanda Cinta Ubai Buat Shila Amzah

Sebagai tanda cinta kepada si isteri, Ubai telah membawa mas kahwin bernilai RM 20,000, bagaimanapun hantaran yang diterima oleh Shila telah dirahsiakan.

Mengulas berkenaan hari bahagianya buat kali kedua ini, Shila memanjatkan rasa syukur apabila akhirnya dia kini bergelar isteri kepada Ubai.

Artikel berkaitan: Buang Gula-Gula Sewaktu Menyanyi Atas Pentas, Shila Amzah Minta Maaf Baru Sahaja Sembuh

“Alhamdulillah, syukur ke hadrat llahi atas kelancaran majlis pernikahan, pagi ini. Kami berharap agar pernikahan ini menjadi satu ikatan abadi yang diberkati Allah.

“Saya lega kerana selepas melalui fasa pertunangan pada 27 Mei lalu, kami disatukan sebagai suami isteri di hadapan ahli keluarga terdekat dan sahabat yang disayangi.

“Harapan semoga kami dapat menjalani bahtera perkahwinan ini sebaiknya dan saling menyayangi hingga ke Jannatul Firdaus.

“Apa yang paling penting kami dapat menjaga anak, Seth Uwais dengan penuh kasih sayang,” katanya.

Bakal Luangkan Masa Dan Bulan Madu Dalam Negara Dahulu!

Ketika disoal berhubung lokasi berbulan madu, Ubai menjelaskan bahawa dia dan isteri belum mempunyai sebarang perancangan memandangkan masing-masing berdepan dengan kekangan kerja.

“Disebabkan kekangan masa, kerja dan menguruskan hal peribadi keluarga, kami belum memilih lokasi berbulan madu.

“Namun, mungkin akan ada percutian pendek dalam negara terlebih dahulu,” katanya.

Sekadar recap, Shila pernah mendirikan rumah tangga dengan Haris Idraki Elias pada April 2018, namun ikatan perkahwinan tidak berpanjangan apabila bercerai pada Februari 2022.

Hasil perkahwinan, Shila dikurniakan anak lelaki, Seth Uwais yang kini berusia empat tahun.

Artikel berkaitan: Pernah Dikecam Di Laman Sosial, Shila Amzah Tak Ambil Kisah & Kekal Positif!

Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.

Published by
Haifa Nasir