Noryn Aziz telah selamat diijabkabulkan dengan pasangannya, Shaik Rizal Sulaiman dalam majlis akad nikah yang diadakan dalam suasana yang sangat sederhana. Majlis itu hanya dihadiri oleh keluarga terdekat serta rakan-rakan rapat seramai 30 orang jemputan .
Pada malam akad nikah (13 Oktober 2020) yang diadakan di kediaman suaminya di Bukit Damansara, Noryn menerima mas kahwin sebentuk cincin. Pada mulanya Noryn dan suami merancang untuk melangsungkan majlis akad nikah pada 25 Oktober ini.
Bagaimanapun, disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 14 Oktober hari ini, majlis tersebut akhirnya diputuskan untuk diadakan lebih awal. Ini kerana, Noryn dan suaminya mahu hari bahagia mereka dihadiri oleh kaum keluarga terdekat serta rakan-rakan rapat.
Segala persiapan dilaksanakan dengan baiknya dalam jangkamasa 24 jam dengan pertolongan padu kaum keluarga terdekat, sahabat handai dan juga ahli ‘team’ Noryn.
“Alhamdulillah, hajat dan keinginan itu tercapai dan dipermudahkan oleh Allah SWT. Kami bersyukur kerana semuanya diatur dengan mudah. Saya percaya semua ini kerana kebesaran Allah.
“Majlis akad nikah itu juga diadakan dalam suasana norma baharu dan mengikut prosedur operasi standard (SOP),”kata Noryn.
Bagi yang tertanya-tanya bagaimana permulaan perkenalan Noryn dan suaminya jelas Noryn mereka mula berkenalan pada penghujung 2019. Perkenalan itu atas dasar kawan kenalan perniagaan.
“Cuma pertengahan 2020 kami mulai rapat dan serius yang akhirnya membawa kami ke alam rumahtangga. Semuanya berlaku sekelip mata. Baik saya dan Rizal sendiri pada awalnya tak ada pula terfikir untuk menjadi kekasih.
“Hubungan kami benar-benar secara profesional namun suami saya banyak mendorong saya untuk lebih berjaya dalam industri seni sehinggalah lama-kelamaan saya dapat rasakan kehadiran Rizal amat menyenangkan saya dan juga keluarga terdekat.
“Keperibadiannya memikat saya. Dia seorang yang sangat positif dan banyak memberi sokongan moral yang padu kepada saya dalam segala urusan bisnes saya. Untuk makluman, suami saya adalah seorang ahli perniagaan dalam industri pembangunan dan pembinaan,”jelas Noryn.
Selepas beberapa bulan, Noryn dan suaminya menjadi lebih akrab (terutama sekali dalam waktu MCO bermula Mac lalu). Mereka banyak bercerita soal masa depan yang akhirnya mereka sepakat untuk mengakhiri hubungan persahabatan kepada ikatan yang lebih suci.
“Pada usia saya 44 tahun dan suami 48 tahun, tiada apa lagi yang kami harapkan selain majlis pernikahan kami dirahmati oleh Allah SWT dan rumah tangga kami akan berkekalan sehingga ke akhir hayat kami berdua.
“Bagi saya adalah penting persahabatan cinta kita harus dihalalkan secara betul kerana ini bukan main main buat saya dan suami. Alhamdulillah Allah SWT telah makbulkan hajat kami ini.
“Saya gembira kerana keluarga terdekat dan rakan-rakan rapat bersama-sama kami dalam majlis itu. Ia amat memberi makna buat kami,”jelas Noryn.
Untuk info, wajah manis Noryn di hari bahagianya ini adalah hasil sentuhan Sheila Mohamad, Tym Fatimah stylist dan busana pengantin daripada air tangan Rizman Ruzaini.
Sumber kredit: Instagram Noryn Aziz Instagram Sheila Mohamad Instagram Rizman Ruzaini