Sering memuat naik gambar berhijab sejak akhir-akhir ini, ahli kumpulan De Fam iaitu Cik Manggis atau nama sebenarnya, Nurshazwani Shamsuddin,31, menimbulkan persoalan ramai dengan tindakannya itu.
Berkata pada Mstar, dia mengakui sudah lama memasang niat untuk bertudung dan keputusannya ini bukanlah secara tiba-tiba.
“Betul saya sudah berhijab. Alhamdullilah. Sebenarnya ini bukan keputusan yang tiba-tiba. Saya dah lama pasang niat tapi saya perlu lakukannya perlahan-lahan, bukan mengejut.. tak boleh nak terus berubah,” jelasnya.
Selain itu, dia memberitahu bahawa perjalanan hijrahnya itu dilakukan secara perlahan-lahan supaya dirinya benar-benar bersedia dan sentiasa istiqamah.
Cik Manggis turut mengakui perjalanannya menuju hijrah ini memang agak mencabar untuk ditempuhi. Pada awalnya, dia berjinak-jinak dengan memakai anak tudung dahulu sebelum berhijab sepenuhnya.
Ujarnya, memang agak sukar untuk dirinya mengubah imej kerana sudah terbiasa dengan gaya hidup sedia ada. Namun, niat yang semakin membuak-buak telah memudahkan urusannya untuk berhijrah.
Ketika ditanya mengenai penglibatannya bersama De Fam selepas ini, pelakon drama ‘Saka Sisters’ ini menjelaskan bahawa penghijrahannya tidak bermakna dia akan meninggalkan kariernya itu.
Menjawab persoalan mengenai persembahan De Fam yang sering dikaitkan dengan tarian ‘freestyle’ dan sebagainya, Cik Manggis mengakui tidak akan sekali-kali mengabaikan minatnya dalam arena tarian dan menganggap persembahan dalam De Fam sebagai sebuah aktiviti sukan.
Meskipun ada sesetengah netizen mempersoalkan keputusannya untuk berhijab, dia lebih selesa memilih untuk mengabaikannya dan menganggap yang mereka hanya berniat untuk mencari kelemahan dirinya semata-mata.
“Apa yang saya utamakan sekarang ialah ada kemajuan dalam hidup saya. Saya pun tak harapkan apa-apa dari orang lain sebab saya buat semua ini demi diri saya sendiri, bukan orang lain,jadi apa orang nak fikir, fikir la,” ujar isteri kepada Syazmin Firdaus ini.
kredit: mstar online