Antara Persiapan Bertemu Malam Lailatul Qadar, Simpan Segala Gajet Di Rumah. Ayuh Lakukan ni!

Share

Setiap kali tiba bulan Ramadan, pasti anda tidak sabar menantikan satu malam yang cukup hebat iaitu malam Lailatul Qadar. Malam ini dikatakan lebih baik dari 1000 bulan yang lain serta malam yang sangat istimewa di bulan Ramadan.

Kebiasannya, malam Lailatul Qadar akan terjadi pada 10 malam yang terakhir. Tidak semua individu bertuah untuk bertemu dengan malam yang hebat ini. Hanya individu yang terpilih sahaja akan bertemu dengan malam Lailatul Qadar.

Disebabkan itu, pakar agama menggalakkan umat Islam untuk memperbanyakkan amalan di 10 malam terakhir ini. Seorang wanita bernama Ummu Naufal telah berkongsi 6 persiapan yang boleh dilakukan dalam mencari malam yang cukup mulia ini. Semoga ia bermanfaat kepada anda di luar sana.

Malam Laylatul Qadr bakal tiba.

Hadiah hebat yang perlu dicari yang dianugerahkanNya.

Dikongsikan bersama sedikit bagaimana kita sekeluarga boleh atur dan persiapkan diri dan keluarga dalam mencari malam yang lebih mulia dari seribu bulan yang dijanjikanNya;

1. Berehat Di Siang Hari

Usah lagi disibukkan diri dengan urusan dapur, kuih muih eid mahupun keluar membeli belah di tempoh ini (10 malam terakhir). Hentikan!

Menu iftar dan sahur keluarga dipermudahkan.

Aktiviti siang diringankan.

Tidurlah seketika walau tidak biasa tidur di waktu siang. 10 hari terakhir ini sahaja.

2. Berjaga Di Waktu Malam

Apabila siang sudah cukup rehat, di waktu malam akan terasa segar inshaAllah. Mandilah air suam jika ia boleh menyegarkan tubuh badan. Ringankan makanan berbuka agar badan tidak berasa lemah dan berat kemudian. Jika penggemar minuman panas, siapkanlah minuman panas di dalam termos agar sentiasa ada untuk diminum. Pasangkanlah bauan bakhour atau diffuser minyak pati lemon, inshaAllah ia sangat membantu menaikkan mood, membantu menyegarkan diri dan menaikkan semangat kita.

3. Siapkan Ruang Solat

Solatlah di ruang khusus, atau di mussola kecil keluarga, jika ada. Biarlah ruang ini selesa, bersih, suhu yang sesuai dan baik pengudaraannya.

Elakkan solat di bilik tidur kita, kecuali jika ada penghadang.

Solat, membaca Al Quran dan berzikir diselang-selikan sepanjang malam di ruang khas ini. Hiaslah jika mahu mencantikkan suasana. Ringkaskan ruang dengan apa yang perlu sahaja.

Jika ada bayi, bawa bersama di ruang ini bila si kecil terjaga. Biarkan dia tidur di ruang mussola yang sama sambil kita meneruskan ibadah malam kita.

Subhanallah.

Besar kesan dalam jiwanya inshaAllah.

4. Tuliskan Doa

“Umi, should they write it in points?” Nadiyah bertanya apabila dia ditugaskan membantu adik-adiknya mencatatkan doa yang mahu dipohon sepanjang 10 malam terakhir.

Nadiyah dan Naufal telah diajarkan yang sama ketika seusia adik-adik mereka. Bermula dengan poin sahaja, ditingkatkan kepasa adab menyusun kata dalam memohon doa padaNya.

Doa ditulis agar dirancang rapi apa yang mahu dipohon padaNya. Bila ditulis, menjadi lebih fokus bila berdoa padaNya.

Bersama anak-anak, hafalkanlah doa yang diajarkan Nabi s.a.w kepada Aisyah r.a apabila Baginda ditanya apakah doa terbaik untuk diucapkan pada malam Laylatul Qadr;

“ALLAHUMMA INNAKA ‘AFUWWUN TUHIBBUL ‘AFWA FA’FU ‘ANNII”

(Ya Allah, sesungguhnya Engkau Dzat Yang Maha Pemaaf dan Pemurah maka maafkanlah diriku)

5. Tingkatkan Sedekah

Tingkatkan sedekah kita setiap hari dalam 10 malam terakhir ini. Jika sebelum ini kita memberi makanan iftar kepada jiran tetangga, 10 malam terakhir ini kita memberi kepada yang tidak kita kenali pula.

Pejalan kaki, penjaja di gerai, pencuci sampah…sesiapa sahaja yang dilewati kita.

Edarkan “Ramadan Iftar Bag”. Minta anak-anak isikan di dalamnya; kurma, air, roti, juga sedikit wang, misalnya. Edarkan setiap hari selama 10 hari terakhir ini. Rancanglah berapa beg yang boleh diberikan bersama seisi keluarga.

6. Tutup Televisyen Dan Disimpan Semua Gajet Yang Ada

Amankan suasana rumah tanpa hiburan di kaca tv dan radio. Off telefon bimbit dan disimpan jauh-jauh…..termasuk telefon ibubapa juga ya. Tiada ‘cheat hour’ mahupun ‘reward slot’. Ini dilakukan sepanjang 10 malam terakhir Ramadan tanpa salingan.

Usah risau, 10 hari tanpa bermesej dan media sosial tidak akan merbahayakan sesiapa, inshaAllah.

Subhanallah.

Hebatnya malam Laylatul Qadr ini sepertimana Allah swt sebutkan di dalam Surah Al Qadr;

“Sesungguhnya Kami telah menurunkannya [Al Qur’an] pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu penuh kesejahteraan sampai terbit fajar.”

Lalu duhai diri dan sahabat yang dikasihi sekalian, bersungguh dan berikhtiarlah mencari malam kemuliaan ini bersama keluarga tersayang.

Ingatlah, Ramadan tahun hadapan belum tentu kita ada. Maka usahakanlah sekarang kerana tiada usaha bersungguh kita sia-sia di sisiNya.

Semoga kita semua dipertemukan dengan Malam Penuh Kemuliaan ini dalam keampunan dan redhaNya.

Sumber: Facebook Ummu Naufal

Published by
SH