Ramai menyangka makanan yang sihat tidak akan menggemukkan. Ternyata anda silap kerana makanan yang sihat juga sebenarnya mengandungi kalori dan lemak yang boleh menggemukkan anda. Langkah pertama jika anda ingin menurunkan berat badan adalah dengan menghentikan pemakanan kudap-kudapan dalam rutin diet anda.
Anda mungkin akan terkejut bahawa kudapan anda itu sebenarnya mengandungi kandungan lemak dan kalori yang tinggi. Anda tidak perlu sabotaj diet anda. Cuma ikuti beberapa tips untuk mengetahui makanan sihat apakah yang perlu anda elakkan.
Avokado
Buah ini bagus untuk nutrisi dan antioksidan. Selain itu, buah ini juga kaya dengan fiber dan lemak tepu. Jika impian anda untuk menurunkan berat badan, anda perlu mengawal pengambilan buah ini. Avokado mengandungi kandungan lemak dan kalori yang tinggi. Pengambilan 1/5 avokado bersamaan 50 kalori dan sebiji avokado pula bersamaan 350 kalori. Ini bermakna pengambilan yang berlebihan sama seperti sepinggan nasi.
Kacang
Kacang mengandungi omega-3, protein, vitamin E dan fiber, tetapi kacang juga mengandungi kandungan kalori yang tinggi. Setengah cawan kacang badam bersamaan dengan 132 jumlah kalori. Ramai yang menggemari kacang kerana boleh dimakan begitu sahaja. Anda boleh mengambilnya tetapi perlu disukat terlebih dahulu supaya tidak mengambil secara berlebihan.
Buah-buahan Kering
Buah-buahan kering sama seperti buah biasa tetapi tidak mempunyai air. Jadi, secawan buah-buahan kering adalah 8 kali ganda kandungan kalori dan gula jika dibandingkan dengan secawan buah-buahan segar. Sebagai contoh, secawan buah anggur bersamaan 60 kalori manakala secawan kismis bersamaan 460 kalori. Jadi anda perlu mengambil buah-buahan segar dan kurangkan buah-buahan kering.
Smoothies
Bagaimana pula minuman buah-buahan atau sayuran bersama ais dikatakan tidak sihat? Apabila kandungannya seperti coklat, mentega kacang, yogurt beku, dan perisa-perisa lain yang dihidangkan dalam satu cawan yang besar, ia sudah menjadi snek yang mengandungi kalori. Jadi sebaik-baiknya elakkan atau pun gunakan buah yang segar, yogurt asli dan susu kurang manis.
Salad Tuna
Kebanyakan mereka suka menggunakan tuna dari tin yang mengandungi 39gram protein dan juga 179 kalori. Kemudian, ditambah pula dengan mayonis yang menambahkan lagi 90 kalori dan 10 gram lemak untuk setiap sudu. Jadi gantikan mayonis anda dengan yang lain agar diet anda tidak menjadi sia-sia.
Kopi
Kafein mampu menghalang sel-sel otak daripada kerosakan dan merupakan salah satu antioksidan. Tetapi jika anda membeli kopi latte dengan saiz besar yang dipenuhi susu, bermakna anda sudah mengambil 300 kalori dan 15 gram kandungan lemak. Jika anda inginkan turunkan berat badan tapi sangat menyukai kopi, anda boleh mengambil kopi kosong yang hanya mengandungi 5 kalori sahaja.
Sushi
Ikan mentah sahaja tidak menjadi masalah tetapi apabila sushi gulung istimewa pula lain ceritanya. Ianya mengandungi kandungan tinggi kalori pada krim keju, mayonis pedas, tempura, dan nasi putih padat. Anda perlu berjaga-jaga juga dengan kicap soyanya. Jika anda gemarkan sushi, anda boleh mengambil ikan mentah bersama nasi tanpa kanji. Bukankah ianya lebih sihat.
Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.