Selebriti terkenal Bollywod, Sana Khan nampak sudah melabuhkan tirainya di dalam industri hiburan kerana mahu lebih fokus kepada agama dan mencari kedamaian di dalam kehidupan.
Bekas peserta rancangan realiti Big Boss dan juga rakan lakonan Salman Khan di dalam filem Jai Ho ini mengambil keputusan tersebut setelah sedar yang kekayaan, kemasyhuran dan kejayaan bukanlah objektif utama bagi seseorang individu.
Memetik frasa aktres cantik ini dalam satu hantaran di Instagram, Sana berkata, “Saya telah mencari jawapan kepada dua persoalan ini untuk jangka masa yang lama, terutamanya soalan yang kedua. Apakah yang akan terjadi kepada saya selepas kematian? Bila saya mencari jawapan untuk persoalan ini saya mendapati bahawa dunia ini adalah persiapan untuk kehidupan yang lebih baik selepas kematian.”
Selain itu dalam hantaran itu lagi, Sana menjelaskan yang sebagai hamba-Nya adalah lebih baik kita mengikut apa yang disuruh oleh yang maha Esa dan mengelakkan kehidupan yang berdosa dan mengabdikan diri kepada kemanusiaan sekaligus mengikut jalan yang telah dibentangkan oleh Allah SWT.
Sepanjang bergelar seorang anak seni, pelakon ini pernah membintangi 14 buah filem dan muncul dalam 50 iklan komersil selain aktif sebagai penari.
***P/S- Kagum dengan keputusan yang diambil oleh Sana Khan. Dia nampaknya jelas dengan apa yang dimahukan. Bagi penulis, sebagai hamba-Nya tidak kiralah di dalam bidang apa pun pekerjaan kita, paling penting adalah mematuhi apa yang telah ditetapkan oleh-Nya. Kalau berada dalam industi hiburan sekalipun tiada masalah, asalkan tahu batas sebagai seorang hijabi.