Semalam telah berlangsungnya malam kemuncak Anugerah Juara Lagu (AJL) 34 dimana lagu Sumpah nyanyian Naim Daniel ciptaannya sendiri bersama Omar K telah dinobatkan sebagai juara.
Tempat kedua dan tempat ketiga pula telah diberikan kepada lagu Bangun nyanyian Aman RA karyanya bersama Navigator dan Anta Permana oleh Bob ciptaan Hael dan Ezra Kong.
Rata-rata memang sudah menjangkakan kemenangan lagu Sumpah itu kerana kehebatan melodi dan senikatanya.
Pada malam itu juga, persembahan Anta Permana mencuri tumpuan semua apabila penyanyi asalnya iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza membuat penampilan istimewanya setelah sekian lama tidak muncul di pentas AJL.
Agak menghampakan apabila micnya tidak dapat berfungsi dengan baik pada awalnya dan membuatkan penonton di rumah berasa hampa dengan situasi tersebut.
Walau bagaimanapun, kemunculannya itu tetap memukau semua yang berada di dalam dewan mahupun yang menontonnya di rumah. Apatah lagi penampilannya yang serba merah membuatkan penonton tidak jemu memandang. Memang mengubat kerinduan!
Bagi mengubati kekecewaan peminat semalam, ada versi terbaharu tanpa gangguan yang telah dimuat naik oleh TV3 di laman YouTube mereka. Khas buat peminat Tok Ti!