Seluruh dunia sememangnya terkesan dengan pandemik Covid-19 yang melanda dunia pada saat ini. Ada yang hilang kerja, tempat tinggal dan lebih menyedihkan lagi kehilangan insan yang tersayang.
Mengabadikan kisah bersejarah ini, Astro telah menerbitkan sebuah dokumentari khas iaitu ‘Malaysia vs Covid-19’. Ia menampilkan beberapa kisah istimewa mengenai rakyat Malaysia yang berjuang untuk terus hidup dan menentang wabak ini seperti Cikgu Nazmi, Sugu Pavithra dan pereka fesyen terkenal Melinda Looi.
Berkesempatan menemu bual Melinda, beliau akui sangat teruja untuk terlibat sama dalam dokumentari ini dan berharap agar rakyat Malaysia turut dapat mengambil iktibar daripada rancangan tersebut.
“Dokumentari ini merupakan satu peringatan kepada rakyat Malaysia yang kita semua bersatu melawan wabak ini. Ia adalah musuh yang kita tidak boleh nampak. Jadi kita mestilah ikut SOP, jaga kebersihan dan sebagainya kerana kita masih belum menang. Ada yang lepak tidak mengikut SOP dan tidak melanggar kuarantin.
“Sepatutnya kita kena ingatlah setiap tindakan kita itu akan memberikan kesan pada orang lain. Ia akan menyusahkan frontliners dan perniagaan juga akan terkena impaknya.
“Sekarang ini risau angka tiba-tiba naik mendadak. Kita kena ingat jika berlaku lockdown, ramai yang akan kehilangan pekerjaan di saat masing-masing sedang mencari kestabilan dalam hidup semula pada masa ini,” jelasnya.
“Sebagai pereka fesyen pastinya saya sangat terkesan kerana pakaian saya banyak dibuat khas untuk majlis, parti dan sebagainya. Sewaktu raya juga kami tidak dapat keluarkan koleksi istimewa kami. Pereka lain juga mengalami nasib yang sama jadi kerana itulah ramai yang mengeluarkan produk lain seperti face mask dan sebagainya.
“Rakyat Malaysia sangat beruntung kerana Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menangani masalah ini dengan begitu baik. Tidak seperti rakan saya yang berada di luar negara, dia langsung tidak kisah untuk ke luar rumah tanpa memakai mask dan sebagainya. Seperti tiada apa-apa yang berlaku baginya,” tambahnya lagi.
“Terharu bila ramai frontliners mesej terima kasih. Sebelum ini mereka rasa tertekan terpaksa buat sut PPE gunakan plastik sampah namun tidak lagi selepas memakai sut PPE yang kami buatkan. Rasa seronok sangat! Mereka terus ada rasa semangat untuk pergi bekerja.
“Ada yang kata seperti ada persembahan fesyen pula di hospital apabila masing-masing memakai sut PPE daripada pereka fesyen. Ini adalah penghargaan yang begitu besar buat saya. Ada juga pereka lain yang tidak menghasilkan sut PPE namun mereka tetap menyumbang dengan cara lain seperti wang.
“Kesimpulannya, tidak kisahlah bagaimanapun caranya, kita sentiasa ada cara tersendiri untuk membantu mereka yang memerlukan.”
Rasa tidak sabar pula untuk menonton dokumentari ini. Pastinya banyak perkara yang akan terungkai nanti.
Anda juga jangan lupa saksikannya pada 12 September ini, Sabtu jam 6 petang di saluran Astro Ria, AEC, Vinmeen HD, Hello & Awani atau strim sahaja di Astro GO. Rugi kalau terlepas!