Kehadiran cahaya mata memang ditunggu bagi merapatkan lagi hubungan kasih sayang antara suami isteri. Kalau boleh kita mahu anak itu lahir membesar dengan sihat dan sempurna. Namun kita hanya merancang, tetapi Tuhan juga yang menentukan. Begitu juga dugaan yang dihadapi oleh wanita ini, Siti Zafirul Azzah apabila anak yang dilahirkan meninggal dunia pagi tadi, setelah hampir empat bulan bulan bertarung nyawa disebabkan penyakit dihadapi. Lebih menyedihkan, ibu muda ini hanya berpeluang sekali sahaja untuk mendukung anaknya sejak dilahirkan dua hari sebelum Tuhan menjemputnya.
Sebelum ini, Siti Zafirul banyak berkongsi perasaanya di laman sosial Instagram sebaik anaknya itu sakit sejak dilahirkan Jun lalu.
Dapat merasai hati dan perasaannya sebagai ibu yang melahirkan tetapi tidak dapat memeluk, sebaliknya hanya mampu melihat sahaja di sebalik wayar yang berselirat di badan anaknya itu.
Isteri kepada bintang Maharaja Lawak Mega, pelawak Hazmeer Hassan atau dikenali Chot XOXO atau dilihat juga mengakui tidak kuat berdepan ujian ini, tetapi begitu tabah sepanjang menjaga anaknya di hospital. Walaupun sedih, namun dia akur dan reda dengan ujian Tuhan.
Anak sulung mereka, Muhammad Sher Harraz Hasmer sebelum ini telah bertarung melawan sakit jantung (injap jantung terbalik) sejak dilahirkan lagi.
Sebelum ini juga di laman Instagram milik Chot memberitahu anaknya itu perlu menjalani pembedahan jantung di Institut Jantung Negara di mana kos yang diperlukan adalah sebanyak RM18,000.
Anaknya itu juga sudah menjalani pembedahan pada bahagian hidung bagi membetulkan tulang pada bahagian berkenaan yang menyukarkan dia bernafas.
Ternyata penderitaan anak pasangan ini mendapat perhatian ramai rakan artis yang setia mengikuti perkembangan anak syurga ini di media sosial.
Namun Tuhan lebih menyayanginya apabila anak syurga ini yang meninggal dunia jam 8.40 pagi tadi dan dikebumikan di Felcra Ramuan Cina, Lubuk Cina, Melaka.
Sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah buat baby Harraz.
KREDIT FOTO: INSTAGRAM SITI ZAFIRUL AZZAH & CHOT XOXO