Bukan mudah untuk mendapatkan peluang diiktiraf di peringkat antarabangsa. Beruntungnya selebriti dan ahli perniagaan ternama, Neelofa apabila dicalonkan dalam kategori usahawan dalam sebuah anugerah berprestij antarabangsa, Influencer Awards 2019 Monaco.
Menyifatkan pencalonan itu sebagai ruang terbaik bagi mengukuhkan empayarnya, beliau tidak menyangka namanya tersenarai dalam anugerah ajuran keluarga diraja Monaco tersebut.
“Sudah tentu, kemenangan adalah perkara paling besar dalam hidup saya. Peluang ke sana juga akan saya manfaatkan bagi bertemu dengan orang berpengaruh bagi mengembangkan rangkaian perniagaan saya,” ujarnya.
Bakal berlangsung di Monaco pada 5 dan 6 Oktober depan, Neelofa berharap pencalonannya itu dapat memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia bagi mencapai impian yang lebih besar. Tambahnya, beliau benar-benar menghargai peluang yang julung-julung kali datang itu.
Kali kedua dianjurkan, Influencer Awards 2019 Monaco direalisasikan Pauline Ducruet yang juga anakanda sulung Puteri Monaco, Stephanie bersama beberapa individu lain seperti Lolita Abraham, Maxime Giaccardi dan Thomas Peters.
Influencer Awards 2018 Monaco diadakan pada 7 Oktober lalu di Hotel Meridien Beach Plaza menyaksikan 27 anugerah diberikan pada majlis itu.
Antara pemenang-pemenang pada majlis tahun lalu ialah penulis blog fesyen dari Perancis, Caroline Receveur (kategori Gaya Hidup) dan jurusolek Kim Kardashian, Mario Dedivanovic (kategori Jurusolek Paling Berpengaruh).
kredit: BH online