Setelah menempuh episod duka tahun lalu, pelakon tinggi lampai Bella Dally kini berpeluang mengecap kebahagiaan di awal tahun baru ini. Dalam posting terbaru, Bella mengumumkan dia sudahpun mengikat tali pertunangan Sabtu lalu bersama jejaka pilihannya di Kota Kinabalu, Sabah.
Bella yang cukup anggun mengenakan dress moden rona kuning cair yang juga turut dipadankan dengan hijab rona sama.
Terserlah kegembiraan di wajah jelita Bella Dally yang melalui saat sukarnya tahun lepas apabila bercerai dengan bekas suaminya pelakon Nazim Othman.
Dalam posting berkenaan Bella juga turut memberitahu inilah masa yang sesuai untuknya memulakan hidup baru di tahun 2019.
Dan menurutnya perancangan Allah itu adalah yang terbaik dan mengucapkan syukur atas doa, kasih sayang dan sokongan yang tidak berbelah bagi padanya.
Menurut Bella dalam laporan Harian Metro,mengaku sudah bertunang dengan jejaka pilihannya yang juga ahli perniagaan dikenali sebagai Arif, 34 tahun.
Bella, 28, atau nama sebenarnya Nabilah Ali Dally berkata, keputusan bertunang dibuat selepas lima bulan berkawan dan saling mengenali hati budi.
“Arif adalah kenalan sepupu dan beberapa rakan lain. Apabila sering berjumpa beramai-ramai, kami jadi rapat dan cinta pun berputik.
“Sejujurnya, saya tidak menjangka akan melalui fasa ini sekali lagi. Walaupun selepas bercerai saya pernah cakap nak memberi fokus pada kerjaya dan belum fikir soal mencari pengganti, tapi siapa saya untuk menidakkan ketentuan Allah SWT? Inilah yang dikatakan jodoh,” katanya
Ditanya mengenai majlis perkahwinan, Bella berkata dia merancang untuk bernikah tahun ini, namun belum ada sebarang tarikh ditetapkan.
Berkongsi ciri-ciri yang ada pada Arif hingga membuatkannya jatuh cinta, menurut Bella jejaka kelahiran Kuala Lumpur itu seorang yang ‘gentleman’ dan bertanggungjawab.
“Dari awal perkenalan lagi dia tahu status saya dan dia boleh terima. Cuma, dia baru tahu saya selebriti. Sejak itu, dia mulai mengikuti perkembangan saya di Instagram.
“Apa yang membuatkan saya yakin untuk membawa hubungan ini ke fasa serius adalah dia seorang lelaki yang baik, bertanggungjawab dan ‘gentle’.
“Alhamdulillah, kedua belah keluarga merestui hubungan kami. Macam keluarga saya, mereka sentiasa sokong keputusan saya asal saja saya gembira,” katanya.
Netizen turut mengucapkan tahniah atas pertunangan selebriti ini dan turut memuji penampilan Bella Dally di majlis pertunangannya.
SUMBER: HARIAN METRO & INSTAGRAM BELLA DALLY