‘Lillahi Ta’ala Saya Tak Ambil Satu Sen Pun’- Syatilla Melvin Niat Sedekah Keuntungan Bagi Bina Masjid

Share

Pelakon yang juga seorang usahawan berjaya, Syatilla Melvin baru-baru ini telah berkolaborasi bersama LB Creuset bagi mempromosikan hidangan daripada syarikat tersebut yang diberi nama Nasi Daging Telentang.

Menurut Syatilla yang mesra disapa Tilla, dia sangat teruja dengan kerjasama ini apatah lagi hidangan daripada utara tersebut kian mendapat tempat di hati pencinta makanan.

Menariknya, kolaborasi LB Creuset X Syatilla Melvin ini bukanlah seperti kebiasaannya kerana mereka ada niat tersendiri disebalik usaha sama ini.

“Bila mereka melamar Tilla, terus Tilla terfikir. Tilla bukan nak ambil keuntungan semata-mata sebab Tilla sudah ada sumber pendapatan yang lain iaitu perniagaan Tilla sendiri. Tapi, bila ada peluang begini yang hadir, Tilla mahu gunakannya untuk orang lain, bukan untuk Tilla je.

“Kiranya saya buka platform untuk orang ramai dapat sama-sama kumpul pahala. Dalam masa yang sama, kita dapat pahala begitu juga dengan mereka yang membeli,” jelasnya lagi.

Tak mahu sia-siakan peluang yang ada, Tilla berharap misi yang dibawa mereka ini dapat dilaksanakan dengan jayanya dalam tahun 2021 ini.

“Mengenai masjid di Sungai Siput, Perak ini, Tilla dapat tahu yang salah seorang ahli keluarga Tilla merupakan penuntut di sana dan keadaan tempat tersebut teramatlah sederhana.

“Suraunya sangat kecil jadi tak mampu untuk menampung budak-budak tahfiz di sana dan orang-orang kampung yang nak sembahyang berjemaah juga tak muat.

“Jadi, bila mereka ada niat untuk bangunkan masjid dan sudah siap suku prosesnya, dana pula tiada. Mereka sudah cuba iklankan merata tempat namun tidak berhasil. Jadi bila kita dengar perkara itu kita fikir yang kita mampu menolong mereka. ‘Orang kenal aku. Kenapa aku tak gunakannya untuk tolong orang lain?’

“InsyaAllah, lillahi ta’ala saya tak ambil langsung satu sen pun duit itu. Bukan duit saya tapi duit orang- orang yang sepatutnya jadi hak Tilla tapi Tilla serahkan 100% kepada masjid tersebut supaya tahun ini kita harapkan masjid itu dapat siap sepenuhnya,” tambah isteri kepada pelakon, Shaheizy Sam ini.

Pada majlis pelancaran tersebut, LB Creuset telah melancarkan edisi istimewa kotak pembungkusan makanannya bersempena dengan bulan Ramadhan.

Menariknya mengenai ‘Nasi Daging Telentang’ ini, ia merupakan hasil air tangan pengasasnya sendiri iaitu YM Syed Haniff dan Leon Puung. Untuk merasainya, anda bolehlah membuat tempahan melalui agen-agen mereka di laman instagram @lbcreuset.

Published by
QIST