‘Lepas Solat Subuh Saja Terus Rasa Nak Pakai Tudung’- Eyra Hazali

Share

Hidayah Allah itu datang tanpa diduga dan tidak mengenal sesiapa. Jika Dia telah perkenan untuk memberi hidayahNya, tidak mustahil sesiapa sahaja berhak menerima. Bagi selebriti Eyra Hazali, 23 tahun, keputusannya untuk berhijab memang cukup drastik. Sebaik usai solat Subuh, pelakon drama Puteri Yang Terbuang ini terus sahaja ambil keputusan untuk berhijab.

Namun sebenarnya niat untuk berhijab itu sebenarnya sudah lama, cuma dipendamkan sahaja keinginan. Ini kerana dia tidak begitu yakin dengan diri sendiri apabila berhijab nanti. Walaupun tahu memang wajib bagi setiap wanita itu menutup aurat, tetapi isteri kepada penjaga gol JDT iaitu Haziq Nadzli ini telah membuat persiapan selama setahun sebelum benar-benar ikhlas untuk berhijab.

Perbaiki Solat & Belajar Mengaji

“Niatnya memang dah lama untuk berhijab tetapi iman kita ini turun naik. Masa itu banyak fikir pasal duniawi. Saya ambil masa setahun buat persiapan sebelum ambil keputusan berhijab. Dalam masa setahun itu saya perbaiki solat, belajar mengaji dan pastikan diri betul-betul bersedia barulah terus berhijab.

“Hidayah itu betul-betul datang pada Eyra pada tahun 2018 bila Eyra tengah shooting drama Mr Grey. Sebelum itu bertangguh dan lama-lama dibiarkan rasa bersalah pula menguasai diri. Waktu itu baru Eyra rasa itu adalah petanda untuk Eyra ‘move’ kepada satu fasa yang lebih baik,” ungkap Eyra memulakan perbualan tengah hari itu.

Menurut Eyra sebaik mengambil keputusan untuk berhijab itu, dia amat beruntung kerana keluarga turut memberi sokongan penuh.
“Pada mulanya mereka memang macam susah nak terima, tetapi lama kelamaan bila lihat Eyra serius berhijab, barulah mereka yakin dengan keputusan yang diambil. Dalam hal ini abang Eyra paling gembira. Keluarga bukan tak suka tetapi mereka tahu Eyra macam mana.

“Ditambah dengan trend kini di mana ada artis yang buka hijab dan pakai hijab semula. Mereka takut Eyra jadi macam tu. Tapi lama kelamaan bila mereka lihat Eyra serius berhijab, barulah mereka rasa yakin dengan keputusan yang Eyra ambil,” tambahnya yang tidak kisah apa orang kata mengenai dirinya.

“Eyra tahu kalau ada selebriti berhijab pasti kita akan dengar caka-cakap netizen yang akan kata nanti akan kelua produk tudung baru, telekung atau apa-apa sahaja produk yang berkaitan soal membabitkan agama. Tapi bagi Eyra kalau orang lain cerita buruk pasal Eyra memang Eyra tak akan ambil tahu. Mereka tak tahu apa Eyra lalui dan Eyra juga tak tahu apa yang mereka lalui. Apa yang penting keputusan berhijab itu memang dari hati sendiri,” ceritanya yang tidak pernah terfikir untuk malas berhijab.

Tak Pernah Rasa Malas Berhijab

“Alhamdulillah rasa malas itu tidak ada, tapi kalau malas bersyampu rambut itu memang ada. Ini kerana hari-hari Eyra berhijab sampai ada satu hari Eyra cakap dah lama tak tengok diri sendiri tak pakai tudung. Biasanya lepas balik ke rumah, terus cuci muka kemudian masuk tidur.

“Bagi Eyra untuk yang pertama kali berhijab memang rasa susah sedikit. Seperti yang Eyra cakap, Eyra ambil masa setahun untuk persiapkan diri berhijab. Eyra pastikan diri Eyra ada persediaan secukupnya (bab jaga solat dan mengaji) sebelum ambil keputusan untuk berhijab.

“Cuma keputusan itu agak drastik. Kalau orang lain tunggu minggu depan, tetapi Eyra lepas solat Subuh terus sahaja nak pakai tudung,” jelas Eyra yang memberitahu caranya untuk kekal istiqamah adalah percaya pada diri sendiri, percaya pada Allah dan insya-Allah hidayah itu akan terus kekal dalam diri.

Sebagai insan yang baru berhijab, Eura juga turut menjadikan Mizz Nina, Heliza Helmi dan Aisyah Hijanah sebagai ikon. Menurutnya kerana pendekatan cara dakwah mereka apa berbeza. Sangat cool, tidak memaksa dan sentiasa memberi motivasi yang baik dan berguna kepada follower mereka di laman sosial.

Published by
Qiss