Sebagai seorang manusia biasa, kita kadangkala sering berprasangka buruk terhadap orang lain sama ada dalam keadaan sedar atau tidak.
Jika boleh, elakkan berprasangka kerana ia adalah hasutan syaitan yang mahu kita berbalah sesama sendiri.
Ini yang terjadi pada seorang lelaki yang sedang menemani isterinya membeli barang keperluan rumah. Ketika dia sedang duduk berehat, dia terdengar perbualan suami isteri di mana isterinya asyik meminta bantuan si suami untuk mengambil barang sehingga menyebabkan dia berasa kasihan kepada si suami yang diminta macam-macam.
Apabila dia bangun untuk melihat pasangan tersebut bersembang, rupa-rupanya isterinya buta. Lantas lelaki ini tadi berasa bersalah kerana berfikiran yang bukan-bukan.
Berikut merupakan perkongsian oleh Abu Hurairah Asifa di Facebook miliknya.
Semalam ke IKEA.
Tempat terapi bagi isteri.
Rumah yang sekangkang kera, akan menjadi selapang syurga jika ada walau satu barang dari sana.
Maka, dengan membawa anak-anak dan isteri, sabar dan tabah adalah benda wajib yang di letakkan paling hadapan dan paling tinggi.
Sementara membenarkan isteri menolak troli dan ambik barang sesuai dengan hati, bukan sesuka sendiri, saya duduk kejap di lantai berteman anak yang bergaduh rebut senduk dan kuali.
Di tepi sebalik rak yang lain, terdengar bualan suami isteri.
‘Abang, ambik tu jap’
‘Abang, nak pegang yang tu’
‘Abang, nampak sudu tak?’
Abang, abang, abang tak habis-habis dengan abang. Aduh, kesian pula rasa dengan suaminya nak di minta macam-macam.
Saya berdiri nak tengok pasangan yang bersembang ni.
Bila saya bangun, saya nampak suaminya pegang tangan isteri, sambil isterinya menyentuh sebiji kuali.
‘Awak, ni kuali. Dia non stick. Ni pemegang dia. Besar kuali ni boleh masuk ikan. Dia warna silver’
Saya ke depan skit. Kenapa suami dia pegang tangan isteri dan bagitahu semua.
Allah…
Isterinya buta. Mata terbuka tapi memandang sehala sahaja. Sedang mengandung, anak kedua kerana anak pertama suami yang tolak dalam stroler.
Suami bawa isteri ke bahagian lain, isteri tanya lagi abang ni apa?
Wajah suaminya sabar dan melayan tu takkan dapat saya lupa. Masih memegang tangan isteri dan menerangkan barangan yang isteri mahu tanya.
Tak boleh bayang dari bahagian perabot sampai sini, berapa jam dah dia memimpin isterinya.
Betapa wajah itu sayang dan cintakan anak isterinya.
Bersalah rasa yang bukan-bukan tadi.
Saya duduk kembali.
Agungnya cinta suami yang sayangkan anak isteri.
Dia pasti sayang kerana Allah!
Kerana hanya sebab Allah, satu rumahtangga itu akan kuat dan bahagia.
SUMBER: Facebook Abu Hurairah Asifa