Lebih 12 Tahun Berniqab, Niqabis Ini Tetap Istiqomah Walau Pernah Digelar Ninja & Hantu

Share

Untuk istiqomah itu bukanlah perkara yang mudah. Namun, kerana nawaitu itu mengejar rahmat Tuhan, segala bebanan pasti akan terasa ringan dan berbaloi jika kita berusaha dengan sebaiknya di jalan Allah.

Berkongsi kisahnya yang sudah lebih 12 tahun berniqab, Nor Hidayah binti Abdul Wahid atau terkenal dengan nama samaran @blessinghunter94 di Instagram punyai cerita yang tersendiri mengenai pengalamannya mengenakan niqab sejak dari usianya 13 tahun lagi.

“Setelah saya selesai menduduki peperiksaan PMR, saya berpindah masuk ke Madrasah. Walaupun keputusan peperiksaan melayakkan saya untuk masuk ke kelas aliran sains,  tetapi hati saya lebih minat ke arah aliran agama.

“Kerana dari kecil saya telah terbiasa bersekolah agama, jadi apabila masuk ke sekolah harian saya rasa kekok dan hati meronta-ronta untuk kembali ke aliran agama. Jadi, saya menggunakan masa terluang untuk belajar di Tahfiz secara “part time” menghafaz Al-Quran. Setelah melakukan istikharah, saya memilih ke madrasah tanpa paksaan dari orang tua saya.

“Alhamdulillah saya telah berjaya menamatkan pengajian Alimah untuk belajar kitab hadith selama 5 tahun di madrasah tersebut,” jelasnya yang membesar di Shah Alam.

HATI RASA TENANG BILA BERNIQAB

Hidayah juga tidak lokek berkongsi cerita mengenai pengalamannya mengenakan niqab pasa usia yang sangat muda.

“Mulanya saya berniqab atau purdah ini pada tahun 2007. Waktu itu saya hanya memakainya ketika pergi ke Tahfiz untuk belajar mengaji secara sambilan selepas pulang dari sekolah. Rasa seronok dan selesa apabila memakainya kerana orang tidak dapat melihat muka saya, biarpun waktu itu banyak juga pandangan janggal dari orang sekeliling ketika itu.

“Namun, atas sebab tertentu saya tidak boleh istiqomah memakainya selalu. Saya hanya pakai niqab apabila pergi ke Tahfiz sahaja kerana ketika di sekolah tidak dibenarkan berniqab. Disebabkan itulah juga hati saya berat ke arah sambung pengajian di madrasah. Hati saya lebih senang untuk memakai tertutup seperti itu dan belajar agama dengan lebih mendalam. Saya memakainya dengan kerelaan hati, tanpa paksaan sesiapa.

“Keluarga saya sendiri juga memberikan dorongan kepada saya. Cuma mereka sering mengingatkan agar sentiasa memperbetulkan niat serta jangan paksa diri jika tidak selesa. Walaupun dalam keluarga saya ketika itu hanya saya seorang sahaja yang baru bermula ingin berniqab dan kelihatan agak ganjil, namun layanan ahli keluarga kepada saya sama sahaja.

“Tiada yang berbeza. Saya rasa lebih dihormati dan terpelihara kerana apabila berniqab, saya terasa perlu lebih menjaga tingkah laku dan adab di khalayak ramai. Saya sentiasa pesan kepada diri saya supaya menjadi contoh yang baik kepada masyarakat di luar sana dan menjadikan pemakaian saya ini sebagai satu dakwah kepada orang yang melihat untuk berpakaian menutup aurat juga,”jelasnya.

PERNAH DIPANGGIL HANTU

Apabila mengenakan niqab, pasti akan ada cabarannya yang tersendiri. Hidayah juga pernah melaluinya namun langsung tidak menjadikannya sebagai kudis dalam hidup.

“Bagi saya, tiada halangan yang sangat berat. Sama sahaja seperti memakai tudung. Cuma apa yang masih segar dalam ingatan saya ialah saya pernah beberapa kali digelar ‘hantu’ oleh kanak-kanak apabila terserempak di pasaraya atau di tempat awam yang lain. Ada juga orang dewasa yang berbisik-bisik serta memandang sinis kepada saya serta memanggil dengan panggilan ‘ninja’ kerana waktu itu orang berniqab sangat jarang dijumpai.

“Kini untuk bertemu dengan kaum hawa yang berniqab boleh dijumpa di mana-mana sahaja. Di samping itu, antara yang paling tidak selesa bagi saya ialah apabila berjalan dikawasan yang ramai lelaki dan tiada pilihan jalan lain. Bagi saya, mereka agak biadap apabila cuba untuk mengganggu dan tidak menghormati kaum wanita biarpun telah bertutup litup dan berniqab. Ini adalah perkara yang menjadi cabaran juga buat saya. Alhamdulillah selepas berkahwin, saya kurang diganggu kerana suami sentiasa disisi,” jelas isteri kepada Muhammad Hanip ini.

Hidayah juga menjelaskan menikmati makanan berkuah juga boleh menjadi cabaran yang paling utama buat dirinya selama dia berniqab ini.

“Lebih-lebih lagi sekiranya purdah tersebut berwarna cerah selain daripada warna hitam. Saya memang sentiasa bawa niqab lebih di dalam beg tangan dan kereta sekiranya comot bagi mengelakkan hilang mod ketika berjalan-jalan di luar.

Cabaran lain ialah untuk menjaga sikap supaya orang lain tidak memandang serong pada wanita berniqab kerana bagi saya, setiap individu yang bertudung dan berniqab menggalas tanggungjawab untuk membawa identiti islamik yang baik kepada masyarakat,” ujarnya lagi.

Published by
Qistina