Pastinya ramai yang menghela nafas lega kononnya visi untuk menguruskan badan akan tercapai terutama di bulan Ramadan. Benar, ada individu yang hilang berkilo-kilo berat badannya sepanjang ramadan, tetapi tidak kurang juga dengan mereka yang berat badannya semakin meningkat hari demi hari.
Ikuti perkongsian dari Dr. Shazril Shaharuddin yang lebih dikenali sebagai Dr. Say ini tentang penjagaan kesihatan dan kecergasan sewaktu di bulan puasa untuk mengelakkan masalah berat badan selepas Ramadan.
SENAMAN SEBELUM ATAU SELEPAS BERBUKA?
Biarpun bulan Ramadan dilihat sebagai masa terbaik untuk menurunkan berat badan, namun ia rutin senaman haruslah dilakukan dengan baik. Manurut Dr. Say, senaman di bulan puasa haruslah dilakukan dengan teratur agar tidak menganggu stamina tubuh badan yang sedang berpuasa.
“Waktu terbaik untuk bersenam di bulan Ramadan ialah selepas berbuka. Untuk kesan yang efektif, elak berbuka dengan juadah berat seperti nasi dan sebaiknya berbukalah dengan kurma dan air. Bagi aktiviti senaman pula, ia boleh dilakukan selepas menunaikan solat terawih. Masa yang terbaik untuk menjamah juadah yang dibeli ialah selepas bersenam. Ini dapat menyeimbangkan tubuh badan dan mengelakkan kita dari dehidrasi”.
Senaman selepas sahur adalah tidak disarankan kerana bimbang tubuh akan berada dalam keadaan dehidrasi yang teruk dan akhirnya badan mulai lemah.
“Ramai yang menganggap bahawa selepas sahur adalah waktu yang paling bagus untuk bersenam. Namun, harus di ingat bahawa badan memerlukan tenaga dan
air yang mencukupi sepanjang hari sehinggalah waktu berbuka. Senaman seawal itu, secara tidak langsung akan mengurangkan tenaga dan jumlah air dalam badan yang akhirnya memudaratkan diri. Jika kita bersenam selepas berbuka, sekurang-kurangnya makanan yang dimakan sewaktu berbuka dapat menggantikan semula tenaga yang hilang. Bukan itu sahaja, malah jumlah air juga dapat dikawal dengan baik.Air sangat penting sewaktu bersenam”.
Bagi mereka yang mengalami masalah berat badan ataupun obesiti, tempoh bersenam yang diperlukan ialah minimum 30 minit dan 5 kali seminggu. Bentuk senaman haruslah lebih agresif dan mempunyai tahap halangan dan bebanan yang tinggi. Untuk mendapatkan kesan yang bagus, usah hanya memfokuskan kepada ‘spot training’ semata-mata kerana ia tidak membantu untuk menurunkan berat badan secara keseluruhan.
“Saya tidak menyarankan penghidap obesiti untuk melakukan ‘spot training’ semata-
mata untuk menurunkan berat badan. Situasi ini seringkali berlaku apabila seseorang itu mengalami masalah lebihan lemak pada bahagian-bahagian tubuh yang tertentu. Contohnya, jika mahu hilangkan lemak di bahagian lengan hanya fokus di situ sahaja. Jika ingin hasilkan six pack, hanya buat ‘abs workout’ sahaja. ‘Spot training’ tidak menurunkan jumlah keseluruhan lemak dalam badan. Jadi, saya lebih sarankan agar mereka melakukan ‘weight training’ untuk membakar lemak dan kalori dalam tubuh”.
Seperti Dr. Say sendiri, selain dari weight training, dia turut melakukan aktiviti berenang untuk memastikan otot badannya kekal ‘fit’ di bulan Ramadan.
“Saya lakukan weight training setiap 2 kali sehari. Selebihnya adalah masa saya untuk berehat. Berehat bererti, saya lakukan aktiviti sukan yang lebih santai tetapi tinggi tahap bebanannya, seperti berenang. Jadi sepanjang Ramadan memang saya lebih banyak menghabiskan masa dengan aktiviti berenang selepas berbuka”.
80 PERATUS ADALAH DARI PEMAKANAN
Senaman bukanlah faktor utama untuk menurunkan berat badan. Malah hanya 20 peratus sahaja faktor senaman mempengaruhi saiz badan seseorang. 80 peratus adalah tertumpu kepada faktor pemakanan yang sihat dan seimbang. Menurut Dr.Say, masyarakat hari ini begitu taksub dengan pelan diet yang dicadangkan kepada mereka.
“Bagi saya sendiri, saya langsung tidak percaya dengan keberkesanan sesebuah pelan diet itu untuk menjadikan anda seorang yang sihat kerana ia lebih memfokuskan kepada bentuk badan yang diidamkan oleh pengamalnya. Dari sudut negatifnya, apabila seseorang itu sudah mencapai bentuk badan yang mereka inginkan, peratusan untuk mereka kembali kepada tabiat lama amat tinggi. Seperti yang saya katakan, ia lebih kepada psikologi terhadap kepuasan diri sendiri. Mengenai aspek pemakanan, saya sarankan kepada mereka yang mengalami masalah berat badan agar usah tertipu dengan pelan diet, malah ubah gaya pemakanan yang sihat secara keseluruhan dan bukan untuk jangka masa pendek. Pilih makanan yang sihat dan jauhi makanan segera dan diproses”.
JALAN SINGKAT UNTUK KURUS
Hari ini ramai yang mahu mengambil ‘jalan singkat’ untuk menurunkan berat badan. Menurut Dr. Say, sikap ini tidak mendatangkan faedah kepada mereka yang menggunakan cara mudah untuk tampil cantik, malahan, ia akan memberi kesan yang memudaratkan pada masa akan datang.
“Perkara pertama yang harus mereka tahu adalah senaman merupakan proses yang panjang. Ramai diantara kita yang mahu kurus dengan cepat. Kalau dalam masa sebulan badan tidak turun 5 kg, terus kecewa dan putus asa untuk kurus. Untuk pengetahuan, kadar normal adalah seminggu bersamaan 1 kg. Maksudnya, untuk cara yang sihat dan normal, optimumnya adalah sebulan bersamaan 4 kg. Bagi mereka yang menurunkan berat badan lebih cepat dari itu kerana mengambil supplemen mahupun suntikan, saiz badan yang kurus tidak tahan lama. Situasi ini berlaku kerana apabila mereka sudah mendapat saiz badan yang diidamkan, mereka akan mula mengurangkan diet, maka saiz badan akan membesar dengan cepat kerana tubuh mereka masih lagi tidak biasa dengan perubahan yang mendadak. Jangan percaya dengan mana-mana produk yang menjanjikan propaganda kosong kononnya boleh mengurangkan 20 kg dalam masa seminggu ataupun sebaliknya, kerana itu semua bertujuan mengaut keuntungan sendiri”.
Berbicara mengenai penerimaan orang ramai terhadap masalah obesiti, Dr. Say menjelaskan bahawa obesiti bukanlah perkara yang sihat malah harus dilihat sebagai sebuah perkara yang menjejaskan kesihatan pada masa akan datang.
“Obesiti tidak sihat. Jika diberi pilihan kepada saya untuk marah atau kasihan kepada mereka yang berbadan besar, saya pilih untuk marah. Bukan kerana untuk menghina atau mengejek, tetapi kerana mereka ini tidak berusaha untuk mengubah corak hidup ke arah yang lebih sihat. Ramai yang memberi alasan genetik. Sedangkan, banyak cara dan alternatif yang boleh mereka amalkan untuk menurunkan berat badan. Saya percaya masih ada segelintir kelompok masyarakat yang selesa berbadan besar. Kata mereka, bahagia dalam keadaan sebegitu. Namun, tahukah anda obesiti boleh menganggu kesuburan? Sesiapayang menghidap obesiti, terutamanya lelaki, berisiko tinggi untuk mengalami Erectile Dysfunction (ED), mati pucuk. Bagi wanita pula, obesiti boleh menghasilkan cyst yang merencatkan fungsi ovari,dan menyebabkan ia tidak berfungsi dengan baik. Jadi apa lagi alasan anda untuk tidak mengubah corak hidup kepada yang lebih sihat dan berkualiti? Usah salah kan bulan Ramadan yang hadir cuma sekali setahun, usah juga jadikan kerja yang bertimbun sebagai alasan untuk tidak bersenam. Semuanya bermula dari dalam diri sendiri. Lakukan perubahan hari ini, untuk kebaikan masa hadapan,” tegasnya menutupi sesi temubual ini.
Sumber gambar: Instagram Dr. Say
Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.
Bulan ini, Hijabista menghasilkan Majalah Hijabista Edisi Jawi menampilkan Nur Fazura sebagai penghias wajah hadapan. Menariknya, dengan setiap pembelian para pembeli akan menerima dua helai tudung istimewa.
Majalah ini boleh dibeli di laman Shopee Karangkraf Mall Official Store dengan harga RM29.90 sahaja. Berbaloi-baloi, beli majalah dapat pula dua tudung istimewa. Boleh dibeli di sini: Shoppe