Vivy Yusof bukanlah wanita ‘biasa-biasa’ kerana di sebalik kejelitaan raut wajahnya, terselit semangat juang yang tinggi dalam arena bisnes. Mesra disapa dengan panggilan Vivy, beliau berjaya membuktikan setiap individu mampu menggapai kejayaan asalkan mempunyai semangat dan keazaman yang tinggi.
Wanita bersemangat waja ini bukan sahaja komited dengan hala tuju untuk berjaya di gelanggang bisnes namun dalam masa yang sama ligat mencatur langkah bagi memantapkan bisnes. Lebih membanggakan, setiap cabang bisnes yang diusahakannya pasti membuahkan kejayaan. Itulah kuasa ‘sakti’ di sebalik wanita bernama Vivy Yusof.
Jom kita cungkil perancangan ikon bisnes ini sempena ‘kedatangan’ 2020.
HIJ: PERKEMBANGAN TERKINI
VY: Alhamdulillah 2020 merupakan tahun ke 10 saya bergelumang dalam dunia bisnes. Banyak perkara yang saya belajar dalam tempoh ini. Hala tuju bisnes juga sudah berubah. Kami berusaha untuk memperkasakan FashionValet dengan cara memberi nilai tambah produk serta mempertingkatkan inovasi produk seperti inner hijab yang mempunyai teknologi nano serta anti bakteria.
Projek yang masih dalam peringkat ujian pula ialah untuk menghasilkan skaf kalis air serta skaf yang dihasilkan daripada botol yang dikitar semula. Bagi saya ia sesuatu yang inovatif dan belum dilaksanakan oleh label tempatan. Saya ingin jadi perintis untuk melakukannya kerana ianya bukan sahaja pencapaian baik untuk bisnes saya tetapi juga baik untuk lam sekitar serta dan juga memberi nilai tambah kepada pelangan-pelanggan saya.
The Duck Group juga akan memperluaskan pasaran fizikal dan bukan hanya sekadar bergerak di atas talian. Hal ini kerana 90 peratus kuasa beli masih secara offline. Oleh itu amat penting untuk kami menambah pasaran fizikal. Manakala Duck Cosmetics pula akan mula di pasarkan di Watsons terpilih, melibatkan 100 outlet demi memenuhi permintaan pelanggan yang sentiasa ‘dahagakan’ produk-produk kami.
HIJ: PERANAN SEBAGAI AHLI LEMBAGA PENGARAH UNIVERSITI TEKNOLOGI MARA (UITM)?
VY: Dalam sejarah sayalah yang paling muda memegang jawatan ini. Portfolio saya ialah berkaitan hal ehwal pelajar dan saya rasa ia sangat sesuai dengan saya. Seperti yang kita ketahui kebanyakan pelajar mengalami dilema berkaitan dengan kewangan dan kesihatan mental. Oleh itu saya merancang untuk mengadakan banyak program bagi memberikan motivasi kepada pelajar-pelajar.
HIJ: KONGSIKAN RAHSIA KECANTIKAN VIVY?
VY: Azam tahun 2020 saya ialah untuk menjalani gaya hidup sihat. Saya jenis orang yang kurang tidur dan tidak bersenam. Apa yang saya amalkan ialah banyakkan minum air putih.
Setiap tahun saya akan melakukan ujian kesihatan. Ini saya amalkan sejak tiga tahun yang lalu. Bagi saya pemeriksaan kesihatan tahunan amat penting supaya kita sentiasa peka dengan keadaan kesihatan. Pengesanan awal itu amat penting bagi membolehkan kita segera mendapatkan rawatan awal.
Untuk suplemen saya amalkan fish oil. Manakala untuk rutin kecantikan pula saya pastikan mencuci mekap dengan sempurna. Apabila sudah memasuki usia 30 an, saya juga lebih menitikberatkan pemakaian penyegar dan pelembap wajah dan juga sunblock.
HIJ: KONGSIKAN SEJAUH MANA VIVY OBSES DENGAN FESYEN?
VY: Saya seorang yang suka bergaya ringkas. Jangan tak percaya, walaupun saya terlibat dalam dunia fesyen secara langsung namun saya lebih obses dengan dunia kerja berbanding fesyen. Mungkin sudah tersurat rezeki saya dalam dunia fesyen namun ia bukan bermakna saya obses dengan fesyen. Paling tidak pun, saya amat mementingkan koordinasi warna persalinan yang saya gayakan.
HIJ: BARANGAN BERJENAMA YANG SERING MENJADI PILIHAN VIVY?
VY: Semestinya Duck (sambil ketawa). Saya menyukai label Fendi, Dior dan juga Louis Vuitton. Ia bukan sekadar label tetapi saya gemarkan ketiga-tiga label ini kerana terpikat dengan variasi rekaan produk yang berkualiti serta kreativiti strategi pemasaran yang dilontarkan. Bagi saya tidak salah berbelanja besar membeli barangan yang kita inginkan. Ia sebagai ganjaran atas segala kerja keras yang kita lakukan. ‘Work hard, play hard.’
HIJ: SIAPAKAH IKON FESYEN YANG MENJADI INSPIRASI VIVY?
VY: Olivia Palermo, Victoria Beckham dan juga Scha Al-Yahya.
HIJ: VIVY DIANGGAP SEBAGAI IKON FESYEN HIJABI? APA KOMEN VIVY?
VY: Tertekan dan sedikit stres. Oleh itu saya perlu pastikan yang saya sentiasa menjaga penampilan. Saya mungkin dianggap sebagai ikon fesyen namun saya bukanlah ikon fesyen hijabi kerana saya belum layak untuk menyandang gelaran itu. Masih banyak yang perlu saya perbaiki. Daripada sisi yang lain, dianggap sebagai ikon fesyen merupakan satu ‘rahmat’ buat saya kerana secara tidak langsung ia salah satu cara untuk ‘melariskan’ produk-produk bisnes saya.