Lagi Kes Gangguan Seksual Di Sekitar Shah Alam, Pastikan Anda Tidak Keluar Bersendirian!

Share

Sejak akhir-akhir ini, semakin kerap kita baca tentang kes gangguan seksual seperti kejadian rogol di dada akhbar dan juga laman sosial. Jika dulu kita akan rasa selamat walaupun keluar seorang diri, namun kini tidak lagi.

Khususnya buat wanita, pastikan anda sentiasa keluar berteman kerana malang tidak berbau. Tanpa kita sedari, mungkin ada mata yang memerhati gerak geri kita dan hanya menunggu masa yang sesuai untuk menyerang.

Baru-baru ini, terdapat satu lagi kejadian yang berlaku di sekitar Shah Alam di mana beberapa orang pelajar yang sedang menunggu bas diganggu oleh seorang lelaki yang berkelakuan tidak senonoh.

Lelaki tersebut dikatakan memegang dan menghala kemaluannya kepada pelajar-pelajar tersebut. Ikuti perkongsiannya.

“Kejadian ini berlaku pada 11 November yang lalu pada jam 2.00 petang di perhentian bas di Seksyen 7, berhampiran 7 Eleven.

Saya dan seorang kawan saya sedang menunggu bas untuk pulang ke UiTM. Hanya ada kami berdua pada waktu itu.

Tiba-tiba, ada seorang lelaki menaiki motosikal berhenti di hadapan kami, mengambil telefonnya dan membuat panggilan kepada seseorang.

Kemudian, ada lagi 3 orang pelajar datang ke perhentian bas tersebut. Saya sedang berbual dengan kawan saya.

Dalam masa yang sama, saya turut menoleh ke arah jalanraya untuk melihat sama ada terdapat bas yang datang atau tidak.

Tiba-tiba, saya terpandang lelaki tersebut menunjukkan kemaluannya pada kami dan bermain-main dengan kemaluannya.”

Seorang lagi saksi bernama Nurul Ashikin berkata yang mereka terkejut melihat perbuatan lelaki tersebut dan terus menjerit hingga menyebabkan lelaki itu segera melarikan diri dan terus meninggalkan tempat itu.

“Lelaki itu ada di atas motor, memakai topeng dan cuba lakukan benda yang tidak senonoh. Padahal ramai orang di perhentian bas tersebut.

Cuma pada waktu itu semuanya perempuan. Dia pun lari sebab saya dan kawan-kawan jerit sebab terkejut lihat kejadian tersebut.”

Pesan gadis ini, sentiasa berhati-hati dengan individu yang mempunyai masalah mental ini. Pastikan anda tidak keluar bersendirian.

Jika mereka berlima pun lelaki tersebut boleh buat seperti ini, apatah lagi jika anda bersendirian.

Sumber: Twitter Natt Melvin

Published by
Naqiyatul Uzma