Sejak mula dipertandingkan pada tahun 1891, angkat berat menjadi sukan yang didominasi oleh kaum lelaki.
Di beberapa negara terutama Asia dan negara Islam, penglibatan atlet wanita masih kurang. Ini kerana tiada peraturan khusus mengenai penggunaan hijab bagi atlet angkat berat.
Ketika itu muncul seorang wanita hebat bernama Kulsoom Abdullah yang merupakan atlet angkat berat wanita berketurunan Pakistan-Amerika Syarikat.
Ibu bapanya berasal dari Pakistan, tetapi dia dilahirkan di Kansas City, Amerika Syarikat.
Dengan keberaniannya, Kulsoom mampu mengubah peraturan dalam dunia angkat berat yang pada awalnya melarang pemakaian hijab.
Pun begitu, keberanian Kulsoom memperjuangkan pemakaian tudung bukan mudah kerana pelbagai rintangan terpaksa ditempuhi.
Perjuangan Kulsoom Abdullah
Kisah perjuangan Kulsoom sendiri bermula apabila pakaian yang dipakainya dianggap bermasalah ketika menyertai Kejohanan Kebangsaan di Amerika Syarikat.
Memetik laporan VOA, pada 2010 Kulsoom sepatutnya muncul di Kejohanan Kebangsaan Angkat Berat Amerika Syarikat. Bagaimanapun, dia memilih untuk tidak hadir kerana pakaian dan tudungnya tidak dibenarkan oleh penganjur.
“Di pertandingan kebangsaan semua orang memakai apa yang dipanggil singlet. Ini adalah sut yang ketat dan harus dipotong di atas lutut dan siku. Pakaian itu jelas tidak menutup aurat,” kata Kulsoom Abdullah seperti dipetik Buzz.
Dalam sukan angkat berat, atlet memakai singlet untuk mendedahkan lutut dan siku. Ini bagi memastikan pengadil dapat melihat peserta tidak membengkokkan siku, berdiri tegak, dan tiada peralatan digunakan untuk membantu meningkatkan prestasi atlet.
Kulsoom akhirnya mengemukakan permintaan untuk menukar kod pemakaian bagi membolehkannya memakai hijab. Bagaimanapun, USA Weightlifting menolak permintaannya dan perkara itu perlu dibawa kepada Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF).
Isu tersebut mendapat perhatian media nasional dan antarabangsa. Malah, Kulsoom turut mengadakan sidang media dengan bantuan Majlis Hubungan Amerika-Silam, yang akhirnya mendorong IWF menyemak semula kesnya.
“Anda tahu ia sangat menakutkan untuk menjadi orang pertama yang melakukan ini. Saya berharap ia tidak menjadi masalah besar dan mereka akan memenuhi kehendak saya. Tetapi ia menjadi masalah besar apabila banyak media membuat liputan mengenai kisah saya,” tambahnya.
Kepada IWF, Kulsoom berhujah bahawa pakaiannya tidak akan mempengaruhi penilaian pengadil. IWF kemudiannya bersetuju dan membenarkan Kulsoom memakai tudung dan pakaian berlengan panjang dalam pertandingan antarabangsa dan kebangsaan.
Mula Buka Peluang Kepada Atlet Berhijab
Selain itu, kemenangan Kulsoom turut mengubah sejarah sukan angkat berat. IWF menukar peraturan mereka dan membuka peluang untuk atlet wanita Muslim yang lain.
Pada Kejohanan Angkat Berat Dunia 2011 di Paris, Perancis, Kulsoom Abdullah yang mewakili Pakistan menjadi atlet angkat berat wanita berhijab pertama di peringkat antarabangsa.
“Masih sukar untuk percaya, saya melakukan sesuatu yang telah mempengaruhi ramai wanita lain di seluruh dunia,” kata Kulsoom.
Kredit Foto: Instagram Kulsoom Abdullah
Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini