Kes dirogol oleh ahli keluarga sendiri bukanlah satu kes yang baharu. Boleh dikatakan ia kerap berlaku di sekeliling kita sendiri tanpa disedari. Ahli keluarga yang disangka mampu melindungi akhirnya membunuh kepercayaan itu sendiri hingga sanggup menodai ahli keluarga sendiri. Dimana agaknya sikap tanggungjawab itu?
Menurut satu posting di laman Instagram milik personaliti bernama Farrah Adeeba, seorang wanita berusia 46 tahun telah berkongsi dan mengadu tentang dirinya yang pernah dirogol oleh abang iparnya sendiri sewaktu dia berusia 15 tahun. Apa yang menyedihkan adalah wanita ini tiada keberanian untuk memberitahu ahli keluarganya kerana abang iparnya itu merupakan antara orang kepercayaan dan kesayangan ibu bapanya.
Kakak wanita itu akhirnya bercerai dengan abang iparnya dan dia terpaksa berkahwin dengan bekas abang iparnya itu. Malangnya, orang luar termasuk ahli keluarganya menuduh dia sengaja menggoda abang iparnya. Sudahlah dipandang jelek oleh ahli keluarga sendiri, suami yang dikahwini juga mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang suami. Sudahlah tidak rasa bersalah dengan kelakuan kotornya itu.
Allahuakbar, memang berat dugaan yang ditanggung oleh wanita ini. Walaupun sudah beberapa tahun berlalu, tetapi semua perbuatan keji itu tidak pernah terhapus dari ingatannya. Dia turut berpesan agar semua ibu-ibu diluar sana mendekatkan diri dengan anak-anak dan jangan terlalu berkeras dengan anak-anak.
Farrah Adeeba yang kini sedang aktif mengendalikan kempen CSR #stopperogoldarirumah turut menyuarakan pendapatnya berkenaan kes ini. Menurutnya, ibu-ibu perlu akrab dan sentiasa percaya kepada anak sekiranya mereka mengadu yang dirinya dianiaya, didera atau dirogol. Betapa besarnya peranan seorang ibu di dalam hal ini.
Sumber: Instagram Farrah Adeeba