Pada 10 Februari 2019 iaitu hari esok, genaplah usia selebriti popular iaitu Neelofa yang ke 30 tahun. Mempunyai caranya yang tersendiri bagi meraikan hari jadinya itu, netizen memujinya kerana dia telah memilih untuk menyambutnya dengan mengadakan majlis kerohanian.
Menurut Kosmo, majlis yang diberi nama Light and Love Saturdate itu diadakan di Masjid At-Taqwa, TTDI, Petaling Jaya, Selangor dan dikelokakan oleh Imam Muda Asyraf bagi memberi tumpuan dan penerangan lebih lanjut mengenai cara mengerjakan solat dengan lebih sempurna.
Neelofa ternyata tidak dapat menyembunyikan perasaan terujanya apabila usahanya itu mendapat sambutan yang menggalakkan.
“Saya sendiri tidak sangka, majlis yang dirancang agak lambat ini mendapat sambutan yang sangat baik. Hampir 500 orang memohon untuk menghadirkan diri, bagaimanapun, pihak kami hanya mampu menyediakan tempat untuk 150 orang sahaja.
“Alhamdulillah, majlis berjalan dengan lancar. Rata-rata mereka yang hadir nampak begitu bersemangat untuk mendalami ilmu. Melihat pada sambutan baik yang diterima, insya-Allah saya akan cuba menganjurkan majlis sebegini dengan lebih kerap untuk manfaat bersama,” ujarnya kepada Kosmo! Online.
Selain kelas teori, aturcara majlis turut merangkumi sesi soal jawab, demo solat, serta cara bacaan dalam solat yang betul.
Tambah menarik, heroin drama Red Velvet itu juga melakukan demonstrasi solat dengan cara bacaan dalam bahasa Melayu.
Mengulas mengenai demonstrasi maksud bacaan solat, Neelofa menegaskan, bacaan dalam solat perlu dilunaskan dalam bahasa Arab.
“Penggunaan bahasa Melayu pada sesi demonstrasi bertujuan untuk pemahaman sahaja.
“Bacaan solat sebenar wajib dalam bahasa Arab,” katanya lagi.
Light And Love Saturdate bukanlah acara keagamaan pertama yang dianjurkan oleh pihak Neelofa. Sebelum ini mereka juga aktif menganjurkan beberapa kelas berbentuk kerohanian.