‘Kita Diberi Rezeki Mampu Bersedekah, Jangan Dihina Si Miskin Yang Tak Mampu…’- Fauziah Nawi Kongsi Perihal Hati

Share

Perasaan sombong dalam diri boleh menjadi satu titik hitam dalam hati yang boleh membuat jiwa kita lupa pada Tuhan dan memandang rendah terhadap orang lain.

Mungkin orang lain kelihatan lebih jahil namun siapa tahu di sisi Tuhan dia lebih mulia daripada kita?

Berkongsi di laman sosial, Fauziah Nawi menekankan betapa pentingnya kita bersangka baik dengan semua orang dan tidak mudah menjatuhkan hukuman terhadap orang lain.

Cantik susunan bahasanya… Kita diberi rezeki bangun berqiyamulail, maka bersyukurlah, tapi jangan dipandang rendah orang yang tidur, kerana dia mungkin tidur dengan air mata taubat dan penyesalan.

Kita diberi rezeki gagah berpuasa sunat, maka bersyukurlah, tapi jangan pandang rendah insan yang belum mampu istiqomah berpuasa sunat, siapa tahu pahala sedekah secara sembunyinya diangkat ke langit.

Kita diberi rezeki mampu khatam Al-Quran sebulan sekali, maka bersyukurlah, namun jangan diejek- ejek, disindir insan yang masih merangkak- rangkak dengan muqaddamnya. Siapa tahu Allah lebih mencintainya yang istiqomah belajar mengaji dengan segala kepayahannya.

Kita diberi rezeki dengan harta dunia dan mampu bersedekah jariah, maka bersyukurlah, namun jangan dihina si miskin yang tidak mampu memberi kerana kekurangannya. Mana tahu mulutnya tidak berhenti berzikir menjadi pahala sedekahnya.

Kita direzekikan lahir dari keluarga yang alim. Kecil- kecil sudah mantap imannya, sudah sempurna menutup auratnya, sudah sempurna solat, bacaan Al-Quran dan hadisnya.

Maka bersyukurlah, tetapi jangan dihina anak- anak yang lahir dalam keluarga yang porak- peranda. Kita tidak tahu pahala yang diberi Allah atas payah jerihnya mereka mencari agama.

Bersyukurlah andai kita diberi rezeki beramal ibadah, namun ibadah itu hancur sama sekali saat kita berasa aman dengannya dan meremehkan orang lain.
Ingatlah sejarah Iblis Laknatullah yang hebat ibadahnya namun terhumban keluar kerana satu titik……
*SOMBONG*

Published by
Qiss