Kata orang, kalau dah jodoh pasti tidak ke mana. Pelbagai cara Allah SWT akan menemukan sesebuah pasangan itu. Seperti pasangan di antara penjual aiskrim dengan pelanggannya sendiri ini.
Baru-baru ini telah tular di Tiktok video ‘throwback‘ yang memaparkan momen bahagia mempelai ketika pertama kali bertemu sebagai seorang ‘penjual aiskrim dan pelanggan’. Difahamkan, video tersebut dirakam sendiri oleh kakak ipar pengguna akaun @walidsaffine pada tahun 2020.
Menerusi kapsyen pemilik video tersebut, dia menyatakan bahawa ikatan perkahwinan terjalin selepas ‘pelanggannya’ sering membeli aiskrim yang dijual.
“Siapa suruh beli aiskrim saya, kan dah kahwin dengan saya,” tulisnya di dalam video berkenaan.
@walidsaffineKan dah kawin haaa..♬ suara asli – hierapsz.
Berkongsi cerita kepada Mstar, pemilik video yang bernama Abdul Walid Saffine itu berkata, dia sendiri tidak menyangka jodohnya adalah gadis yang sering membeli aiskrim yang dijualnya.
Pertemuan antara dia dan isteri, Nurulhuda Jamidi, 23, bermula selepas dia nekad berhenti bekerja sebagai juruteknik di sebuah syarikat swasta.
“Pada masa itu, kawan-kawan juga ingin berhenti berniaga dan ingin menjual semua peralatan yang digunakan. Saya tak bercadang pun nak jual aiskrim, tapi sebab kawan saya nak berhenti berniaga, jadi saya membeli kesemua peralatannya dan mula menjual aiskrim menaiki motosikal.
ARTIKEL BERKAITAN: Ikat Tali Pertunangan, Wanita OKU Bersyukur Akhirnya Bertemu Jodoh
“Pada masa sama, saya teringin sangat ingin menamatkan zaman bujang pada usia 24 tahun… tetapi tiada calon.
“Jadi saya cuba mencari pasangan dan salah satu platform yang digunakan ialah Facebook. Pada mulanya, saya berbual dengan semua wanita yang saya suka, jadi pada suatu hari pada tahun 2020, saya berhubung dengan wanita yang kini menjadi isteri saya.” ujar lelaki berusia 25 tahun itu.
Disebabkan itu, dia mengambil peluang untuk mula menjual aiskrim di sekitar kawasan perumahan isterinya yang bertugas sebagai guru taska ketika itu.
“Saya jual aiskrim dan setiap kali lalu di kawasan perumahannya, dia akan beli aiskrim.
“Biasalah… apabila dah berkenan, saya akan beri aiskrim percuma atau diskaun,” luahnya gembira.
Selepas sering berhubung dan bertemu ketika menjual aiskrim, Walid akui telah memberanikan diri dan ‘membuka langkah’ untuk melamar isterinya.
“Lama-kelamaan saya cuba melamar dia dan tak sangka diterima. Apabila terima, makin keraplah saya lalu depan rumah dia… kerana masa tu saja saya dapat jumpa dan kami tak pernah keluar berdua pun.
“Perhubungan semakin serius apabila dia memaklumkan tentang hubungan kami berdua kepada kedua orang tuanya.
Dalam pada itu, Walid turut menzahirkan rasa syukur kerana keluarga mentua menerima dia dan pekerjaannya sebagai penjual aiskrim.
“Saya rasa bersyukur dengan penerimaan isteri dan keluarga sedangkan saya hanya penjual aiskrim. Malah ayahnya pernah berkata bahawa dia tidak peduli anak menantu kerja apa asalkan mencari rezeki halal.” katanya.
Kini, berkat hasil usahanya ketika menjual aiskrim, dia telah berjaya mengumpul duit untuk berkahwin dan telah membuka cafe sendiri, Smootea,Taman Tas pada 17 Disember lalu.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata netizen ‘bersemut’ serta berseloroh ingin menjadi penjual aiskrim! Ada juga yang turut mendoakan agar bahtera yang dibina kekal hingga syurga. Video yang dikongsikan di akaun TikTok tersebut kini mendapat lebih 1.2 juta tontonan dan 100.9K kesukaan.
“Comelnye cara Allah temukan jodoh…”
“untung la..hari2 dapat makan aiskrim. Haha”
“tahniahhhh…semoga kekal bahagia selama²nya….inshaAllah”
“alhamdulillah… tahniah. moga kekal hingga ke jannah”
“betapa hebatnya RAHSIA ALLAH tu kan? alhamdulillah syukur dan tahniah”
ARTIKEL BERKAITAN: Beruntung Yang Belum Bertemu Jodoh, Carilah 7 Ciri-Ciri Ini Untuk Dijadikan Suami
Sumber: Tiktok dan Mstar