Seringkali ada saudara atau rakan-rakan yang pergi menunaikan haji/umrah ramai di kalangan kita akan mengirimkan doa kepada mereka. Ada bermacam-macam doa dikirimkan dengan harapan moga-moga doa itu dimakbulkan oleh Allah.

Namun ada pendapat yang mengatakan tidak perlu mengirimkan doa kerana individu itu sendiri boleh berdoa sendiri tanpa mengirimkan doa. Sejauh manakah kebenarannya?

Berikut ulasan daripada Mufti Wilayah seperti yang dipetik dari laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

SOALAN:

Assalamualaikum Ustaz, sesetengah orang kirim supaya berdoa di tanah suci, yang manakah lebih baik sama ada berdoa sendiri di Malaysia atau minta orang doakan di tanah suci ?

JAWAPAN:

Alhamdulillah segala puji dan syukur kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat yang mulia, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Perbuatan berdoa adalah suatu ibadah yang sangat dituntut di dalam Islam. Terdapat banyak nas yang sahih daripada al-Quran dan juga al-Sunnah yang menerangkan tentang kepentingan berdoa kepada Allah S.W.T.

Kirim Doa Kepada Mereka Yang Tunai Haji/Umrah Di Makkah, Boleh Atau Tidak & Hukumnya

Di antaranya adalah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh An-Nu’man bin Basyir R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

‏ الدُّعَاءُ هُوَ الْعِبَادَةُ

Maksudnya: Berdoa itu adalah suatu ibadah.

Kemudian baginda membaca firman Allah S.W.T:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ

Maksudnya: Dan telah berkata Tuhan kamu: “Berdoalah kamu semua kepada-Ku nescaya Aku akan memustajabkan buat kamu”. Riwayat Abu Daud (1479)

Berdasarkan hadis dan ayat di atas, berdoa itu bukan sekadar suatu ibadah, bahkan ia merupakan suatu perintah dari Allah S.W.T buat sekalian para hamba-Nya untuk berdoa kepada-Nya. Bukan sekadar itu, Allah S.W.T turut memberikan jaminan bahawa Dia akan memustajabkan sebarang permintaan hamba-Nya. Hal ini secara jelas menggambarkan peri pentingnya ibadah doa, sehingga menjadi suatu arahan dan tuntutan kepada seseorang hamba untuk melakukannya.

Kirim Doa Kepada Mereka Yang Tunai Haji/Umrah Di Makkah, Boleh Atau Tidak & Hukumnya

Imam al-Hafiz Ibn Kathir Rahimahullah apabila menafsirkan ayat ini, beliau menukilkan kata-kata Imam Sufyan al-Tsauri: ‘’Wahai hamba-hamba yang paling dicintai-Nya, adalah mereka yang meminta kepada-Nya dan banyak permintaannya. Dan golongan yang dimurkai Allah dari kalangan hamba-Nya adalah mereka yang tidak meminta kepada-Nya’’.

Beliau juga turut menukilkan kata-kata penyair: ‘’Allah itu murka sekiranya kamu tidak meminta (berdoa) kepada-Nya. Manakala anak Adam (manusia) itu, berasa marah apabila diminta sesuatu (darinya)’’. Lihat Tafsir al-Quran al-Azhim, Ibn Kathir (7/156).

Ads

Berdoa juga turut mempunyai beberapa adab dan juga keadaan-keadaan tertentu yang membantu untuk ianya dimustajabkan Tuhan. Kami nyatakan perincian sebahagian daripada adab dalam berdoa seperti berikut:

Pertama: Berdoa Dengan Penuh Harap Dan Yakin

Di antara adab berdoa, seseorang itu perlulah meminta kepada Allah S.W.T dalam keadaan dirinya bersangka baik dengan-Nya agar permintaan itu dimustajabkan. Demikian juga, seseorang itu perlulah berdoa dalam keadaan penuh harap (agar doa dimustajabkan) dan juga perasaan takut (dari doa tertolak). Ini berdasarkan firman Allah S.W.T:

إِنَّهُمْ كَانُوا يُسَارِعُونَ فِي الْخَيْرَاتِ وَيَدْعُونَنَا رَغَبًا وَرَهَبًا

Maksudnya: Sesungguhnya mereka itu (para Nabi) sentiasa bersegera dalam melakukan perkara kebaikan. Dan mereka berdoa kepada Kami dalam keadaan penuh harap dan rasa takut. Surah al-Anbiya’ (90)

Ayat di atas ini sebelumnya menceritakan berkenaan beberapa orang para Nabi dan juga permintaan yang mereka lakukan. Nabi Ayyub A.S. berdoa kepada Allah S.W.T untuk memberikan kesembuhan kepada penyakit yang menimpanya, lalu Allah mustajabkan. Nabi Yunus A.S berdoa supaya diselamatkan dari musibah yang menimpa dirinya saat berada di dalam perut ikan nun, kemudian Allah mustajabkan doanya.

Berikutnya, Nabi Zakaria A.S juga berdoa supaya dikurniakan zuriat, lalu Allah S.W.T memustajabkannya dengan mengurniakan Nabi Yahya sebagai anak. Ketiga-tiga para Nabi ini dimustajabkan doa mereka kerana berdoa dalam keadaan penuh harap dan takut kepada Allah S.W.T.

Kirim Doa Kepada Mereka Yang Tunai Haji/Umrah Di Makkah, Boleh Atau Tidak & Hukumnya

Begitu juga berdasarkan sebuah hadis daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

ادْعُوا اللَّهَ وَأَنْتُمْ مُوقِنُونَ بِالإِجَابَةِ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ لاَ يَسْتَجِيبُ دُعَاءً مِنْ قَلْبٍ غَافِلٍ لاَهٍ

Maksudnya: Berdoalah kepada Allah dalam keadaan kamu yakin bahawa ianya akan dimustajabkan. Dan ketahuilah kamu bahawa Allah S.W.T tidak akan memustajabkan doa yang datang daripada hati yang lalai lagi alpa. Riwayat al-Tirmizi (3479)

Kedua: Memuji Tuhan Sebelum Berdoa

Ads

Di antara adab dalam berdoa adalah dengan memuji Allah S.W.T sebelum meminta sebarang hajat. Hal ini sebagai contoh mudahnya adalah dengan melihat kepada bacaan surah al-fatihah yang dibacakan oleh seseorang. Ia berdasarkan sebuah riwayat yang panjang daripada Abu Hurairah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W menceritakan berkenaan bacaan al-Fatihah di dalam solat. Lalu Allah S.W.T membahagikan solat kepada dua bahagian, untuk diri-Nya dan untuk para hamba-Nya.

Jelas dalam surah al-Fatihah, terdapat 5 pujian daripada ayat pertama hinggalah ke ayat yang ke lima kepada Allah S.W.T. Kemudian pada ayat yang keenam, ia diikuti dengan permintaan atau doa yang pertama iaitu:

اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ

Maksudnya: Berilah kami hidayah kepada jalan yang lurus. Surah al-Fatihah (6)

Kirim Doa Kepada Mereka Yang Tunai Haji/Umrah Di Makkah, Boleh Atau Tidak & Hukumnya

Demikian juga seperti yang difirmankan oleh Allah S.W.T di dalam al-Quran yang menceritakan berkenaan doa Nabi Ibrahim A.S, baginda memulakan dengan katanya:

الَّذِي خَلَقَنِي فَهُوَ يَهْدِينِ (78) وَالَّذِي هُوَ يُطْعِمُنِي وَيَسْقِينِ (79) وَإِذَا مَرِضْتُ فَهُوَ يَشْفِينِ (80) وَالَّذِي يُمِيتُنِي ثُمَّ يُحْيِينِ (81) وَالَّذِي أَطْمَعُ أَن يَغْفِرَ لِي خَطِيئَتِي يَوْمَ الدِّينِ

Maksudnya: Dialah Tuhan yang telah menciptakan aku maka Dia jugalah yang memberikan petunjuk. Dialah Tuhan yang memberi makan dan minum kepadaku. Dan apabila aku sakit, maka Dialah yang memberikan kesembuhan. Dan Dialah Tuhan yang mematikan aku kemudian menghidupan semula (diriku). Dan Dia jugalah Tuhan yang sangat aku harapkan supaya Dia mengampunkan kesalahan-kesalahanku pada hari akhirat.

Surah al-Shu’ara (78 – 82)

Kesemua ungkapan di atas ini, jika diteliti ia adalah suatu puji-pujian seorang hamba kepada Tuhannya. Maka Nabi Ibrahim A.S tidak terhenti sekadar lima pujian ini, bahkan baginda menyambungnya dengan lima buah permintaan kepada Allah S.W.T melalui firman-Nya:

رَبِّ هَبْ لِي حُكْمًا وَأَلْحِقْنِي بِالصَّالِحِينَ (83) وَاجْعَل لِّي لِسَانَ صِدْقٍ فِي الْآخِرِينَ (84) وَاجْعَلْنِي مِن وَرَثَةِ جَنَّةِ النَّعِيمِ (85) وَاغْفِرْ لِأَبِي إِنَّهُ كَانَ مِنَ الضَّالِّينَ (86) وَلَا تُخْزِنِي يَوْمَ يُبْعَثُونَ

Ads

Maksudnya: Tuhanku, berilah hikmah kepadaku dan golongkanlah diriku bersama dengan orang-orang yang soleh. Berilah kepadaku lisan yang benar buat orang-orang yang terkemudian. Dan jadikanlah aku di antara mereka yang mewarisi syurga al-na’im. Dan ampunkanlah bapaku, sesungguhnya dia tergolong dalam kalangan mereka yang tersesat. Dan janganlah Kau hinakan aku pada hari kebangkitan. Surah al-Syu’ara’ (83-87)

Kirim Doa Kepada Mereka Yang Tunai Haji/Umrah Di Makkah, Boleh Atau Tidak & Hukumnya

Justeru, dapat kita fahami bahawa petunjuk qurani di dalam berdoa adalah dengan memulakannya dengan ucapan pujian-pujian kepada Allah S.W.T.

Berdoa Di Tanah Suci

Berdoa di tanah haram tidak dinafikan mempunyai beberapa kelebihan dan keutamaannya yang tertentu. Kami kongsikan kenyataan Imam Ibn Rajab al-Hanbali Rahimahullah di dalam kitabnya Lathaif al-Ma’arif (Hlm. 269) yang berkata:

Ketahuilah bahawasanya penggandaan pahala bagi setiap amalan itu berlaku dengan beberapa sebab seperti berikut:

Pertama: Kemuliaan tempat yang dilakukan padanya amalan tersebut, seperti tanah haram. Oleh kerana itulah solat di dalam dua masjid Makkah dan juga Madinah itu dilipatgandakan ganjarannya. Sebagaimana yang telah sabit di dalam sebuah hadis yang sahih daripada Nabi S.A.W baginda bersabda:

صَلاَةٌ فِي مَسْجِدِي هَذَا خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ صَلاَةٍ – أَوْ كَأَلْفِ صَلاَةٍ – فِيمَا سِوَاهُ مِنَ الْمَسَاجِدِ إِلاَّ أَنْ يَكُونَ الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ

Maksudnya: Solat di dalam masjidku ini (Masjid Nabawi) adalah lebih baik berbanding 1000 solat – atau menyamai 1000 solat – berbanding masjid-masjid selainnya, kecuali Masjid al-Haram. Riwayat Muslim (1394)

Kirim Doa Kepada Mereka Yang Tunai Haji/Umrah Di Makkah, Boleh Atau Tidak & Hukumnya

Justeru, hal ini jelas menunjukkan bahawa ibadah yang dilakukan di tanah haram itu dilipatgandakan ganjaran pahalanya, dan termasuklah dalam perbuatan ibadah itu adalah doa yang dilakukan oleh sesorang itu di dalam tanah haram.

Kesimpulan

Sebagai penutup, kami berpendapat bahawa perbuatan meminta orang lain yang terpilih di sisi Allah S.W.T untuk menunaikan ibadah di Tanah Haram agar mendoakan kebaikan kepada kita yang tidak berada di sana, yang lebih makruf di sisi uruf masyarakat kita dengan perbuatan mengirimkan doa, hukumnya adalah dibolehkan.

Kami kongsikan sebuah riwayat daripada Saidina Umar al-Khattab R.A bahawa beliau pernah meminta izin kepada Nabi S.A.W untuk menunaikan umrah, lalu baginda mengizinkannya dan berkata kepada Umar:

لاَ تَنْسَنَا يَا أُخَىَّ مِنْ دُعَائِكَ

Maksudnya: Jangan lupakan kami wahai saudaraku dari doa kamu. Riwayat Abu Daud (1498)

Kami juga menambah, dalam masa yang sama kita sendiri turut tidak mengabaikan doa sendiri di negara kita, dengan meraikan adab-adab berdoa yang telah kami nyatakan. Semoga dengan pencerahan ini sedikit sebanyak memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama.

Sumber kredit: Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan  dan Facebook Haramain

Tampil #1 on top dengan fashion muslimah terkini di HIJABISTA!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI