Nama Hawa Rizwana Redzuan cukup hangat sekitar tahun 2017 apabila dia diumumkan sebagai Wartawan Penyiaran dan sekaligus menjadi wajah Berita TV9 sebagai penyampai. Dikatakan memiliki iras Neelofa, Hawa sesekali tidak leka dengan populariti dan melakar kerjayanya dengan baik.
Bermula sebagai pelatih industri di Media Prima untuk rancangan Wanita Hari Ini, gadis berusia 27 tahun ini sedikit demi sedikit mendaki tangga populariti dek bakatnya.
Dari Berita TV9 dia diberi mandat untuk menjadi pembaca berita Buletin Utama pula. Bukan itu sahaja,dia turut bergelar pengacara Wanita Hari Ini dan Hello Doktor yang mana kedua-duanya bersiaran di TV3. Kini, dia telah pun diumumkan sebagai pengacara program sensasi, MeleTOP yang baharu.
Setelah sekian lama Neelofa meninggalkan kerusi pengacara, akhirnya kerusi hos tetap telah pun diisi bagi bergandingan bersama Nabil Ahmad. Hawa yang sebelum ini pernah beberapa kali diundang menjadi hos jemputan ternyata membuktikan yang kebolehannya untuk mengemudi rancangan berbentuk hiburan.
Pengumuman tersebut telah dilakukan sebentar tadi menerusi rancangan MeleTOP dan disambut meriah dengan sorakan penonton yang hadir secara langsung di studio. Pengumuman Hawa juga bersempena dengan 10 tahun rancangan tersebut bersiaran.
Sedikit latar pendidikan mengenai Hawa, dia merupakan graduan dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Kewartawanan dan Ijazah Sarjana Komunikasi Massa dari Universiti Teknologi MARA. Walaupun sibuk dengan kerjayanya, dia berjaya menamatkan pengajian sarjananya Mac tahun lalu dan pernah memperoleh keputusan 4.0 dalam salah satu semester pengajian.
Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.