Siapa yang tidak kenal dengan pelawak popular sekitar tahun 80 an dan 90 an, Allahyarham Mohd Yusof Abdul Hamid atau lebih dikenali dengan nama panggilan Mr Os. Lawaknya yang bersahaja tetapi cukup mencuit hati. Biarpun bergelar pelawak, namun Allahyarham semasa hayat tidak pernah mengabaikan pelajaran buat anak-anaknya. Kini, segala pengorbanan dicurah berbaloi kerana anaknya Syafiqa Hayra, 26 tahun telah berjaya menamatkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Perubatan.
Menurut laporan dalam Harian Metro, Syafiqa Hayra memberitahu kejayaan yang dikecapi ini didedikasikan kepada arwah ayahnya kerana banyak menyokong dia Untuk menceburi bidang perubatan.
Namun begitu, Syafiqa Hayra bersedih kerana arwah ayah tidak sempat melihat pencapaian dan kejayaannya. Biarpun begitu dia menganggap kejayaan itu sebagai pemangkin untuk terus maju dalam bidang terbabit.
“Ijazah ini hadiah untuk arwah ayah. Alhamdulillah ijazah ini amat besar maknanya kepada saya dan terima kasih kepada arwah ayah serta keluarga yang sering memberi semangat untuk saya meneruskan cita-cita.
“Arwah selalu berpesan supaya saya menjadi seorang doktor yang akan berbakti kepada masyarakat dan berkhidmat kerana Allah,” katanya yang menerima Ijazah Sarjana Muda Perubatan dari Universiti Mansoura Mesir dengan keputusan cemerlang Januari lalu.
Tambah doktor muda ini lagi, penganugerahan yang diterima adalah bayaran kepada pengorbanan kepada kedua-dua orang tuanya.
“Banyak cabaran dan rintangan yang saya lalui sepanjang belajar di Mesir tetapi orang tua saya tidak pernah berputus asa memberi galakan.
“Saya sudah tetapkan pada diri, setiap pahala yang diperoleh akan disampaikan kepada ibu (Rahayu Muhamed Nadzir) dan arwah ayah,” katanya yang masih menunggu tempat untuk melaksanakan latihan perubatan (houseman).
Mr Os, pelawak dan pelakon yang terkenal dengan loghat Perak ini meninggal dunia pada 8 April 2016 di Hospital Selayang akibat kanser paru-paru.
Sementara itu dalam posting di twitter, Syafiqa Hayra juga turut mengucapkan syukur alhamdulillah kerana secara akhirnya telah graduasi dan secara rasmi bergelar seorang doktor.
Dia juga turut menerima ucapan tahniah dari teman-temannya atas kejayaan yang sangat bererti dalam hidupnya itu.
Hijabista ucapkan tahniah atas kejayaan Dr Syafiqa Hayra dan semoga dapat berbakti kepada agama, bangsa dan negara.
KREDIT FOTO: INSTAGRAM & TWITTER SYAFIQA HAYRA