Pertandingan ratu cantik merupakan sebuah pertandingan yang bertujuan untuk memperkasakan wanita dan juga memberi peluang kepada pesertanya untuk membawa nama negara ke tahap yang lebih tinggi.
Jika dahulu pertandingan ini lebih terarah kepada mereka yang tinggi lampai dan kurus seperti model. Namun saban tahun standard kecantikan sudah berubah kurus, gemuk, tinggi dan rendah bukan lagi menjadi ukuran. Sebaliknya, personaliti, misi kemanusiaan dan juga cara pembawaan diri menjadi pilihan selain penampilan yang menarik.
Kini, memecah tembok dunia ratu cantik, gadis berhijab dari Somalia, Khadija Omar menjadi peserta berhijab pertama yang mewakili sebuah negara dalam pertandingan ratu cantik berprestij iaitu Miss World. Tahun ini pertandingan tersebut diadakan di Puerto Rico dan malam finale akan dilangsungkan pada 16 Disember 2021.
“Saya tidak percaya saya adalah Miss World Somalia yang pertama. Sesiapa yang mengenali saya, tahu berapa lama saya berhasrat untuk bertanding dalam pertandingan dan mewakili gadis berhijab di seluruh dunia.
“Saya harap ini memberi inspirasi kepada gadis-gadis muda berhijab dan mengingatkan mereka bahawa mereka boleh bermimpi setinggi yang mereka cita-citakan. Saya tidak sabar untuk mencipta sejarah di Puerto Rico. Menunjukkan kepada dunia betapa cantiknya Somalia dan sekaligus membanggakan negara,” kongsi wanita anggun berusia 20 tahun ini.
Sedikit maklumat mengenainya, Khadija merupakan seorang jurusolek dan sekarang merupakan pelajar dalam jurusan psikology di York University Kanada. Sebelum berpindah ke Kanada, dia pernah tinggal di Kem Pelarian Nairobi, Kenya. Walaupun sudah tinggal di negara asing, kecintaannya kepada Somalia tidak pernah padam.
Ini dibuktikan menerusi projek ‘Beauty with a Purpose’ yang menjadi satu kewajipan bagi peserta Miss World kendalikan. Khadija akan bekerjasama dengan UNHCR dan Somali Youth Action dalam mewujudkan program pendidikan mata pencarian dan iklim terutamanya untuk wanita dan kanak-kanak.
Sebelum ini sudah ramai wanita berhijab yang memasuki pertandingan seperti Miss Universe dan Miss World di peringkat negara mereka, namun masih belum ada yang berjaya mewakili negara masing-masing ke peringkat antarabangsa.
Semoga Khadija berjaya mencipta sejarah dan ini menjadikan lebih ramai wanita berhijab menjadi wakil negara mereka. Membuktikan yang hijab bukan halangan dan beban sebaliknya satu simbol kekuatan.
Sumber: Instagram Khadija Omar & Angelopedia