Stres boleh mempengaruhi tahap kesihatan individu. Ia juga membawa kepada pelbagai permasalahan dan penyakit yang lebih kompleks membabitkan emosi dan fizikal yang bukan saja memberi kesan ke atas individu bahkan orang sekeliling.
Selalunya apa yang anda lakukan ketika mengalami stres? Keluar berjalan-jalan, minum-minum kopi atau pergi ke kawasan lapang dan menjerit sekuat-kuat hati?
Sebagai orang Islam, ada caranya untuk melegakan stres ini. Dekati Allah, seperti yang dikongsikan oleh Rohana Saad ini.
Stres macam-macam ye? Akibat stres muka jadi kusam dan hilang seri. Nak hilangkan stres dan menyerikan muka, buatlah ‘me time’ dengan ALLAH. Ambillah peluang kita bersunyi-sunyian bersama Tuhan kita.
‘Me time’ dengan ALLAH waktu sepertiga malam bangun melaksanakan solat tahajjud merupakan salah satu cara untuk meraih ketenangan hati serta melenyapkan kesedihan.
Rahsia solat tahajjud adalah ia membuat hati kita akan menjadi lapang dan tenang. Maka, wajah kita akan berseri-seri. Padahal kita tidak memakai ilmu pengasih atau pemanis pun.
Ramai orang akan suka berkawan dengan kita dan menyayangi diri kita. Dalam masa yang sama, sebenarnya perkara yang paling ingin digapai adalah untuk membina semula kekuatan diri bagi menghadapi segala mehnah dan ujian dunia.
Imam Ibnu Taimiyyah berkata: “Menjadi keperluan kepada seorang hamba itu untuk (memperuntukan) waktu supaya dia (dapat) bersendirian dengan dirinya (dan dapat memanfaatkannya) dengan berdoa, berzikir, mendirikan solat, berfikir, muhasabah diri serta memperbaiki jantung dirinya.” (Majmu’ Fatawa 1/426)
Bukalah hati kita seluas-luasnya, bangun tahajjud. Merataplah, menangislah, sujud lama-lama dan hati kita bercerita dengan ALLAH, bercakap-cakap dan beritahu ALLAH “aku ada masalah ni yaa ALLAH, aku ada ujian yang sangat besar yaa ALLAH..” “aku tak boleh ceritakan pada orang lain, mereka tak akan faham..”
Subhanallah kalau kita belajar, banyak kelebihan tahajjud ini. Semua beban berat yang kita tanggung akan menjadi ringan. Wajah kita yang kusam kerana beratnya ujian akan berseri-seri.
Jiwa yang kacau menjadi damai. Hati yang berserabut menjadi tenang. Otak kita yang terasa sempit menjadi lapang. Orang menjadi seronok nak berkawan dengan kita.
Hidup bukan hanya sekadar mengejar dan mendapatkan sesuatu di dunia, tetapi lebih tentang bagaimana manfaatkan waktu sebaik-baiknya untuk bekal akhirat yang abadi.
Sumber kredit: Rohana Saad Top image: Photo by michael-burrows from Pexels
Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.