Puas berdoa, tetapi seakan tidak diterima. Pastinya ramai dalam kalangan kita pernah mengalami situasi tersebut, sehingga kadang kala membuatkan kita putus asa dan mengalah untuk terus berdoa kerana merasakannya sebagai perbuatan sia-sia.
Firman Allah SWT bermaksud: “Dan apabila hamba-hamba Ku bertanya kepadamu (Rasulullah SAW) tentang Aku, maka (jawablah) bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang-orang yang berdoa kepada-Ku.” (al-Baqarah: 186).
Menerusi ayat ini (di atas), Allah menggunakan kalimah Ujibu bukannya Astajibu. Ini kerana Astajibu bermaksud Allah akan memperkenankan doa pada masa yang ditentukan, sebaliknya Ujibu ialah Allah akan memperkenan serta merta ketika doa itu dipanjatkan.
Ayat ini jelas memberitahu kita bahawa Allah sedang menunggu kita selaku hamba untuk meminta dan berdoa kepada-Nya. Allah juga mengatakan, tidak kira pada bila masa sekalipun, sesungguhnya Allah akan menjawab dan mendengar permohonan kita untuk dimakbulkan.
Salah satu kesalahan yang dapat menghalangi terkabulnya doa ialah sikap tergesa-gesa seorang hamba. Ia menganggap doanya lambat dikabulkan, lantas ia pun merasa putus asa dan letih, sehingga akhirnya meninggalkan doa.
Ini ibarat orang yang menabur benih atau menanam tanaman, kemudian ia menjaga dan menyiraminya. Namun kerana merasa terlalu lama menunggu hasilnya, orang itu pun membiarkan dan mengabaikan tanaman tersebut. (Ad-Daa' wad Dawaa' – Ibnu Qayyim al-Jauziyyah)
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Kenapa Kita Sambut Tahun Baru Hijrah Pada Bulan Muharram Sedangkan Nabi Berhijrah Bulan Safar
Bulan Muharam ialah bulan pertama dalam tahun Hijrah, dan ia merupakan antara bulan yang mulia dalam Islam. Bulan ini dinamakan bulan ‘Haram’ kerana pada bulan ini diharamkan berperang dan juga ia adalah bulan yang dimuliakan.
Firman Allah SWT:
إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِنْدَ اللَّهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ۚ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ ۚ فَلَا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنْفُسَكُمْ
Maksudnya: “Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah SWT adalah sebanyak dua belas bulan sebagai mana yang terdapat dalam kitabullah (Lauh al-Mahfuz) pada hari diciptakan langit-langit dan juga bumi. Di antaranya (bulan-bulan tersebut) adalah empat bulan haram. Demikian itulah agama yang lurus maka janganlah kalian menzalimi diri kalian di dalam bulan-bulan tersebut.” (Surah at-Taubah: 36)
BULAN SAFAR NABI BERHIJRAH, KENAPA SAMBUT TAHUN BARU HIJRAH PADA BULAN MUHARAM?
Umat Islam menyambut Tahun Baru Hijrah pada 1 Muharram 1444 Hijrah bersamaan 30 Julai 2022. Timbul persoalan, kenapa kita sambut Tahun Baru Hijrah pada bulan Muharram sedangkan Nabi Muhammad SAW berhijrah pada bulan Safar?
Siapakah yang mula menggunakan Kalendar Hijrah secara rasmi?
Orang pertama yang memerintahkan agar Kalendar Hijrah digunakan secara rasmi ialah Khalifah al-Rashidin Kedua, yakni Saidina ‘Umar al-Khattab.
Kenapa Kalender Hijrah ini digunakan sedangkan sebelum itu ia tidak digunakan secara rasmi pada zaman Nabi SAW dan Saidina Abu Bakar?
Pada zaman Saidina ‘Umar ketika Islam tersebar kian meluas, terdapat sekurang-kurangnya 3 riwayat tentang faktor kenapa ia digunakan:
Gabenor di Basrah Iraq iaitu Saidina Abu Musa al-Ash’ari pernah mengutuskan surat kepada Khalifah al-Rashidin Kedua, Saidina ‘Umar al-Khattab yang tertulis: “Kami telah menerima surat dari anda (Saidina ‘Umar al-Khattab) yang tiada padanya tarikh surat.” Jadi, ia sukar untuk melaksanakan arahan khalifah jika tiada tarikh spesifik.
Pendapat lain menyatakan bahawa Saidina ‘Umar telah diberi suatu dokumen kewangan (sokkun) yang tertulis bulan Sha’ban namun tidak diketahui sama ada ia Sha’ban tahun sebelumnya atau tahun semasa atau tahun berikutnya. Maka, Kalender Hijrah perlu dibuat secara rasmi untuk memudahkan masyarakat mengetahuinya.
Pendapat lain menyatakan bahawa seseorang lelaki Yaman memberitahu Saidina ‘Umar tentang amalan orang Yaman dalam penggunaan kalender khusus. Maka, beliau beranggapan amalan ini adalah baik dan Kalender Hijrah rasmi perlu dibuat.
Maka, Saidina ‘Umar mengumpulkan para sahabat untuk berbincang tentang bulan dan tahun bermulanya Kalender Hijrah.
Apakah cadangan para sahabat ketika memilih tahun bermulanya Kalender Hijrah?
Ada banyak cadangan, antaranya ada cadangan tahun hijrah bermula dengan tahun pengutusan baginda SAW sebagai Nabi yakni pada tahun Nabi SAW terima wahyu di Gua Hira’ iaitu bersamaan tahun 610 Masihi.
Ada yang cadangkan bermula dengan tahun penghijrahan Rasulullah dari Makkah menuju ke Madinah. Akhirnya Saidina ‘Umar memilih pandangan ia bermula dengan tahun penghijrahan Nabi kerana hijrah tersebut melambangkan pemisahan antara hak dan batil. Ia bersamaan dengan tahun ke-14 setelah Nabi SAW dilantik menjadi Nabi dan Rasul.
Adakah bulan apa yang menjadi permulaan Kalender Hijrah turut dibincangkan?
Ya, ini pun ada banyak cadangan, antaranya cadangan ia bermula pada bulan Ramadan atau bermula dengan bulan Nabi SAW berhijrah yakni bulan Safar/Rabi’ul Awwal atau bulan Muharram. Akhirnya Saidina ‘Umar al-Khattab pilih bulan Muharram sebagai bulan pertama dalam Kalender Hijrah.
Kenapa Saidina ‘Umar pilih bulan Muharram sedangkan Nabi SAW mula berhijrah pada bulan Safar?
Benar, menurut Safiy al-Rahman al-Mubarakfuri, Nabi SAW mula berhijrah pada sekitar malam 27 Safar pada tahun ke 14 selepas dilantik menjadi Nabi, bersamaan 12 atau 13 September 622M.
Nabi SAW dan Saidina Abu Bakar berada di gua Jabal Thur terlebih dahulu kemudian pada bulan Rabi’ul Awwal barulah mereka tiba di Madinah. Namun, Saidina ‘Umar lebih memilih bulan Muharram berbanding bulan Safar atau Rabi’ul Awwal sebagai permulaan bulan bagi kiraan Kalender Hijrah kerana jemaah haji pulang pada bulan Muharram dan pandangan ini telah disepakati para sahabat.
Difahami dari pandangan ini bahawa kepulangan dari mengerjakan rukun Islam terakhir itu menjadi permulaan kepada hijrah baru.
Menurut pandangan lain, bulan Muharram dipilih kerana ia berdasarkan peristiwa Bai’ah ‘Aqabah yang berlaku pada bulan Zulhijjah.
Bai’ah tersebut merupakan perjanjian berat yang perlu dilaksanakan dengan penuh keazaman. Bulan Muharram pula adalah bulan setelah bulan Zulhijjah yang menjadi simbolik kepada permulaan suatu keazaman penghijrahan itu dilaksanakan.
Maka, disebabkan inilah bulan Muharram menjadi pilihan Saidina ‘Umar al-Khattab. Dapat difahami bahawa Kalender Hijrah diawalkan permulaan kiraannya sekitar satu atau dua bulan kerana asalnya adalah bulan Safar atau Rabi’ul Awwal kemudian diawalkan sambutannya pada bulan Muharram.
Bilakah Saidina ‘Umar menggunakan Kalender Hijrah secara rasmi?
Kalendar Hijrah mula digunakan secara rasmi sekitar pada tahun ke 17 Hijrah yakni sekitar 4 tahun setelah Saidina ‘Umar dilantik sebagai Khalifah al-Rashidin Kedua. Ini bermakna, dalam sejarah Islam, Kalender Hijrah telah digunakan secara rasmi sejak sekitar 1427 tahun yang lalu.
Apakah rujukan kitab kepada jawapan bagi semua soalan di atas ini?
Antara kitab yang dirujuk dan boleh dirujuk untuk tahu sejarah hijrah Nabi SAW dan sejarah penggunaan Kalendar Hijrah ialah al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam kitab Fath al-Bari, al-Hafiz Ibn al-Kathir dalam kitab al-Bidayah wa al-Nihayah, Imam al-Munawi dalam kitab Faid al-Qadir dan Safiy al-Rahman al-Mubarakfuri dalam kitab al-Rahiq al-Makhtum.
Apakah pengajaran di sebalik Tahun Baru Hijrah ini?
Kita boleh ambil ibrah dari sejarah penetapan Kalendar Hijrah ini antaranya, bulan Zulhijjah sepatutnya kita dah bersedia untuk bermuhasabah, menyatakan tekad, azam dan janji peribadi untuk tahun berikutnya.
Manakala bulan Muharram merupakan permulaan kepada pelaksanaan tekad baru tersebut. Atau setelah seseorang itu mengerjakan haji pada bulan Zulhijjah dan pulang ke tempat-tempat masing-masing pada bulan Muharram, maka bulan itu merupakan permulaan baharu baginya untuk menjadi seseorang Muslim yang lebih baik bagi tahun berikutnya.
Siru ‘ala barakatiLlah (bergeraklah dengan keredaan Allah) untuk melaksanakan azam baru pada Tahun Baru Hijrah 1444H.
***Dr. Mohd Hasrul Shuhari adalah pensyarah kanan di Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu.
Sumber kredit: Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan Top image: Photo by selim-çetin-from Pexels.
Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Pesanan Buat Isteri, Ustaz Don Danial ‘Jagalah Solat’ Wajib Untuk Setiap Individu.
Solat merupakan ibadah yang sangat penting dan wajib dilakukan. Solat amat penting sehinggakan ketika sedang berperang sekalipun, kita tidak boleh meninggalkan solat.
Imam Al-Baihaqi meriwayatkan bahawa nabi bersabda, “Solat itu tiang agama. Sesiapa yang meninggalkannya,dia meruntuhkan agama.”
Dalam surah Al-Mukminun ayat 1,2 dan 9, Allah menjelaskan, “Sesungguhnya telah berjayalah orang-orang yang beriman. (Iaitu) mereka yang khusyuk dalam solat mereka… dan mereka yang memelihara solat-solat mereka.”
Pesanan Seorang Suami
Melalui muat turun Ustaz Don Danial di laman sosialnya, bukan sahaja untuk isterinya tapi untuk kita jadikan peringatan. Jom amati pesanan Ustaz Don:
Jaga lah solat kerana, solat itu wajib,
Bukan pada suami untuk menegur
Tetapi wajib bagi setiap individu.
.
Wahai Isteri,
Jaga lah solat kerana, solat itu tiang agama,
Bukan pada suami sebagai ketua
Tetapi tiang bagi setiap jiwa.
.
Wahai Isteri,
Jaga lah solat kerana,
Solat itu benteng di akhirat,
Bukan pada suami
Tetapi benteng bagi setiap diri yang disoal nanti.
.
Wahai Isteri,
Jaga lah solat kerana,
Solat itu adalah kunci,
Bukan pada suami yang terkadang alpa
Tetapi kunci bagi setiap yang mengangkat syahadah
.
Wahai Isteri,
Jaga lah solat kerana, solat itu cahaya,
Bukan pada suami yang beragama
Tetapi cahaya bagi setiap yang mendirikannya.
.
Wahai Isteri,
Aku suami, aku cinta kamu kerana الله,
Kerana itu aku menulis untaian nasihat,
Bukan kerana aku suami tetapi kerana kamu isteri.
.
Wallahu a’lam
Coretan lama
Tetap segar untuk
@husnazahry
.
Don Daniyal Don Biyajid
Makkah al-Mukarramah
24 Safar 1437H
6 Disember 2015
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Beri Kata-kata Yang Menyakiti Orang Lain Sebab Terlalu Emosi, Tenangkan Diri Dan Ingat Juga Hati Perasaan Mereka…
Sebagai manusia normal, tekanan adalah perkara biasa. Hanya manusia kurang normal yang mungkin tidak merasai tekanan. Namun begitu, bagaimanakah cara kita menghadapi tekanan?
Setiap orang pasti mempunyai cara tersendiri menghadapi tekanan di tempat kerja, sekolah, dengan pasangan dan sebagainya. Perkara ini penting untuk membuatkan minda kita melupakan seketika segala kesukaran yang dihadapi, membantu kita bertenang dan memberi semula kekuatan untuk menghadapi tekanan (stres) itu.
.
Panduan Menghilangkan Stres
Oleh kerana kita hidup di dunia terbuka, kita meluah masalah di media sosial. Apabila media datang untuk temu ramah, habis segala masalah rumah tangga kita londehkan.
Kita meluahkan segalanya kepada kawan yang ternyata tidak mampu menyelesaikan masalah kita, sebaliknya memanaskan lagi keadaan.
Walhal, Islam mengajar agar kita merujuk kes kepada ahli keluarga dan minta ahli keluarga yang bincangkan secara penuh kasih dan santun.
.
Percayalah, ketika kita beremosi, elakkan diri daripada bercakap. Kerana percakapan kita tidak berpandukan akal. Kita lebih berpandukan emosi dan perasaan yang kacau bilau.
Bersabarlah, berzikirlah, kerjakan solat. Percayalah, dengan mengadu kepada Allah Taala, akan ada jalan penyelesaian yang lebih konstruktif.
Dan percayalah, media sosial akan lebih merosakkan.
BERIKUT DIKONGSIKAN CARA MENGURUS STRES SEPERTI YANG DIKONGSIKAN OLEH IMAM MUDA HASSAN ADLI YAHYA
1. Bersukan
Jika terlalu banyak ‘beban’ dalam kepala pada satu masa, saya mengambil masa untuk bermain badminton bersama teman. Dengan bersukan, ia membantu mengurangkan tekanan dengan banyak cara.
Bukan sahaja melepaskan endorfin dan membantu melancarkan peredaran darah, malah memberi saya ruang untuk berfikir dan mencari ilham. Malah saya seperti ‘terlupa’ sebentar perkara yang membebankan kepala ketika itu.
Selalunya saya meninggalkan rumah dengan kepala yang serabut, tetapi pulang semula ke rumah dengan penyelesaian kepada masalah sebelum itu. Oleh itu amalkan bersukan, sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu.
2. Rehat dan tidur
Tidur yang cukup dan pada waktu yang ideal memainkan peranan yang penting dalam mengimbangi emosi dalam kehidupan seharian kita.
Tidur yang cukup umpama mengecas tenaga kita sepenuhnya dan mengekalkan kestabilan emosi. Malah boleh menjadikan kita seorang yang optimis selain membuatkan kita segar selepas mendapat tidur yang cukup.
Saya mencadangkan anda supaya mengamalkan tidur seketika pada waktu siang iaitu sebelum masuk waktu Zuhur. Malah ia adalah sunah yang diamalkan Baginda SAW. Tidur ini tidak lama, hanya sekitar 15 hingga 30 minit sahaja.
Mengikut kajian, satu minit Qailulah kualitinya bersamaan dengan 45 minit waktu tidur kita pada waktu malam. Jadi, cukup sekadar dapat 15 minit Qailulah, ia mampu mengembalikan banyak tenaga kepada badan kita.
Namun, jika di pejabat dan waktu rehat kita adalah jam 1 hingga 2 petang, jangan pula tidur dengan alasan mahu mengamalkan sunah. Sebaliknya, ambil masa selepas makan tengah hari dengan bersandar di kerusi dan melelapkan mata sebentar.
Tetapi harus diingat, tidur berlebihan akan memberi impak yang kurang baik kepada anda dan mungkin menjadi lebih stres selepas itu.
3. Luangkan masa dengan keluarga dan sahabat
Meluangkan masa dengan sahabat dan keluarga akan ‘mencairkan’ masalah. Orang yang membawa kita kegembiraan mungkin tidak tahu tentang beban sebesar gunung yang kita tanggung apabila hanya duduk di meja dan bersandar merenung siling.
Ketawa, bercerita dan berkongsi tekanan yang kita hadapi ketika itu akan membuatkan kita lebih baik dan masalah akan lebih terkawal.
Jika kita masih mempunyai ibu dan ayah, lawatlah mereka. Jika tidak mampu, telefon mereka bertanya khabar. Insya-Allah, tiada apa yang lebih menenangkan dan mampu meleraikan keserabutan di kepala melainkan suara mereka yang tercinta.
4. Bersolat dan berdoa
Solat adalah antara perkara mudah yang sering dirasakan susah oleh sesetengah orang. Ia adalah cara paling mudah dan efisien untuk mengadu terus segala masalah kita yang sebesar gunung kepada Sang Pencipta.
Apabila kita bersolat, kita berhubung secara terus dengan Allah dan Allah mendengar segala perkara yang kita keluhkan. Pada ketika bersujud berdoalah bersungguh-sungguh kerana pada ketika sujudlah Allah paling hampir dengan kita.
.
Selesai solat, tarik nafas dan pejamkan mata. Kemudian berselawatlah dan beristighfar. Insya-Allah diberikan ketenangan.
5. Membaca al-Quran
Mulakan hari kita dengan membaca al-Quran. Sebaik-baiknya selepas solat Subuh, pada waktu pagi sebelum memulakan kerja.
Al-Quran adalah mukjizat yang terbesar, insya-Allah dengan membacanya pasti mampu melunakkan hati dan memberi ketenangan kepada sesiapa yang membacanya. Kita juga boleh mendengar bacaan ayat al-Quran di tempat kerja.
Dalam Islam, bukan membaca al-Quran saja yang menjadi ibadat dan amal yang mendapat pahala dan rahmat, malah mendengarnya pun mendapat balasan. Malah, sebahagian ulama mengatakan bahawa, mendengar orang membaca al-Quran, pahalanya sama dengan orang yang membacanya.
.
Mendengar bacaan al-Quran dengan baik, dapat menghiburkan perasaan sedih, menenangkan jiwa yang gelisah dan melunakkan hati yang keras serta mendatangkan petunjuk. Itulah yang dimaksudkan dengan rahmat Allah, yang diberikan kepada orang yang mendengarkan bacaan al-Quran dengan baik.
6. Bersedekah
Bersedekah adalah antara cara terbaik untuk kita bermuhasabah. Bersedekah mengajar kita untuk melihat kembali orang di bawah kita.
Ketika kita sering mengeluh tertekan dengan kerja dan sering membanding-bandingkan dengan orang lain di atas kita, bersedekah ‘memaksa’ kita untuk tunduk dan melihat orang lain.
.
Ketika kita tertekan, kita masih mempunyai wang untuk makan dan menguruskan diri. Bagaimana pula dengan mereka yang terpaksa meminta-minta hanya kerana untuk meneruskan kelangsungan hidup?
7. Berjalan-jalan melihat alam
Melangkahlah keluar rumah, hirup udara sedalamnya dan lihatlah langit. Nikmatilah bagaimana waktu matahari tenggelam. Anda pasti terpaku dan kagum dengam keindahan lukisan Allah.
Insya-Allah perkara ini akan lebih membuatkan kita mengingati Allah, kagum terhadap kekuasaan-Nya dan kita akan berasa bersyukur terhadap segala nikmat yang telah dilimpahkan.
Lama-kelamaan, rasa bersyukur dan takjub terhadap nikmat Allah ini akan membawa pergi rasa tekanan secara perlahan-lahan, jauh daripada kepala kita.
Sumber kredit: Mohd Dzul Khairi Mohd Noor dan Imam Muda Mohd Hassan Adli Yahya via Harian Metro
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI